Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.

Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.

Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.

Ads

Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.

“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!
Dato’ Dr Ahmad Faizal kini masih berkhidmat di Hospital KPJ

 

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.

Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.

Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.

Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.

Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

 

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

 

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

 

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

 

Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.

“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.

Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.

Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.

Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal

Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!

 

Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.

Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.

Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.

“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.

Ads

Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”

 

AKTIVITI

Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.

Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…

 

“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.

Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.

Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”

Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.

Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?

Ads

“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.

Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!
Dato’ Dr Faizal diwakili Timbalan Presiden MERCY Malaysia, Datin Raja Riza menerima anugerah

 

Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.

“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.

Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.

Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”

 

IDOLA

Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.

Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.

“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.

Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.

13 Tahun Jadi Presiden MERCY MALAYSIA, Dato’ Dr Ahmad Faizal Masih Setia Mencurah Jasa Sebagai Frontliner COVID-19!
Mendiang William L. Swing

 

Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.

Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal

Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.

 

Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI