Lagu ‘Jerat Percintaan’ menjadi titik mula kepada kebangkitan ‘Siti Nurhaliza’. Nama ini mula menjadi sebutan bukan saja dek kerana kejelitaan asli yang dimiliki bahkan kehebatan vokalnya biarpun ketika itu beliau masih di bangku sekolah.
Daripada seorang gadis desa DS Siti Nurhaliza kini berada dalam kelas tersendiri. Anak jati Kuala Lipis, Pahang berusia 41 tahun ini tetap berpegang kepada prinsip ‘Tidak Hidup Dek Puji, Tidak Mati Dek Keji’.
MOMENTUM
24 tahun dalam industri, figura tanahair ini turut melalui pelbagai perubahan antaranya era digital. Queen of Pop Malaysia dan Voice of Asia ini sentiasa bersedia menerima perubahan agar terus relevan dalam industri yang kian mencabar.
“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT sudah aturkan perjalanan hidup yang terbaik dari segi sebagai seorang penyanyi, usahawan dan juga isteri serta ibu. Tanggungjawab sebagai penyanyi sebenarnya sangat besar. Saya bermula dengan menyanyi. Bidang ini sebenarnya banyak memberi pengaruh positif kepada kehidupan saya yang lain.
Bagi meneruskan momentum agar terus diingati dan relevan dalam industri, sekarang ini bukan masa untuk saya bersaing dengan orang lain termasuk BBNU. Saya mahu terus kekal dengan rangkaian lagu serta produk yang bagus. Saya juga perlu selalu tampil dengan sesuatu yang baru.
Apabila seorang artis itu sentiasa hadir dengan koleksi single terbaru itu yang akan membuatkan orang akan selalu ingat dengan kita. Janganlah kita terlalu lama sangat ‘duduk diam’ kerana orang akan bertanya adakah kita masih menyanyi atau tidak? Maka, tiket untuk terus diingati ialah sentiasa tampil dengan produk baru tidak kiralah dalam bidang nyanyian atau perniagaan.
Ads
Saya sendiri selalu mengeluarkan single sekurang-kurangnya satu dalam setahun, ataupun dua tahun sekali. Saya akan memastikan lagu-lagu yang ingin diperdengarkan berkualiti termasuk persembahan yang bagus agar ia menjadi ‘buah tangan’ yang sentiasa segar dalam ingatan peminat,” tutur ibu kepada Siti Aafiyah Khalid yang kini berusia 2 tahun.
DS Siti Nurhaliza berjaya membuktikan album fizikal masih mempunyai permintaan apabila album ManifestasiSITI2020 mencatat jualan melebihi 5 rubu unit sekaligus layak menerima Anugerah Emas daripada Universal Music. Satu kepuasan buat beliau dan syarikat Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd untuk untuk terus berazam menerbitkan album fizikal dan secara digital.
PERNIAGAAN
Melayari bahtera rumahtangga selama 14 tahun bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menjadikan DS Siti Nurhaliza seorang isteri, ibu, penyanyi serta usahawan yang terhebat. DS Khalid sentiasa menjadi tulang belakang utama untuk terus menjadi pendorong agar tidak mudah mengalah.
“Tidak dinafikan usahawan kecil atau besar terjejas dengan pandemik COVID-19. Saya juga tidak terkecuali. Oleh kerana suami seorang yang cepat bertindak terutama hal-hal berkaitan perniagaan beliau akan lebih serius. Beliau akan segera mencari penyelesaian. Katanya, kita tidak boleh mudah mengalah. Kena teruskan dan cari solusi terbaik.
Kami all out dengan menguatkan platform online dan website. Sebagai pengasas saya yang turut ambil tanggungjawab contohnya membuat makeup tutorial menggunakan produk serta cara menggunakan produk yang betul. Saya juga sentiasa update laman sosial tentang perniagaan, produk-produk yang dijual dan promosi. Cara ini amat berkesan.
Ads
Tidak dinafikan kita terpaksa berkorban sedikit dari segi harga produk yang dijual mengikut kesesuaian keadaan sekarang. Ramai yang terjejas dari segi ekonomi, keluarga, dibuang kerja dan sebagainya. Maka kemampuan mereka untuk membeli sudah berkurangan. Dengan harga berpatutan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka. Pada masa sama ia tetap memberi keuntungan kepada kami.
