
Cantik menawan, handal bersukan dan menjadi harapan negara masing-masing, atlet wanita yang berjuang dalam Sukan SEA 2017 kali ini tentunya meletakkan seluruh tenaga untuk memenangi pingat yang diimpikan.
Jadi sambil-sambil menonton upacara pembukaan rasmi temasya Sukan Sea 2017 tu, ayuh semak tiga atlet wanita ini yang paling mencuri tumpuan Nona.
(a) Sirivannavari Nariratana
Sirivannavari Nariratana merupakan puteri Raja Thailand saat ini, Vajiralongkorn, atau cucu mendiang Raja Bhumibol. Pada tahun 2008, kerabat raja ini pernah tersenarai dalam daftar ke-16 sebagai The 20 Hottest Young Royals oleh Forbes.
Bermula dengan sukan badminton dan pernah menyumbangkan medal emas di acara badminton beregu wanita pada Sukan SEA 2005, kini beliau mewakili acara olahraga berkuda pula untuk sukan kali ini.
Bersama kuda yang diberi nama Prince Charming, Sirivannavari mewakili negaranya, Thailand pada Sukan SEA 2017 ini.
(b) Farah Ann Abdul Hadi
Farah Ann Abdul Hadi, 23, anak kelahiran Subang Jaya dan merupakan adik kepada perenang synchro negara, Katrina Ann.
Dua tahun lalu, nama Farah Ann viral selepas mempamerkan prestasi memukan dan meraih banyak pingat dalam Sukan SEA 2015.
Pernah terpalit kontroversi tentang bajunya yang terdedah sewaktu itu, atlet jelita itu kini tekad membuktikan kehandalan dirinya dalam acara gimnastik.
Selain memiliki rupa paras yang sangat cantik, seluruh rakyat Malaysia juga meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Farah Ann mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA 2017.
(c) Lindswell Kwok
Cantik dan lincah, inilah atlet wushu Indonesia yang berasal dari Medan, Sumatera. Nama Lindswell Kwok pernah menjadi sebutan apabila meraih dua pingat emas dalam acara sukan wushu di Sukan SEA 2015. Norzalina Mohd Alias
Rahsia Tauke Emas, Datin Normadora Tahu Cita Rasa Pelanggan, Nak Cantik & Simpan Duit!

Nama usahawan emas, Datin Normadora atau Edora bukan lagi asing di kalangan peminat jenama Angsa Emas Jewellery. Berusia 35 tahun, wanita asal Kelantan itu juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Bukan saja cantik dan bergaya tapi orangnya juga sangat merendah diri, lembut serta peramah hingga membuatkan sesiapa pun selesa mendampingi.
Datin Edora membesar dalam keluarga berlatarkan bisnes. Pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia ini juga merupakan anak bongsu dalam tiga adik-beradik.
Bayangkan dari hanya satu cawangan Angsa Emas Jewellery di Bangi, kini Datin Edora telah mengembangkan dua cawangan lagi di Wangsa Maju dan Shah Alam.

Matlamat membeli emas kebiasaannya tergantung niat mahu melabur untuk simpanan atau melabur dan dijadikan barang perhiasan. Bagi majoriti wanita, lumrah jiwa kita yang menyukai keindahan pastinya lebih terarah membeli emas di kedai barangan kemas.
Rahsia kedai emas viral ni tentulah terletak pada kebijaksanaan pemiliknya. Jom ikuti temu bual eksklusif Nona dengan Datin Edora!


Nona: Sebagai pemilik kedai emas, apa pendapat Datin Edora tentang pelaburan emas dan apa nasihat anda kepada pembaca yang mahu membeli emas?
Edora: Emas adalah logam bernilai. Secara tak langsung emas juga adalah mata wang. Bagi saya, konsep menyimpan emas sama dengan konsep menyimpan duit. Mana yang mendatangkan keuntungan terbanyak itulah yang sepatutnya kita perlu simpan.
Nona: Bagaimana datangnya idea untuk membangunkan bisnes ini?
Edora: Saya adalah pencinta fesyen justeru saya suka menampilkan kelainan dalam perniagaan. Barangan kemas di sini juga ibarat karya fesyen yang tinggi nilainya dan berbaloi dimiliki, selari dengan pelaburan emas yang menjadi matlamat pelanggan.


Nona: Dari mana datangnya asal-usul nama Angsa Emas dan apakah cabaran awal sebagai penjual emas?
Edora: Angsa Emas berasal daripada dua entiti yang disatukan menjadi satu cinta. Iaitu huruf E dan A. Asal nama saya dari huruf E dan A. Jadi saya mencari apa yang bermula dengan huruf ini dan akhirnya saya teringat dengan cerita dongeng angsa bertelur emas (The Golden Goose).
Cabaran pada awal-awal berniaga dulu semestinya dari segi memperkenalkan dan meyakinkan pelanggan tentang produk emas di Angsa Emas Jewellery. Bukan mudah mahu mengukuhkan jenama di pasaran termasuklah membuat branding dan kami bukan sekadar menjual barang. Ia memerlukan fokus bekerja yang sangat teliti.
Nona: Cara Datin Edora ‘mengikat’ hati pelanggan setia?
Edora: Ikat hati dengan design seperti mana tagline kami iaitu ‘seal the love’.

