Siapa yang tidak kenal dengan jenama produk kecantikan Leesa Formula yang amat popular suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan Serenity Spa, butik Umrah Hajj, Hajaba serta Women of Jannah yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri.
Seiring perubahan trend semasa ditambah dengan keadaan ekonomi negara yang kian ‘sakit’ mendorong wanita berusia 51 tahun ini memperlahankan segala aktiviti perniagaannya demi memberi perhatian kepada ibadah dan keluarga.
“Target saya apabila usia mencecah 50 tahun saya mahu bersara dan ingin menebus semula apa yang tidak sempat dilakukan dahulu kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaan contohnya bercuti bersama keluarga dan memberi perhatian terhadap anak-anak yang kini sedang melalui fasa remaja.
Kini saya juga gemar menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi untuk saya berkongsi nasihat, tip dan kaunseling kekeluargaan secara percuma. Ramai rupanya yang mahu berkomunikasi dengan saya di Facebook. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu dengan cara sendiri.
Salah satunya, berkongsi cara saya mendidik anak-anak agar memiliki keperibadian yang mulia. Jauh di sudut hati untuk riak kerana apa yang dikongsi itu memberi mesej yang baik dan positif. Percaturan saya dan suami untuk keluar dari zon selesa dengan meninggalkan jawatan tinggi di syarikat terdahulu nyata berbaloi.
Saya yakin bahawa Allah SWT sudah menetapkan rezeki buat saya sehingga suatu tahap dan apabila ia menjadi terlalu padat, saya tidak boleh menjadi tamak. Lebih 10 tahun saya menjadi perintis kepada fesyen Muslimah.
Saya banyak habiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Alhamdulillah jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga selain banyak memenuhi undangan majlis saudara mara. Kami cuba meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu,” ungkap Mona Din.
BERKAT TAHAJUD
“Alhamdulillah kini saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang. Jika dulu mudah hendak marah dan mahu semuanya sempurna. Ia bertitik tolak daripada solat tahajud yang saya amalkan. Masa untuk memperbaiki diri.
Saya disiplinkan diri dan berkongsi di Facebook bagaimana rutin bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajud. Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan bagi meraih pahala. Sama ada berada di Malaysia mahupun luar negara saya tetap konsisten melakukan rutin amalan tahajud ini.
Allah SWT permudahkan segala urusan saya, apa yang dipinta Dia akan makbulkan. Inilah yang ingin saya kongsi bersama pengikut-pengikut di sosial media. Alhamdulillah setiap hari jumlah pengikut kian bertambah.
Paling mengharukan tiada langsung kata-kata kecaman sebaliknya yang positif saja. Sebaik-baiknya semakin berusia kita semakin disayangi. Bukannya dibenci dan dikecam dengan perkara-perkara negatif,” kongsi Mona Din.
D’TAHTA
Mona Din kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan berteraskan perkahwinan yang menawarkan khidmat dewan untuk disewa bagi sebarang acara yang terletak di i-City Shah Alam.
“D’Tahta bermula secara kebetulan saja iaitu ketika saya sedang mencari tempat yang sesuai untuk perkahwinan anak lelaki saya. Saya tulis di Facebook untuk mendapatkan pandangan. Kebetulan rakan saya mengajak untuk bekerjasama maka tercetuslah D’Tahta. Anak lelaki saya menjadi pengantin pertama yang melangsungkan perkahwinannya di dewan D’Tahta. Kami juga mendapat hak eksklusif. Saya dilantik sebagai Ikon i-City dan bertanggungjawab mempromosikan i-City secara terperinci. Sesungguhnya aturan Allah SWT itu sangat cantik. Dia tutup satu pintu dan membuka pintu baru melalui orang lain.
D’Tahta terdiri daripada dua jenis dewan iaitu White Hall bertemakan Inggeris. Dewan kedua ialah Green Hall bertemakan taman. Saya merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan D’Tahta bukan hanya di kalangan orang Melayu bahkan untuk kaum lain juga. D’Tahta tidak terhad kepada majlis perkahwinan saja malah sesuai untuk apa jua acara.
Harapan saya semoga Allah SWT terus mengatur yang terbaik buat saya dan keluarga. Diharapkan anak-anak dapat meneruskan legasi perniagaan. Jika tidak, sekurang-kurangnya mereka dapat belajar tentang ikhtiar untuk hidup demi masa depan yang lebih baik,” akhiri Mona Din. AMY MOHD
This website uses cookies.