Strategi-strategi syarikat dan team pula kami perlu sentiasa duduk berbincang untuk memikirkan apa seterusnya untuk terus kekal dalam perniagaan. Lebih baik ada sedikit daripada tiada langsung. Maka, harus sentiasa cari jalan yang terbaik. Alhamdulillah laman sosial dan online business kami semakin kuat.
Kami turut membantu wanita-wanita atau sesiapa sahaja yang mahu menambah ekonomi keluarga untuk sama-sama menjana pendapatan dengan menjadi dropship. Tidak perlu keluarkan modal, hanya bantu buat promosi dan ambil pesanan. Ini cara kami mengukuhkan perniagaan dan membantu mereka yang mahu mencari pendapatan lebih,” kongsi pengasas SimplySiti, Creacion by Siti Nurhaliza dan BeauSiti by SimplySiti.
NONA HOMEGROWN AWARD
“Terima kasih majalah Nona kerana memberi penganugerahan berprestij ini. Besar pengertiannya buat saya. Sebagai majalah yang diminati pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja di kalangan high class mahupun medium class, ramai sebenarnya yang suka membaca majalah Nona kerana banyak memberi inspirasi.
Sebagai salah seorang wanita yang turut sama mengikuti perkembangan majalah Nona dan diberikan pula anugerah seperti ini sangat bermakna buat saya. Seseorang itu boleh menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain tidak kiralah sebagai isteri, ibu, usahawan mahupun wanita yang multi-talented. Itulah superwoman bagi saya.
Pun begitu, jangan pula selalu merasakan kita yang terbaik. Sebagai seorang wanita kita masih ada kekurangan namun kita berjaya mengatasi banyak kelemahan dengan cara positif dan bagus seterusnya menjadi inspirasi buat orang lain. Kita bantu orang lain untuk berjaya.
Maka, dari sudut positif itu terlalu besar untuk kita angkat wanita superwoman ini. Doakan saya untuk terus menjadi wanita yang dapat memberi inspirasi serta manfaat kepada orang lain,” akhiri DS Siti Nurhaliza.
Kredit Foto: Instagram @ctdk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berbicara tentang keluarga dengan cucunda DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bernama YM Tunku Dato’ Indera Syazwan Kaiyisah ini, Nona berkesempatan mengetahui beberapa amalan yang menjadi kunci kebahagiaan mereka.
Kalau mengikuti media sosialnya, paling seronok kalau melihat keakraban keluarga diraja Pahang ini bila mereka berjumpa. Ikatan persaudaraan terlihat begitu erat termasuklah diri Tunku Kaiyisah sendiri yang merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.
Sambil tertawa kecil, Tunku Kaiyisah berkata, “Kami sekeluarga memang sangat rapat sejak kecil lagi. Saling menyokong dan tolong-menolong.
Pantang jika ada keraian, semua orang mesti datang. Itu amalan wajib kami walau sesibuk apa pun, mesti datang. Setiap bulan ada majlis hari jadi atau anniversary dan sekarang ni tiap-tiap tahun ada majlis perkahwinan sepupu-sepupu yang lebih muda,” cerita Tunku Kaiyisah yang menganggarkan jumlah ahli keluarganya mencapai 60 orang.
Tambahnya, kini beliau mempunyai 8 orang ibu dan bapa saudara yang sudah berkahwin (kecuali seorang), kira-kira 32 orang sepupu dan 5 orang cicit. Jumlah keluarga ini semakin lama semakin bertambah besar dan meriah dari tahun ke tahun.
Dunia kecantikan dan wanita ini memang sukar dipisahkan. Kerana minat berniaga dan obsesinya terhadap bidang kecantikan, Tunku Kaiyisah dan sepupu, Natasha Ozeir menubuhkan PrettySuci.com, sebuah laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia.
“Alhamdulilah, kami berada di landasan yang betul sepanjang tahun 2017 ini dan insyaAllah bakal menambah lebih banyak pilihan produk menjelang tahun depan. Buat masa sekarang, PrettySuci menawarkan 32 jenama dengan 250 jenis produk berbeza.
Kemudahan teknologi banyak memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat kajian dan menguruskan PrettySuci dengan baik. Secara tak langsung dapatlah beri tumpuan untuk keluarga,” jelasnya.
