Seronok melihat keakraban Raja Azura dengan anak-anaknya yang kini sedang meniti usia remaja. Nampak mesra macam kawan-kawan, sentiasa happy go lucky. Ke mana saja tetap bersama.
Bertuah anak-anaknya dikurniakan seorang ibu yang ceria dan penyayang. Didikan Raja Azura terhadap mereka juga adalah terbaik biarpun lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.
Tiga anak-anak Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku ialah Megat Muhammad Raziq (21), Megat Luqman Haqim (20) dan Puteri Mia Maizura (18).
Memetik perkongsian Raja Azura di Instagram peribadinya baru-baru ini: –
“Soalan Yang selalu ditanya dalam diri kita? Apa yang tidak boleh dibeli di dalam dunia dengan wang ringgit? Jawapannya kasih sayang ibu bapa.
“Dalam kes Kak Engku berbeza, saya la ibu, saya la bapa.
“Kepada anak-anak di luar sana, ingat pesan ini sampai ke hujung nyawa. Itu nilai yang tidak akan anda boleh bayar. So kepada anakanda ku @megat.ara @memura.ara @_mia.ara_ mama love youuu…”
Pernah berkongsi dengan Nona, Raja Azura tidak pernah membezakan kasih sayangnya terhadap anak-anak.
“Anak-anak memang rapat dengan saya. Saya juga tak pernah membezakan kasih sayang terhadap mereka yang diberikan sama rata. Mereka adalah amanah Allah SWT buat saya.”
Sejak bercerai pada 2010, Kak Engku sangat tenang dan ceria sepanjang mengharungi kehidupannya sebagai ibu tunggal.
“Hidup mesti diteruskan walau bergelar ibu tunggal. Apa yang saya amalkan selama ini ialah kuatkan mental dan fizikal. Selain itu, emosi juga perlu dikawal dengan baik. Dengan anak-anak saya bersikap terbuka apatah lagi mereka kini dalam usia remaja.
“Pedulikan apa orang kata sebab hanya diri kita saja tahu apa yang terbaik. Barulah kita boleh menjalani life seorang ibu tunggal dengan sempurna. Sebab kitalah yang akan menggalas tugas seorang ibu, ayah, bibik, driver dan guru bila di rumah.
“Kekuatan itu hadir bila anak-anak memberi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran ataupun sukan sekaligus menggembirakan hati saya.”
Pesan Raja Azura buat anak-anaknya agar sentiasa menghormati ibu bapa walau apa pun terjadi.
“Usah meminta-minta jika tidak diberi. Selalulah bersyukur dengan apa yang ada. Rezeki ada di mana-mana. Usaha untuk menjadi hebat dan terbaik. Mama sentiasa berada dalam diri anak-anak. Mama tiada harta nak ditinggalkan, hanya ilmu yang dapat Mama berikan.”
RAHSIA AWET MUDA
“Saya tak ada amalkan apa-apa petua pun. Biasa saja, nak inject pun tak mampu… Selalunya, lepas balik rumah saya akan cuci muka seperti biasa. Itu pun saya pakai basic saja sebelum tidur.
Tak lupa minum air suam dan suplemen. Bila dah berusia ni kena cukup tidur, makan pun saya control sebab berat saya jenis cepat naik. Saya memang jarang makan malam.”
Pemilik nama sebenar, Y.M Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin ini masih ligat dalam industri seni sebagai penyampai radio, pengacara, pelakon serta penyanyi. Raja Azura juga merupakan antara selebriti tempatan yang memiliki pertalian darah dengan kerabat Diraja Perak.
Kredit Foto: Instagram YM Raja Azura
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.