Magis kanak-kanak perempuan, Alayna Wahyudi Ichwandy yang menjadi perhatian netizen di media sosial kebelakangan ini ekoran kepetahannya berbicara soal agama dan solat nyata cukup menyentuh perasaan. Apatah lagi dalam lingkungan usia baru mencecah lima tahun, Alayna mampu memahami ajaran dan fahaman Islam dengan baik.

Kehamilan Alayna

Ads

Di sebalik keunikan yang dimiliki anak kecil ini, Shairah Shazana Mohamed yang merupakan ibu kepada Alayna dan Aurelisha mengakui pernah melalui detik-detik sukar sepanjang kehamilan anak keduanya itu tatkala didiagnosis mengalami kehamilan sindrom down iaitu kecacatan genetik. Tidak mampu menampung kesedihan yang menyelubungi lubuk hati, ibu berusia 30 tahun ini tiba-tiba merasakan dunia yang selama ini dipandang indah bertukar kelam saat menerima perkhabaran tersebut.

“Masa saya hamil Alayna dan pergi ke hospital untuk check up lima bulan, doktor beritahu kandungan saya adalah high risk down syndrome. Waktu itu, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. Sepanjang tempoh hamil, saya banyak menangis dan mendiamkan diri sebab rasa sangat sedih serta keliru.

Sampailah pada satu hari saya sedar ini adalah takdir Allah yang harus saya tempuh. Mahu atau tidak, saya harus harunginya dan alhamdulillah, saya reda dengan perkara ini. Setiap hari saya tak putus-putus berzikir, berselawat, berdoa dan reda kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.

Allah itu Maha Besar lagi Maha Mengetahui dan Mengasihani. Berkat kesabaran dan reda dengan ketentuan Yang Maha Esa, diagnosis doktor pakar tentang kehamilan down syndrome nyata meleset apabila Alayna lahir dalam keadaan normal sama seperti kanak-kanak lain. Sejak peristiwa itu juga saya percaya setiap dugaan daripada Allah akan diberi ganjaran lebih tinggi dan besar jika kita yakin dan reda kepadanya,” telus ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Diagnosis Hamil Anak Down Syndrome Namun Kuasa Allah, Shairah Melahirkan Anak Yang Cerdik Akal & Sifat

Terharu kebolehan anak

Seawal umur tiga tahun lagi Alayna sudah menunjukkan minat terhadap hal-hal berkaitan Islam. Kecenderungan anak kecil ini lebih terarah kepada nasyid dan gemar berselawat dengan penuh semangat selain menjaga adab ketika berada di dalam masjid. Lebih mengharukan Shariah apabila Alayna sering mengikutinya dan suami menunaikan solat jemaah di surau atau masjid berdekatan.

“Setiap kali melalui perkarangan masjid dia akan rasa gembira dan berkata ‘Ini rumah Allah, Allah tinggal di sana. Saya suka masjid’. Tak pernah sekalipun dia buat perangai ketika berada dalam masjid sebab dia hormat dan tahu itu rumah Allah.

Masuk saja umur empat tahun, Alayna bersungguh-sungguh mahu ikut bersolat tarawih. Walaupun saya sendiri sibuk menguruskan keluarga, hantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya, saya tetap kuatkan diri untuk ke masjid bersamanya. Mungkin dari situ dia sedar kepentingan solat dan tak mahu terlepas menunaikan perintah Allah bersama-sama.”

Jika dulu pereka fesyen pengantin ini dilanda kemurungan sepanjang fasa kehamilan, namun kini Allah kurniakan kepadanya anugerah terindah bernama Alayna hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Wahyudi Ichwandy. Kepintaran Alayna membahaskan setiap sesuatu yang berlaku berlandaskan kepada ajaran Islam membuatkan Shairah dan suami lebih teruja mendalami Islam demi mengejar keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.

Ads

Sambil mengesahkan pernah menerima mesej daripada pengguna laman sosial yang terinspirasi menonton video ‘ceramah’  Alayna, Shairah menganggap semua kebaikan tersebut datang daripada Allah. “Ramai yang mesej saya mengatakan Alayna banyak memberi mereka semangat untuk sedar dan mendirikan solat. Alhamdulillah, walaupun dia masih kecil tapi Alayna sungguh yakin dengan Allah.

Memang saya dan suami mendedahkan anak-anak tentang kepentingan solat, Al-Quran dan sebagainya. Tapi, apa yang dia sampaikan dan ceritakan dalam video tersebut dengan perkataan dan cara dia sendiri adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami. Dalam video itu juga Alayna luahkan rasa yakin bahawa solat boleh membuatkan seseorang itu bahagia.

Malah, di sekolah juga dia selalu mengajar rakan-rakan sebaya membaca doa walaupun ada di antara mereka bukan beragama Islam. Kalau difikirkan kembali, tak semua kanak-kanak seusia Alayna mampu buat begitu. Lagi-lagi dapat membuka hati orang ramai untuk faham tentang agama. Mungkin ini takdir Allah yang memberikan Alayna semangat dan peluang untuk menyampaikan dakwah Islam kepada semua melalui platform laman sosial,” cerita Shairah.

Diagnosis Hamil Anak Down Syndrome Namun Kuasa Allah, Shairah Melahirkan Anak Yang Cerdik Akal & Sifat

Ads

Didikan ibu & ayah

Meskipun sibuk dengan urusan masing-masing namun sebagai ibu, Shairah turut tidak terlepas melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal akidah dan pembelajaran anak-anak. Baginya, cara didikan di rumah lebih memberi kesan mendalam kepada anak-anak di samping menunjukkan teladan yang baik kepada mereka.

“Sejak saya lahirkan dia, saya sudah mula berselawat dan berdoa setiap masa. Terutamanya sebelum dia tidur. Biasanya saya akan membelainya dengan ungkapan yang lembut dan ajar dia beristighfar jika sedang marah. Selain itu saya juga akan selalu bacakan buku agama kepadanya, melaksanakan solat dan berselawat bersama-sama.

Saya percaya, kita adalah guru dan cermin kepada anak-anak. Perlu buat seikhlas hati dan memberi contoh yang baik sebelum menginginkan anak yang baik budi pekertinya. Bagi saya, guru yang terbaik adalah ibu bapa itu sendiri. Tak boleh harapkan sepenuhnya dari sekolah semata-mata. Macam mana sekalipun cara didikan terhadap anak-anak, jangan memaksa sebaliknya asuh dengan lembut dan penuh kasih sayang. Inshaallah, itu lebih mujarab.”SUZIANAABUDAUD

Diagnosis Hamil Anak Down Syndrome Namun Kuasa Allah, Shairah Melahirkan Anak Yang Cerdik Akal & Sifat

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI