Jujurnya, penulis kagum dengan naluri keibuan dan jiwa penyayang Sharifah Aminah Syed Mohssain ini. Bayangkan selama sembilan tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu seorang diri. Meskipun waktu itu, dia masih bujang!
Masuk tahun ini, sudah 14 tahun Sharifah Aminah atau mesra disapa Sha bergelar ibu dan membesarkan lima anak. Pada pandangan khalayak, dia sama seperti kaum ibu lain yang ada anak kecil dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Ads
Hakikatnya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sha sendiri. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang dijaga dengan sempurna oleh Sha sejak kecil lagi.
Murni sungguh hati insan ini kerana sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata mahu membesarkan anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 14 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 13 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 12 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 7 tahun.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi.
Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat.
Ads
Kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami waktu itu, Sha teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri. Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan!
Ibarat pelangi selepas hujan, tanggal 25 Disember 2017 tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa murni ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
Apatah lagi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Sha dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Shakyra Aareefa, 2 tahun dan anak bongsu yang mesra dengan nama panggilan, Deqbie Tyra setahun.
Ads
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sha juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri.
Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib anak kesayangan.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini bahagia di samping suami tercinta dan tujuh orang anak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Subuh tadi, Makcik Kiah bangun tersenyum syukur. Menarik nafas panjang dan menggerakkan tubuh manja. Alhamdulillah untuk satu hari lagi kehidupan, terima kasih Allah untuk nafas hari ini.
Makcik Kiah bangun menunaikan kewajipan solat Subuh dengan tenang tanpa perlu memikirkan hari semalam yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga, berfikir tentang esok yang belum tentu kedatangannya.
Selesai solat Subuh, Makcik Kiah masih duduk di sejadah sambil menadah tangan berdoa, berzikir dan membaca serta memahami Al-Quran dengan sekhusyuknya kerana hari ini adalah harinya, maka Makcik Kiah manfaatkan hari itu sebaik-baiknya.
Makcik Kiah anggap masa hidup hanya hari ini sahaja, seakan-akan dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Tidak mahu tersepit di antara masa lalu dengan pelbagai rasa sedih dan kegundahan atau memikirkan masa depan belum pasti dan mungkin menakutkan.
Hari ini, Makcik Kiah mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikan setiap minit itu seperti ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun, tanamkan segala kebaikan sebanyak-banyak pada hari itu. Makcik Kiah menyusun pelbagai aktiviti untuk pastikan segalan keindahan dan kebaikan itu ada pada hari ini.
Dengan rasa itu membuatkan hidup Makcik Kiah merasa aman dan tenteram, berdoa sungguh-sungguh untuk memohon keampunan Allah, menghabiskan masa bersama keluarga dengan tugas-tugas memasak dan mengemas rumah, dengan tangan terbuka dan rasa syukur.
Makcik Kiah tanamkan semangat positif dalam diri bahawa hari ini adalah miliknya. Bersyukur dapat makan nasi yang harum baunya, maka tidak lagi berfikir tentang nasi yang telah dimakan semalam.
Ada juga Makcik Kiah terfikir tentang apa nak dimasak esok, padahal esok masih angan-angan. Lalu Makcik Kiah terus menikmati nikmat hari ini dengan semangat dan tekad. Prinsip inilah membuatkan Makcik Kiah menyibukkan diri setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan.
Makcik Kiah tidak lagi membuang masa dengan tidak berfaedah, bergosip tentang artis bersama teman, tidak berkongsi fitnah atau perkara negatif melalui talian WhatsApp atau membenci orang lain. Kerana hanya hari ini, Mak Cik tidak mahu menyerabutkan keadaan. Biar semua berlalu dengan tenang dan bermakna untuk dirinya dan orang tersayang.
Hari ini juga, Makcik Kiah manjakan diri dengan membersihkan diri, jaga penampilan agar kelihatan cantik dan rapi. Pada waktu yang sama Makcik Kiah sempat membuat sumbangan derma melalui Tabung Prihatin COVID-19.
Makcik Kiah amat menghargai kehidupan hari ini dan sempat mengucapkan pada dirinya, “Wahai masa lalu yang telah selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi pemergianmu. Aku tidak mahu termenung untuk mengingati segala yang berlaku. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tidak akan kembali lagi.
Wahai masa depan yang belum pasti kemunculannya. Aku hanya mampu berdoa yang sebaik-baiknya bila ketibaan itu dan pasti akan bersyukur kala Allah memberi aku nafas untuk hadapi kehidupan seterusnya. Dan aku tanamkan dalam diri untuk buat yang terbaik pada hari-hari yang bakal aku jalani, insyaAllah,” bicara Makcik Kiah sambil menutup buku bertajuk Don’t Be Sad yang menjadi inspirasi dalam hidupnya. Kiffy Razak
Sumber Ilustrasi: @NPR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setelah beberapa bulan laman Instagram pasangan ahli perniagaan Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida sunyi tanpa foto pasangan, ramai followers yang sudah menghidu kisah rumahtangga mereka yang sedang bergolak. Namun, istana bahagia itu kembali ceria apabila mereka mula berbaik semula.
Melalui posting Instagram Datin Seri Shahida baru-baru ini, ada juga beliau ‘tersebut’ kisah pergaduhannya dengan dengan suami tersayang. Disertai dengan doa semoga pergaduhan itu tidak berlaku lagi, usia perkahwinan selama 13 tahun nyata bahagia bersama anak-anak tersayang.
“Bergaduh baik, bergaduh baik…13 tahun macam tu tak ada kesudahan. Baik sekejap, bergaduh lama. Selepas bergaduh panjang hari tu sampai sekarang tak gaduh lagi. Berapa lama agaknya boleh bertahan sebelum bergaduh semula. InsyaAllah, selama-lamanya tak bergaduh dah! 13 tahun bahagia bersama anak-anak tersayang…”
Ramai juga komen yang begitu gembira dan bersyukur apabila pasangan ini mulai berkongsi gambar-gambar mereka bersama dan mendoakan kebahagiaan buat pasangan ini. Antara yang menjadi perhatian adalah komen dari tuan empunya badan.
“Ya sayang. Kalau Sayang tak ada B akan susah. Kalau B tak ada, Sayang pun susah. I love you and family forever.” tulis Dato’ Seri Aliff Syukri.
Usahawan yang begitu dikenali dengan produk-produk tempatan yang diketengahkan ini adalah di antara pemilik empayar kosmetik terbesar di Malaysia. Sungguhpun sering menerima cemuhan daripada warga netizen namun kejayaan yang dikecapi mereka berdua sering juga menjadi inspirasi.
Dalam satu tulisan Datin Seri Shahida, syarikat perniagaan D’Herbs Holdings sudah 10 tahun di pasaran. Perjalanan satu dekad itu masih lagi mendapat permintaan dari pengguna. Mengimbau kenangan dalam satu foto perkongsiannya menceritakan serba sedikit bagaimana empayarnya bermula.
“Entah zaman bila punya gambar. Tahun ini genap 10 tahun DHerbs Holdings HQ berada di pasaran dan masih mendapat permintaan pengguna. Nak menaikkan perniagaan susah tetapi lebih susah lagi untuk mempertahankan perniagaan. Zaman berubah.
Jika dahulu menghasilkan iklan sekali penat, kemudian TV akan ulang-ulang. Sekarang zaman teknologi, semua di hujung jari. Idea juga perlu bernas untuk terus konsisten. Ramai sangat orang bertanya, tak takut ke jika bisnes jatuh atau bila produk sudah tak popular. Nanti nak dapat income dari mana?
Jawapan saya, selagi ada rezeki berniaga, adalah… Kalau satu hari nanti bukan rezeki saya lagi, saya bersyukur juga kerana Allah dan beri saya pelbagai nikmat merasai kesenangan, kebahagiaan dan macam-macam lagi.
InsyaAllah rezeki Allah luas. Selagi kita ikhlas dan sentiasa membantu orang, rezeki kita tak akan putus. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk, dan sesuai dengan apa yang kita perlukan. Jujurnya, dahulu berniaga tak pernah terlintas nak jadi kaya. Hanya sekadar cukup keperluan. Niat saya nak bawa mak dan ayah ke Mekah sahaja. Ada rumah dan kereta sendiri. Itu sahaja, tak lebih apa yang saya minta.
Sebab itu saya bersyukur Allah beri saya lebih dari apa yang saya minta. Dulu Aliff Syukri target untuk memandu Honda sahaja. Alhamdulillah, terima kasih pengguna-pengguna DHerbs.” Tulis Datin Seri Shahida sambil meuar-uarkan dua lagi cawangan DHerbs yang baharu dibuka.
Sudah menjadi lumrah kehidupan ada ketika kita di atas, ada masa pula di bawah. Begitu jugalah yang dialami pasangan selebriti romantis Aeril Zafrel dan Wawa Zainal. Sebelum dikurniakan rezeki melimpah ruah seperti yang dinikmati hari ini, mereka juga pernah melalui liku hidup serba mencabar. Namun berkat kesungguhan untuk berjaya, kedua-duanya kini sukses dalam bidang yang diceburi.
Bagi Aeril, selain berlakon dia juga menjadi orang terpenting di sebalik perniagaan Wawa Cosmetics. Sementara Wawa atau nama penuhnya Nur Hawa Zainal Abidin pula dilihat
lebih aktif merencana hala tuju empayar Wawa Cosmetics berbanding kerjaya seni memandangkan perniagaan ini bukan hanya menjadi sumber pendapatan kepada mereka berdua. Bahkan turut menjana punca rezeki dalam kalangan agen dan stokis wanita Wawa Cosmetics di luar sana.
Bermula dengan jualan Wawa Soft Lens, jelitawan berusia 28 tahun ini terdetik untuk mengusahakan bisnes kosmetik miliknya, Wawa Cosmetics. Meskipun masih baru dalam industri kosmetik tetapi produk kecantikan ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat. Sehingga ke hari ini Wawa Cosmetics memiliki pelbagai rangkaian kecantikan termasuk make up kit, lip matte, lip treatment, pemerah pipi, serum, EE cushion, bedak padat, eyeliner, eyebrow dan pelbagai lagi.
Mengimbas kembali perjalanan awal sebelum bergelar usahawan kosmetik, Wawa terbuka berkongsi pengalaman bersama peminat di Instagram miliknya. Sambil memuat naik gambar di hadapan sebuah rumah, ibu tiga anak ini membuka cerita. “Inilah mahligai kami di awal perkahwinan dulu. Rumah sewa je. Masa tu nak beli rumah macam ni pun belum mampu. Ingat lagi.. masa lahirkan Attar duit simpanan cukup-cukup je nak bayar hospital, beli barangan baby. Tak ada pun barangan mahal untuk Attar.
Tapi syukur masa tu Instagram baru nak naik. Ramai gila peniaga barangan baby yang bagi gift review. Penuh satu bilik hari-hari tunggu abang posmen datang. Kedengaran selalu orang cakap-cakap, ‘Tu la ko nak kawin yang handsome aje. Cuba pilih yang kaya!!’. Punyalah cinta dengan Aeril Zafrel, saya tak kisah asalkan bahagia! Duit boleh cari tak apa. Ecewah macam dalam drama!
Lama-kelamaan tak tahan sebab asyik nak kena mintak duit suami je. Rasa malu yang amat. Daripada situ la Wawa start bisnes kecik-kecilan, online bisnes & alhamdulillah hari ini kami dah capai impian kami beli rumah, beli kereta idaman hasil meniaga. Syukur ya Rabb.”
Tambahnya lagi, “Sebenarnya kan kita ni semua boleh berjaya .. nak tak nak je. Kita sebenarnya terpenjara dalam minda ketakutan kita sendiri. Macam mana nak keluar dari penjara ketakutan tu?? KUNCI dia adalah KEPUTUSAN.. Berani buat keputusan!! Berani bertindak ! Selagi tak bergerak selagi tu la you all duduk dalam penjara ketakutan tu. So mulakan dengan tindakan ok.”
Awal Oktober lalu, Wawa turut berpesan, “Susah kan nak kurus?? Macam tu jugak la dengan kejayaan. Bukan hari ni buat esok dah kaya. Wawa dan Aeril pun bisnes dah lama. Jual baju pernah, jual tudung pernah, jual contact lens sehingga la Wawa Cosmetics sekarang since 2016. 4 tahun bukan sekejap pernah jatuh bangun balik. Siapa kata Wawa instant kaya cubit dia. Now pun tak kaya lagi pun. Alhamdulillah cukup memadai buat Wawa dan team. Syukur.”
Disember 2019, keluarga bahagia ini menerima kehadiran orang baru yang juga cahaya mata ketiga Wawa dan Aeril yang diberi nama Aya Soffya. Khabarnya, nama indah Aya Soffya diambil sempena nama sebuah masjid di Turki. Pastinya, ia rezeki berganda buat mereka kerana selain bisnes yang semakin maju dan kemampuan memiliki rumah sendiri serta kereta mewah, mereka juga dikurniakan seorang lagi cahaya mata comel sebagai penyeri rumah tangga.
Wawa dan Aeril berkahwin pada tahun 2012 sebelum dikurniakan anak sulung, Ahmad Fakharuddin Attar dan anak perempuan, Hayla Maghfirahtul Azdkiyaa.
Kredit foto: Instagaram Wawa Zainal
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...