Raja Permaisuri Berkenan Sempurnakan Pelancaran Laman Web Sarawak Heritage Di London

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menerima kunjungan isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang melawat pameran Pavilion Antarabangsa Malaysia sempena Minggu Kraf London (London Craft Week – LCW) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square, London, United Kingdom semalam (7 Mei 2023).

Turut menyertai lawatan tersebut, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Seri Paduka Baginda, yang juga mengetuai delegasi Malaysia bagi pameran tersebut, menzahirkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan atas inisiatif kolaborasi seni kraf negeri Sarawak dengan negeri Pahang dan beberapa pihak lain sempena LCW yang berlangsung bermula pada 6 Mei hingga 14 Mei 2023.

 

Seri Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas inisiatif yang dilakukan untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usahanya membangun dan memajukan seni kraf dan warisan negara.

Seri Paduka Baginda turut berkenan merasmikan laman sesawang saratage.my (Sarawak Heritage) oleh Centexs Commercial, milik Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak.

Laman sesawang tersebut menjadi platform e-dagang bagi mempromosikan produk seni kraf dan warisan Sarawak seperti songket, keringkam, tekstil serta aksesori kraf yang dihasilkan pelatih Centexs, komuniti usahawan tempatan dan penghuni Penjara Puncak Borneo.

Bertemakan ‘Abstract Nature’ (Abstrak Alam Semula Jadi) pameran mempamerkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui tradisi krafnya yang luar biasa.

Ia juga akan menonjolkan kemahiran kraf yang berakar umbi dalam masyarakat Orang Asli Malaysia iaitu Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia dan suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Pameran edisi kedua Malaysia berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square itu termasuk demonstrasi dan bengkel secara langsung, antara lain ukiran kayu, penyepuhan tekstil atau teknik menghias tekstil (telepuk), bakul, anyaman tikar, songket (broked), sulaman dan manik suku.

Antara produk yang dipamerkan ialah Telepuk Terengganu dan Songket Terengganu, produk tenun orang Semelai Pahang (Anyaman Pandakan), warisan tenun Mah Meri (Anyaman Pandan.) dan arca nenek moyang dari Selangor.

Kredit Foto: Facebook Istana Negara

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Amy Mohd