12 Tahun Berkahwin & Punya Anak 4, ADELIA WILHELMINA Kini Ceburi Dunia Perniagaan. Jenama Malaysia Jadi Pilihan!

Diam tak diam, sudah menginjak 12 tahun usia perkahwinan vokalis kumpulan Ungu, Sigit Purnomo Syamsuddin Said S.A.P. atau Pasha Ungu dengan isteri tersayang, Adelia Wilhelmina atau lebih mesra disapa Adel.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata. Selain itu, Adel juga menjadi “ibu sambung”  (ibu tiri) kepada tiga orang anak Pasha dari perkahwinan pertamanya.

12 tahun berumah tangga dan melahirkan zuriat dalam jarak yang agak rapat membuatkan Adel sibuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Namun begitu, Adel kini boleh menarik nafas lega apabila anak-anaknya, Dewa Hikari Zaidan Ibrahim, Sakha Dyandra Sultan Yusuf, Aliyan Akhtar Raja Sulaiman dan Princess Kayla Mutiara Pasha kini semakin membesar dengan baik dan memberikan ruang untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang digemarinya.

Baru-baru ini, Adel memaklumkan dirinya dilantik menjadi Pengarah untuk jenama Tudung Sebawang yang turut memasuki pasaran Indonesia. Bermula sebagai individu yang mencuba  jenama tersebut, rezeki Adel untuk membawa jenama dari Malaysia itu ke pasaran Indonesia.

“Saya bermula sebagai pelanggan yang mencuba tudung tersebut dan ternyata produknya bagus dan ramai di kalangan warga Indonesia yang bertanya mengenai hijab yang Adel gayakan. Jadi, saya tertarik untuk menjual produk tersebut di Indonesia. Apabila bertemu dengan pengasasnya, Nadea Fauzi, saya yakin untuk berkolaborasi dengannya.

Meskipun pasaran fesyen Muslimah di Indonesia agak maju dan variasi, tapi saya dapat melihat jenama ini berbeza dengan fesyen yang terdapat di Indonesia,” ujar Adel yang menjawat jawatan sebagai Pengarah di Sebawang Indonesia.

Lensa NONA sempat bertemu pasangan selebriti ini di Sebawang 1001 Malam Grand Launching baru-baru ini, Adel dan Pasha sempat meluangkan masa menghiburkan para tetamu yang hadir di majlis memperkenalkan Sebawang Indonesia di samping memperkenalkan koleksi terbaharu jenama tersebut.

Adel turut diajukan persoalan mengenai hubungan akrab dengan anak-anak tirinya yang disifatkan mempunyai hubungan yang akrab dengan mereka. Untuk rekod, Pasha mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Kiesha Alvaro Putra Sigit,Shakinah Azalea Napasha dan Nasha Anaya Putri Valentina Pasha.

Adel bersama 3 orang anak tiri serta bekas isteri Pasha, Okie Agustina

“Di Indonesia, ibu tiri digelar ibu sambung. Sememangnya hubungan saya dengan anak-anak memang akrab.Alhamdulillah, komunikasi juga baik dan anak-anak sudah semakin meningkat dewasa. Mereka juga menunjukkan minat dalam bidang seni dan komunikasi dalam keluarga juga baik,” ujar Adel yang turut membawa empat anaknya bercuti ke Kuala Lumpur selama beberapa hari usai majlis tersebut.

 Ketika ditanya mengenai rahsia kecantikan, wanita berusia 34 tahun ini bertuah kerana memiliki wajah yang tidak bermasalah namun masih mementingkan penjagaan wajah dengan caranya yang tersendiri. Sambung Adel lagi, jika mempunyai waktu, dia akan mendapatkan rawatan wajah di klinik kecantikan namun lebih mementingkan penjagaan wajah mengikut rutin yang sesuai.

Minat Adel dalam dunia perniagaan turut mendapat sokongan suami yang memberi sokongan moral terhadap perniagaan yang diusahakan oleh isteri tersayang. Malah menurut vokalis Ungu ini lagi, dia memberi sokongan terhadap minat isterinya dan berterima kasih di atas pengorbanan Adel menguruskan keluarga dan rumah tangga sebaik mungkin.

“Hari ini, saya hadir memberi sokongan terhadap Adel dalam bisnes yang diceburinya. Mudah-mudahan sukses selalu. Saya kira tidak ada masalah untuk Adel menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan pada masa yang sama menguruskan rumahtangga,” ujar Pasha seraya mengakhiri perbualan.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 27 Mac 2011 dan dikurniakan 4 orang cahayamata.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu