Pejamkan mata. Bayangkan kolam bunga atau lintasan pelangi di ufuk senja. Saujana alam yang terbentang, hanya terlihat indahnya jika tidak dihalang penyakit mata.
Adakah anda mengalami masalah penglihatan seperti pandangan yang kabur dan samar, silau kerana kepekaan terhadap cahaya yang tinggi atau mengalami masalah penglihatan pada waktu malam?
Jika ya untuk salah satu tanda-tanda ini, anda mungkin berisiko mengalami katarak mata. Katarak merupakan suatu keadaan di mana perubahan berlaku melibatkan penebalan pada kanta mata dan menyebabkan kanta berkabut.
Menurut Konsultan Oftalmologi, Kornea, Katarak dan Pakar Bedah Refraktif, Dr. Ainur Rahman Anuar Masduki, gangguan penglihatan seperti katarak boleh berlaku secara perlahan-lahan ataupun progresif sehingga mengganggu kualiti penglihatan.
Ia telah dikenal pasti sebagai salah satu punca utama masalah penglihatan dunia, terutamanya di negara-negara membangun.
Gejala Katarak
- Ketajaman penglihatan beransur-ansur terjejas walaupun dengan bantuan cermin mata.
- Masalah penglihatan yang silau pada siang hari atau pada waktu malam apabila berdepan dengan cahaya lampu kereta daripada arah bertentangan.
- Apabila keadaan katarak berlarutan sehingga meningkatkan kuasa diopteric kanta, boleh menyebabkan peningkatan rabun jauh (miopia).
- Apabila keadaan katarak tertumpu di lapisan tengah mata akan menyebabkan pandangan imej yang berganda (monocular diplopia).
Punca-Punca
- Antara punca utama katarak adalah proses penuaan. Kanta mata terdiri daripada gabungan tersusun protein dan air.
- Protein tertentu di dalam kanta mata bertanggungjawab untuk mengekalkan kejelasan (transparency) kanta.
- Akibat proses penuaan, struktur dan susunan protein kanta boleh berubah sehingga beransur-ansur menyebabkan kekabutan pada kanta mata.
- Walaupun jarang berlaku, katarak juga boleh terjadi pada peringkat umur yang lebih awal, termasuk pada bayi baru lahir (congenital cataract) atau pada kanak-kanak, remaja dan dewasa akibat daripada kecacatan enzim (melalui faktor keturunan), trauma yang teruk pada mata, pembedahan mata atau keradangan dalam mata (intraocular inflammation).
- Faktor-faktor lain yang turut menjadi punca perkembangan katarak pada usia lebih awal juga termasuk pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu, penyakit kencing manis (diabetes mellitus), merokok atau penggunaan ubat-ubatan tertentu yang mengandungi steroid.
Rawatan
Prosedur pembedahan katarak biasanya dilakukan sama ada di hospital atau di pusat pembedahan ambulatori. Jenis pembedahan yang paling lazim dilakukan adalah proses yang dikenali sebagai phacoemulsification.
Prosedur ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan di mana pakar bedah mata akan membuat potongan kecil (incision) di permukaan mata atau berhampiran kornea. Seterusnya satu alat khas yang halus (ultrasound probe) dimasukkan ke dalam kanta mata dan menggunakan getaran ultrasonik untuk memecahkan (phacoemulsify) kanta yang kabut iaitu katarak.
Serpihan-serpihan kanta yang kabut kemudian disedut keluar menggunakan alat yang sama. Setelah katarak dikeluarkan, kanta tiruan (intraocular lense) dimasukkan ke dalam beg capsular nipis mata, menggantikan tempat katarak yang telah dikeluarkan.
Kanta tersebut adalah penting dan berfungsi membantu fokus mata selepas pembedahan. Suatu perkara penting yang perlu difahami oleh pesakit katarak adalah keputusan muktamad untuk merawat penyakit ini terletak di tangan mereka.
Tidak semua masalah penglihatan berpunca dari katarak dan pembedahan tidak semestinya perlu walaupun kehadiran katarak telah disahkan oleh pakar bedah mata. Norzalina Mohd Alias