Selepas lima tahun menduda, pelakon tampan Esma Daniel, 54, kembali bergelar suami kepada Nur Atira Mazlan, 31, pada Sabtu.
Menurut Esma, majlis pernikahan mereka diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Kajang, Selangor.
“Walaupun pernah berkahwin dua kali sebelum ini, saya tetap gementar apabila melalui semula saat itu (dinikahkan).
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan majlis perkahwinan kami pun sebenarnya diawalkan dari perancangan asal,” katanya yang mengikat tali pertunangan pada 22 Januari lalu.
Mengharapkan perkahwinan kali ketiga ini akan kekal sehingga akhir hayat, Esma pernah membawa Atira ke lokasi penggambaran bagi membiasakan isterinya itu dengan kerja sebenar anak seni.
“Pada awalnya penerimaan dia berbeza, tetapi selepas beberapa kali di bawa ke lokasi, dia semakin memahami.
“Selepas dua kali gagal, tentu sekali saya harap perkahwinan kali ini berkekalan sehingga ke akhir hayat,” jelasnya.
Esma sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Sherie Merlis pada 1992 dan bercerai lima tahun kemudian. Mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Pada tahun 2002, Esma menikahi Nitra Sari Omar, namun perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam orang anak.
Sumber : mStar | Sinar Plus
This website uses cookies.