14 Tahun Besarkan 5 Anak Walau Bukan Dari Darah Daging Sendiri, Murninya Hati Wanita Ini!

Jujurnya, penulis kagum dengan naluri keibuan dan jiwa penyayang Sharifah Aminah Syed Mohssain ini. Bayangkan selama sembilan tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu seorang diri. Meskipun waktu itu, dia masih bujang!

Masuk tahun ini, sudah 14 tahun Sharifah Aminah atau mesra disapa Sha bergelar ibu dan membesarkan lima anak. Pada pandangan khalayak, dia sama seperti kaum ibu lain yang ada anak kecil dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Hakikatnya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sha sendiri. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang dijaga dengan sempurna oleh Sha sejak kecil lagi.

Murni sungguh hati insan ini kerana sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata mahu membesarkan anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 14 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 13 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 12 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 7 tahun.

“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.

Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.

Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami berdua gilir-gilir jaga.

Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.

Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.

Ingatkan sampai takat itu saja tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi.

Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.

Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat.

Kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”

Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami waktu itu, Sha teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri. Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan!

Ibarat pelangi selepas hujan, tanggal 25 Disember 2017 tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa murni ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.

Apatah lagi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Sha dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Shakyra Aareefa, 2 tahun dan anak bongsu yang mesra dengan nama panggilan, Deqbie Tyra setahun.

Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sha juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri.

Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib anak kesayangan.

“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.

Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.

Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.

Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini bahagia di samping suami tercinta dan tujuh orang anak.

Share
Published by
Suzi