Nona: Siapa wanita inspirasi Datin Edora? Dan bagaimana cara ibu anda mendidik supaya menjadi seorang yang berjaya sekarang?
Edora: Ibu dan ibu mertua saya. Ibu saya meninggal dunia semasa saya masih belajar lagi. Dan saya ingat semua ilmu kehidupan beliau ajar cara mengenal jati diri. Ibu mertua pula banyak mengajar saya untuk menjadi ibu yang baik dan sentiasa ada untuk anak-anak dan suami.
MINAT DEKORASI
Bagi yang pernah bertandang ke Angsa Emas Jewellery, pasti senang dengan dekorasi kedai yang serba elegan. Datin Edora sebenarnya mempunyai cita rasa yang baik dari segi penataan dekorasi dan susun atur ruang, contohnya kediaman beliau sendiri yang dihias seperti mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman.
Tak puas menatap gambar, jom saksikan keindahan kediaman Datin Edora dalam video Inspirasi Bersama Kiffy Razak ini.
DEKORASI
Mengakhiri temu bual ini, sempat diajukan bagaimana amalannya untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Maklumlah sebagai usahawan kedai emas dan seorang wanita, Datin Edora tentu perlu sentiasa berjaga-jaga kerana dirinya menjadi perhatian.
“Tiada amalan spesifik yang diamalkan cuma kita kena sentiasa jaga hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama manusia. Bagaimana cara kita menjaga hubungan tersebut terserah kepada masing-masing kerana lain orang lain caranya. Tapi bagi saya, yang penting niat itu sama,” akhiri beliau.
Walau Lahir Tanpa Sepasang Kaki, Ibu MIMI FLY Berjaya Didik 3 Anak Begitu Sempurna

Membesarkan anak-anak, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai bukan suatu tugas mudah lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini. Menjadi seorang ibu dalam masa yang sama berfungsi sebagai isteri, pekerja mahupun majikan memerlukan pengorbanan yang begitu besar dalam diri wanita.
Membayangkan tubuh yang sempurna pun kadang-kadang ‘gagal’ melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ibu apatah lagi dilahirkan kekurangan fizikal. Namun, wanita yang layak digelar Superwoman seperti Ramlah Md. Jalee ini tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai halangan untuk berjaya.
Bercerita tentang pengalaman ibu kesayangan kepada Mimi Fly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina ini membesarkan anak-anak, “Dengan keadaan saya yang tidak dapat berjalan dan terpaksa berkerusi roda, memanglah satu cabaran besar untuk menguruskan anak-anak semasa kecil.

Cuma cara saya mendukung anak-anak, memasak, memandu, menaiki tangga dan keluar bekerja berbeza berbanding ibu-ibu lain. Saya terpaksa membawa anak-anak ke rumah pengasuh dengan kereta kerana saya bekerja manakala suami pula seorang ahli perniagaan.
Saya tak pernah salahkan sesiapa dengan keadaan saya seperti ini. Saya percaya, Allah SWT berikan kelebihan dan kekurangan untuk setiap makhlukNya. Dalam kehidupan ini, saya melihat ada keadaan orang yang lebih teruk daripada saya,” terang ibu kepada tiga orang anak ini.
Semangat dan jati diri yang teguh dalam diri wanita kelahiran Negeri Jelapang Padi yang dilahirkan tanpa sepasang kaki ini melayakkan dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Gemilang 2018.
“Saya membuktikan, walaupun seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), kesedaran untuk menjaga diri sendiri menjadi paksi agar saya terus berusaha untuk mengharungi kehidupan yang penuh ranjau ini. Saya harus berdikari tanpa mengharapkan sesiapa.
Jika saya tidak menolong diri sendiri, siapa yang sanggup membantu saya buat selamanya? Jadi saya harus kuat dan sentiasa positif,” tutur wanita yang pernah menerima Anugerah Seri Nona, Anugerah Tokoh Negeri Selangor dan Tokoh Hari Pekerja OKU ini.
Walau dilahirkan ‘tidak sempurna’ tetapi ibu kepada penyanyi yang pernah bersama Kumpulan One Nation Emcees ini tidak pernah menyalahkan takdir dan terus bangkit meneruskan kehidupan.
“Saya juga merupakan penulis skrip bebas untuk drama tempatan. Saya pernah bekerja sebagai penyunting skrip drama di stesen televisyen RTM. Lebih beratus skrip yang ditulis untuk TV, radio dan ada juga drama saya yang menang anugerah,” ungkap wanita yang mempunyai kelulusan Penulisan Kreatif & Deskriptif dari Universiti Malaya ini.
Ramlah juga sempat menitipkan nasihat yang sangat berguna buat semua wanita, “Dalam hidup ini, kita harus ambil risiko. Begitu juga dengan hubungan suami isteri. Perkahwinan adalah perjudian. Bagi OKU seperti saya, kita tak boleh mengimpikan yang indah-indah saja. Setiap perkahwinan ada pasang surutnya tidak kiralah sama ada pasangan itu normal atau OKU. Ia sama saja,” bicara wanita yang tegas dengan anak-anak ini.
“Selagi Tak Mula Selagi Itulah Kita Di Takuk Lama” Mompreneur IKA NABELLA Ligat Berniaga

Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6 yang juga pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan, Ika Nabella kini bergelar seorang mompreneur. Bukan sahaja aktif dalam industri seni bahkan Ika Nabella juga kini ligat mengusahakan bisnesnya di samping tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.
Ika Nabella mendirikan rumahtangga pada 30 Julai 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Noah Zayn yang kini berusia 2 tahun.



