10 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia, Nama Ursula von der Leyen Dahului Tempat Teratas Tahun 2022

Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya. Lensa media tahun ini banyak menumpukan usaha dunia dalam pemulihan ekonomi selepas pandemik, selain ketegangan Rusia-Ukraine, krisis bekalan makanan dan inflasi di Eropah. Cabaran getir itu turut dipikul oleh ramai pemimpin wanita dunia seperti yang dilaporkan dalam The World’s 100 Most Powerful Women oleh Forbes. 

Peribahasa ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’ menjelaskan betapa wanita adalah satu daripada entiti peradaban yang penting. Begitu juga kata-kata bahawa kejayaan lelaki dapat dilihat dari dua perkara iaitu siapa ibunya dan siapa isterinya, juga merakamkan peri pentingnya seorang wanita.

Dalam membuat penilaian tahun ini, Forbes mengambil kira empat metrik utama iaitu wang, media, impak dan lingkungan pengaruh untuk menentukan senarai hierarki paling berkuasa di dunia.

Untuk pemimpin politik, ia diukur dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta populasi rakyat. Sementara pemimpin korporat diukur dari jumlah hasil, kakitangan dan liputan media.

Dapatan daripada kajian itu menyaksikan senarai penuh para wanita yang bertanding untuk pengekalan status quo.

 

PALING BERKUASA

Pemimpin wanita dalam politik kekal tersenarai di tangga tiga teratas, disusuli Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama di syarikat gergasi automotif, General Motors (GM). Wanita dalam sektor kewangan, perniagaan dan philanthropy turut menempa dalam senarai The World’s 100 Most Powerful Women oleh Forbes ini.

 

1. Ursula von der Leyen – Presiden Suruhanjaya Eropah, 64 tahun

2. Christine Lagarde – Presiden Bank Pusat Eropah, 66 tahun

3. Kamala Harris – Naib Presiden Amerika Syarikat, 58 tahun

4. Mary Barra – Ketua Pegawai Eksekutif General Motors, 60 tahun

5. Abigail Johnson – Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Fidelity Investments, 60 tahun

6. Melinda French Gates – Philanthropist, 58 tahun

7. Giorgia Meloni – Perdana Menteri Itali, 45 tahun

8. Karen Lynch – Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CVS Health, 59 tahun

9. Julia Sweet – Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Accenture, 55 tahun

10. Jane Fraser – Ketua Pegawai Eksekutif Citigroup, 55 tahun

 

KENALI URSULA

Foto: Kesatuan Eropah

 

Waktu sukar melahirkan pemimpin yang baik. Nama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen tersenarai di tempat pertama sebagai wanita paling berkuasa di dunia pada tahun 2022.

Berusia 64 tahun, wanita yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Jerman itu turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Suruhanjaya Eropah.

Disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tenang tetapi tegas, Ursula van der Leyen jelas tidak mudah tunduk dengan cabaran serta sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam menangani konflik di Eropah.

Beliau juga dianggap sebagai wanita paling berkuasa di benua itu, malah bertanggung jawab menyusun rancangan pemulihan pandemik Eropah, European Green Deal untuk perubahan iklim, sekatan perdagangan ke atas Rusia oleh Kesatuan Eropah (EU) dan sokongan EU terhadap Ukraine.

Share
Published by
Norzalina