Detik perkenalan yang dirancang oleh seorang rakan baik akhirnya membawa pasangan ini ke jenjang pelamin. Namun, perjalanan jodoh mereka tidak semudah yang disangkakan kerana komitmen terhadap tuntutan kerjaya masing-masing. Apatah lagi, dengan faktor jarak telah membatas pertemuan antara pasangan dua sejoli ini.
Andai sudah jodoh pasti tidak akan ke mana. Tanggal 1 Julai 2017 terpaterinya ikatan suci antara Dato’ Farah Zarina Johari Faisal Stephen dan Azril Bruce Philips sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Kami diperkenalkan oleh rakan baik saya, Kapten Soon yang pernah bersama-sama di bawah satu syarikat penerbangan tempat suami bekerja. Kapten Soon bertemu dengan suami di Tokyo untuk berbincang tentang kerja. Selingan antara perbualan mereka, Kapten Soon cuba perkenalkan suami kepada saya. Bermacam-macam cara Kapten Soon lakukan termasuk berbual dengan saya di Facetime semata-mata mahu memperkenalkan suami kepada saya. Namun ada saja halangannya.
Kapten Soon cuba menghubungkan kami menerusi email pula. Daripada situ suami mengambil inisiatif untuk bertanya khabar dan memperkenalkan diri. Selepas dua bulan berhubungan melalui email dan telefon, kami merancang untuk bertemu Kapten Soon yang menetap di Taipei,” ungkap Dato’ Farah Zarina yang merupakan Pengarah Kewangan di syarikat pembinaan miliknya, Brilliant Star Construction (M) Sdn Bhd.
Suaminya memiliki lesen juruterbang komersil dan merupakan pakar dalam merekrut juruterbang bagi beberapa syarikat penerbangan di Jepun. Biarpun berlainan adat dan budaya namun Dato’ Farah Zarina menyifatkan suaminya seorang yang ikhlas menerima dirinya selain tenang, merendah diri, romantik, penyayang, berjiwa besar dan mendahului keluarga dalam semua perkara.
DETIK LAMARAN
“Suami adalah cinta pandang pertama saya. Lamaran dibuat sewaktu ulang tahun kelahiran saya pada Oktober 2016 ketika kami keluar makan malam di sebuah restoran. Suami membuat kejutan dengan membawa sebuah kotak dan meminta saya membukanya. Saya merasa tidak selesa dan tidak mengendahkan kotak itu apabila beberapa staf restoran merakam detik itu dengan telefon mereka. Lalu suami membuka kotak itu dan ada 100 kuntum mawar di dalamnya.
Antara bunga itu terselit sebuah kotak cincin. Sebiji kek bercorak unicorn dibawa ke meja kami. Saya cukup terharu dengan apa yang dilakukan oleh suami. Walaupun tidak pernah menetap di Malaysia suami sanggup mengupah perancang bagi menguruskan majlis itu,” kongsi wanita jelita ini.
MAJLIS
Majlis pernikahan berlangsung di kediaman Dato’ Farah Zarina di Nilai Spring Villa. Ia bermula dengan malam berinai pada 30 Jun 2017 bertemakan malam Bollywood. Dato’ Farah Zarina anggun dengan solekan Saidatulnisa. Keesokan harinya diadakan majlis doa selamat dihadiri anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kajang.
Hanya sekali lafaz Dato’ Farah Zarina sah bergelar isteri. Mempelai memilih tema tradisional. Dato’ Farah Zarina menyarungkan kurung perincian bulu burung unta. Suami pula menyarungkan baju Melayu rona putih mutiara. Sekali lagi Dato’ Farah Zarina tampil jelita dengan solekan Saidatulnisa termasuk untuk resepsi malam.
Pengantin memilih persalinan rona emas perincian bunga bagi menepati tema dalam taman. Dato’ Farah Zarina mengenakan cape sebagai pelengkap akhir penampilannya. Bagi kedua-dua majlis di rumah dan hotel mereka menggunakan khidmat Precious Moment Wedding Malaysia milik Evan Chee.
“Bagi majlis resepsi di Hotel Westin saya memilih Carven Ong berkonsepkan dreamy fairyland. Masih saya ingat ketika sesi fitting pertama, sewaktu melangkah masuk ke butik Carven saya terpandang sehelai dress yang sangat cantik. Saya tanya Carven siapa empunya dress itu kerana sangat ‘wow’ rekaannya. Rupa-rupanya dress itu milik saya setelah melihat fabriknya. Carven berjaya transform fabrik berbunga saya itu kepada busana pengantin yang sangat indah!
Majlis resepsi ketiga saya menyarungkan rekaan Khoon Hooi. Evan Chee merancang dari segi dekorasi dan pembantu kami, Nil Neo bertanggungjawab dari segi pemilihan fabrik dan rekaan busana perkahwinan serta menguruskan tetamu. Jurusolek pilihan saya ialah Ary Muzamer.
Antara tetamu istimewa yang hadir ialah Dato’ Samson Anand, Datin Jeneatte, Puan Sri Czarina, Dato’ Reiss Tiara, Datuk Farid, Datin Dalena serta teman-teman yang terbang dari Jepun, Belgium dan US,” bicara Dato’ Farah Zarina.
Pihak pengantin perempuan memberikan 11 dulang hantaran bertemakan rona hijau. Manakala pihak pengantin lelaki membalasnya dengan 9 dulang hantaran bertemakan rona fuschia. Kedua-duanya memilih konsep taman untuk dekorasi hantaran. Pasangan ini memilih Hawaii sebagai destinasi bulan madu. AMY MOHD
Kredit Foto: AMIR NAUFAL