Apa yang membanggakan sejak mengambil keputusan untuk berhijab pada hujung tahun lalu, rezekinya kian mencurah. Sesungguhnya rezeki Allah SWT itu luas.

Memetik perkongsian Ika Nabella di laman Instagram:-
“Tak sangkanya dari seorang pelakon dan penyanyi sekarang I’m an entrepreneur. Bukan title je bertukar tujuan hidup pun berubah. Dulu nak lepaskan diri sendiri je. Sekarang kemain besar tanggungjawab especially dekat my #innatemoms but I am happy, beyond proud with them.
Modal mula berniaga bersama @innateofficialhq tak sampai RM500 ada yang RM200 pun tak sampai sekarang dah jana 4-5 angka!!!
Tak ada yang mustahil kalau kita usaha dan sentiasa komited kan? Paling penting JANGAN MUDAH PUTUS ASA! Tak kisah macam mana kita MULA, berapa modal kita MULA yang penting MULA, selagi tak MULA BERTINDAK selagi itulah kita di takuk lama.”

Ika Nabella kini bergelar ‘taukeh’ @kuemaneyh.officialhq yang mana produk utamanya ialah Premium Tepung Pelita eksklusif air tangannya sendiri. Nampak tak menang tangan Ika Nabella menerima tempahan yang semakin bertambah setiap hari.


Selain itu, Ika Nabella juga pengasas kepada produk minuman laktasi Innate Lactea khas buat ibu yang ingin menambah susu badan. Dia sering berkongsi tip bagaimana menyusukan anak secara eksklusif di laman sosial Instagram.
Selain pengalaman sendiri, ibunya turut menjadi sumber inspirasi serta pendorong untuk dia mengeluarkan minuman laktasi Innate Lactea.
“Bahan-bahannya adalah daripada resipi turun temurun arwah Opah yang saya amalkan sejak melahirkan. Produk ini diperkaya dengan 9 ramuan yang dapat membantu memekatkan dan meningkatkan penghasilan susu ibu.
Selain sistem sokongan yang kuat, nutrisi dan makanan tambahan juga perlu mencukupi bagi membantu ‘kilang’ susu kita beroperasi.”
ISTIQAMAH BERHIJAB
Menurut pemilik nama sebenar, Ika Nabila Abdul Rahim yang berusia 31 tahun ini, selain kerana Allah SWT pendorong utamanya untuk berhijab dan memulakan perniagaan ialah anak serta suami, keluarga dan peminat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat dirinya agar terus istiqamah.

Memetik kenyataan Ika Nabella ketika di awal penghijrahannya:-
“Sudah lama nak berhijab sebenarnya tapi hati saya berbolak balik, masa itu banyak fikir tentang duniawi dan karier. Dalam usia 31 tahun saya dapat apa yang saya nak, Allah SWT bagi semua yang saya minta termasuk zuriat.
Masa bujang dulu saya nak sangat kahwin, Dia hadirkan suami. Dalam masa 3 tahun saya doa nak anak dan Allah kurniakan zuriat. Masa tu terdetik apa yang saya nak semua dapat tetapi saya tak sempurna menutup aurat. Alhamdulillah ramai yang memberi sokongan dan mendoakan saya ke arah penghijrahan ini.
RUTIN KECANTIKAN
Saya amalkan 4 liter air kosong setiap hari. Produk penjagaan kulit wajah pula sering bertukar-tukar kerana saya suka mencuba produk baru selagi tak menjejaskan kulit.
Jika ada yang mencadangkan tentang sesuatu produk saya akan cuba. Bagi saya tak salah untuk mencuba untuk mengetahui adakah ia sesuai atau tidak dengan kulit.
Saya sebenarnya memiliki jenis kulit yang sangat sensitif dan lebih ketara sepanjang saya hamil dulu. Saya mengalami masalah kulit yang sangat teruk ketika trimester ke-3. Memang sangat teruk sampai keluar rumah pun terpaksa pakai pelitup muka.

Jadi serum adalah produk ‘wajib’ digunakan setiap hari. Lebih-lebih lagi sejak bergelar ibu pastinya kulit mengalami perubahan terutama dari segi keanjalan. Apa yang penting saya perlu konsisten agar kulit kekal sihat, cerah dan glowing.”
Kredit Foto: Instagram @ikanabella @kuemaneyh.officialhq @innateofficialhq