12 Tahun Hidup Bahagia, DR KATHREENA & Suami Buktikan Hikmah Kahwin Campur

Pasangan suami isteri, Dr Kathreena Kadir dan Dr Muhammad Lee Weng Ho berjaya membuktikan mereka mampu bahagia walau berlainan bangsa dan budaya. Kini, usia perkahwinan mereka menjangkau 12 tahun dengan kehadiran dua puteri yang comel serta bijak berusia 9 dan 4 tahun.

Sejujurnya, penulis begitu kagum dengan Dr Kathreena. Dalam usia 40 tahun Dr Kathreena punya kehidupan ‘sempurna’ sebagai seorang isteri dan ibu. Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah Dr Kathreena merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Klinikal Mulut & Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau merupakan pakar perunding bagi pesakit yang mengalami kanser. Menariknya, Dr Kath adalah anak jati Sabah pertama memiliki kepakaran dalam bidang diceburi. Manakala suaminya, Dr Muhammad Lee Weng Hong merupakan seorang doktor gigi berusia 41 tahun.

DETIK BERKENALAN DENGAN SUAMI
“Saya mengenali suami ketika sama-sama menuntut di Dental School, Universiti Malaya. Kami adalah rakan sekelas sewaktu belajar Dentistry selama 5 tahun. Saya merupakan ketua kelas manakala beliau adalah ‘mat photocopy’ dalam kelas kami. So setiap kali dapat nota kuliah dari pensyarah, sayalah orang pertama yang akan dapat. Saya akan serahkan nota itu kepadanya untuk dibuat salinan dan diedarkan kepada rakan-rakan sekelas. Kami tidak pernah ber’couple’

sewaktu di Dental School, hanya teman tapi mesra sebab berlainan agama dan bangsa.

Bagi saya, suami seorang pelajar yang pandai bergaul, sangat bertanggungjawab, rajin berusaha, independent, dan sangat bijak dalam kelas! Yes, he is one of the best students dalam kelas.

Selepas tamat dental school kami ditugaskan di tempat kerja berasingan. Saya dihantar kembali berkhidmat di Sabah manakala suami di Melaka. Kami hanya bertemu semula selepas 3 tahun di salah sebuah persidangan (National Dental Conference) di Kuala Lumpur. Sejak itu kami start dating jarak jauh (melalui telefon saja). Alhamdulillah, Allah SWT memudahkan hubungan kami. Selepas 3 bulan kami mengikat tali pertunangan. Suami memeluk Islam ketika kami sedang bertunang. Selepas 4 bulan bertunang kami bernikah.

BAIK DENGAN KELUARGA MENTUA
Setelah berkahwin dan berkeluarga, suami menjadi seorang yang sangat ringan tulang dalam membantu menguruskan hal-hal rumahtangga. Suami juga seorang bapa yang sangat rapat dengan anak-anak dan jenis family man. Selain itu, saya juga bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami kerjaya saya. Mungkin kerana bidang kami sama maka tidak timbul masalah. Malah, suami merestui dan mendorong saya untuk berjaya dalam bidang ini. Antara pengorbanan besar suami ialah pernah ‘melepaskan’ saya untuk pergi menjalani latihan sub kepakaran di Shanghai, China selama 12 bulan.

Bercakap tentang hubungan saya dan keluarga mentua, syukur mereka menerima saya dengan hati yang terbuka. Seperkara lagi, mungkin sebab saya berasal dari Sabah dan sudah biasa bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama menyebabkan saya tidak kekok untuk membiasakan diri dengan adat serta budaya keluarga suami selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam. Manakala bahasa ibunda yang digunakan mereka ialah Mandarin dan Kantonese.

Bagi saya, antara kelebihan kahwin campur ialah anak-anak mendapat manfaat daripada dua budaya yang berbeza. Mereka menjadi multilingual iaitu dapat menguasai 3 bahasa serentak. Bagi saya berkahwin sesama bangsa atau berlainan bangsa tak banyak bezanya yang penting personaliti, sikap toleransi serta memahami antara suami dan isteri menjadi tunggak kebahagiaan rumahtangga.

SYAWAL
Saya bercuti selama 2 hari sebelum Hari Raya. Untuk persiapan, sangat sederhana kerana saya sebenarnya amat sedih tidak dapat beraya di Sabah. Kalau bukan kerana anak-anak, saya tiada mood hendak beraya disebabkan kekangan kerja dan keadaan semasa yang amat merisaukan. Saya kuatkan juga semangat untuk menyediakan apa yang termampu agar anak-anak dapat merasai suasana Hari Raya Aidilfitri dan tidak hanya mengenali perayaan Tahun Baru Cina saja. Suami pula, setiap kali Hari Raya beliau sangat suka masakan Ayam Kurma. Saya akan cuba masak makanan kegemarannya itu jika berkesempatan.

NASIHAT BUAT RAKYAT MALAYSIA
Walau hanya duduk di rumah anda sebenarnya memainkan peranan sangat besar dalam membantu para petugas barisan hadapan yang setiap saat bertarung nyawa menguruskan pesakit-pesakit COVID-19. Hentikan sikap tidak endah atau ‘Tidak apa, sebab bukan aku yang kena.’

Hargai usaha kerajaan dan patuh setiap arahan.

Buat rakan-rakan seperjuangan, usah gentar. Have faith that it is His decision to choose heroes amongst us. Today we learn that not all heroes wear capes, yet the best heroes’ wears mask and face shields. Berjuanglah di medan perang ini bersama-sama, semoga kita tidak jatuh! Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati setiap amalan baik kita.

Buat mereka yang pasangannya doktor, lebih-lebih lagi jika isteri seorang doktor bersedialah untuk memahami selok belok kerjaya beliau. Termasuk ‘berkongsi’ masa isteri bersama para pesakitnya. Bantu isteri untuk menjadikannya seorang ibu dan isteri terbaik buat keluarga seterusnya menjadi doktor berdedikasi di hospital. Pengorbanan isteri adalah atas dasar kepentingan tugas yang menjadi fadhu kifayah.”

Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dr Kathreena Kadir

BACA JUGA:

DR KATHREENA Kongsi Detik Mendebarkan Ketika Terpaksa Lalui Tempoh PKP Selama 2 Minggu Di Shanghai, China

Hentikan Sikap “TAK APA, SEBAB BUKAN AKU YANG KENA” Pesanan Tegas DR KATHREENA Buat Rakyat Malaysia

 

 

 

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad