07.07.17 Pelakon Popular Izara Aishah Akhirnya Bertunang

Rimbun segar si pohon ara,

Megah berdiri di hujung laman,

Besarnya hajat tidak terkira,

Ingin memetik bunga di taman.

Setelah lama bercinta, pelakon popular Izara Aishah akhirnya bakal menoktahkan zaman gadisnya dengan menerima undangan merisik dan bertunang daripada pihak keluarga pasangan cinta hatinya, Adib Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios.

Majlis yang sederhana dihadiri oleh keluarga terdekat telah berlangsung dalam suasana ceria di kediaman Izara, bertempat di Shah Alam. Kalau sudah jodoh insyaAllah pasti tidak akan ke mana.

Dikhabarkan, pasangan muda sama cantik sama padan ini, bakal disatukan pada 17.11.17 dalam majlis akad nikah dan majlis resepsinya pula pada 19.11.17 nanti.

Tiga buah dulang dari pihak lelaki buat si jelita Izara berupa sirih junjung, kek dan manisan serta sebentuk cincin sebagai tanda si gadis sudah diikat. Dulang hantaran dihiasi indah dengan bunga segar mendapat sentuhan magis daripada pereka perkahwinan terkenal, Nas Great idea. Pihak perempuan pula membalas dengan lima buah dulang hantaran yang direka dengan cantik.

Bonda tercinta, YM Tengku Datin Seri Zawyah tersenyum gembira bakal menerima menantu tidak lama lagi berkata,  “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan sehingga ke jenjang pelamin.

Hari ini berlangsungnya majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna,  merisik dan bertunang. Saya doakan semoga jodoh ini akan terus berkekalan hingga ke jannah. Aamin.” Izara tampil anggun menawan dalam persalinan oleh pereka terkenal, Yadotsa.

Apabila sudah berkahwin nanti, seperti artis wanita lain juga, Izara akan menjaga batas dengan sebaik-baiknya demi menjaga maruah dan nama baik bakal suaminya.

Semoga dipermudahkan urusan kedua-dua pasangan ini. Apa pun segala yang dilalui nanti perlulah berlandaskan kesabaran kerana dalam tempoh pertunangan ini pun mungkin banyak cabaran, maklumlah darah manis.

 

Pastinya ramai peminat tidak sabar nantikan majlis ‘wedding of the year’ di penghujung tahun ini. Tahniah daripada kami Majalah NONA, jangan lupa kirimkan jemputan nanti!

Share
Published by
Zully