Beralih kisah tentang kehidupan peribadi, Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 2, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 9 bulan, ini sebenarnya seorang family person. Meskipun sibuk dengan bisnes yang sedang berkembang, tapi beliau bijak menetapkan had bagi mengimbangi peranan sebagai ibu dan isteri di rumah.
“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Tidak sempurna, tapi complete. Ada keluarga yang memahami dan kerjaya yang saya sukai. Cuma mungkin ada beberapa misi lagi yang mahu dibuat seperti menjadi lebih fit dan dari sisi spiritual, menambahbaikkan ibadah saya.
Di rumah walaupun ada dua pembantu, tapi kami tetap luangkan banyak masa untuk anak-anak. Bonda saya pun rapat dengan cucu dan beliau selalu pesan supaya berikan didikan terbaik buat anak-anak kami.
Dari segi penjagaan kecantikan, saya amalkan produk-produk di PrettySuci seperti Argania Wonder Oil untuk memelihara kelembapan kulit dan rambut, Naveen Hydrating Mask untuk menyegarkan wajah serta sebagainya kerana saya harus uji semua produk yang dijual.
Dulu saya selalu tengok bonda amalkan macam-macam suplemen, tapi saya pula lebih gemar makan makanan seimbang dan buat cold pressed juice untuk kesihatan. Minum air mesti banyak untuk atasi water retention dan cegah selulit,” akhiri Tunku Kaiyisah sambil menunjukkan botol air yang selalu dibawa. Norzalina Mohd Alias
Sumber: Instagram @kaiyisah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak kemunculannya dalam drama popular Lelaki Kiriman Tuhan, tidak dinafikan nama Harris Annuar semakin dikenali ramai. Bergelar pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017, lelaki bertubuh tinggi lampai ini merupakan anak bongsu kepada usahawan terkenal ‘Kak Ton’ atau nama sebenarnya Zaiton Hassan.
Kembali aktif mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan miliknya di kaca televisyen, figura yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini masih ligat berniaga meskipun sudah meniti usia 60 tahun. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tetap tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.
Kak Ton bersama anak-anak lelakinya
Situasi tersebut diakui Harris yang sering berada di samping ibu tersayang dan menyaksikan sendiri detik jatuh bangun wanita berjiwa kental tersebut. Bakal menginjak usia 26 tahun pada 14 Mei depan… pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian ini tanpa berselindung mengagumi personaliti ibu tersayang. Selain menyifatkan karakter ibunya sebagai seorang yang lucu, petah bercakap dan tegas, Kak Ton juga digambarkan ibarat srikandi yang tidak kenal erti putus asa.
“Apa yang anda nampak dia dalam TV, begitu juga sikapnya di dunia realiti. Memang transparent habis sebab mak tak pandai bermuka-muka dan telus dengan sesiapa pun. Dia memang suka bercakap sampai kadang-kadang susah hendak suruh dia berhenti. Samalah juga situasinya bila bersiaran dalam program TV. My mom hanya akan berhenti bercakap bila dia sudah puas beritahu apa yang hendak disampaikan. Anak-anak semua dah lali dengan perangai mak,” terangnya sambil tertawa.
Pernah berdepan perit maung sepanjang mengendalikan empayar Pravenus Beauty, Harris dan empat adik-beradik yang lain menjadi saksi kejatuhan perniagaan tersebut sekitar tahun 2004 apabila gerai jualan yang disewa terkena gangguan sihir. Turut terpalit dengan kesukaran hidup waktu itu, Harris terpaksa akur melihat dua kereta keluarganya dijual semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.
Bersama anak perempuan, Nadia Annuar
“My mom mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pada tahun 1999. Masa itu, mak cuma jual produk jamu dari rumah. Saya ingat lagi dia letak semua barang jamu dalam sebuah peti berwarna hitam. Bila bisnes makin dapat permintaan, mak sewa sebuah kedai di Seksyen 18, Shah Alam.
Bayangkan, dia sanggup berkongsi ruang kedai itu dengan dua lagi peniaga lain. Mulanya tak ada apa-apa masalah sehinggalah perniagaan mereka terkena sihir. Jalan penyelesaian terakhir yang dia ambil adalah dengan menjual kereta yang ada. Saya ingatkan duit yang dia dapat tu untuk buat modal pusingan. Sebaliknya mak guna untuk menunaikan umrah bersama ayah. Sepanjang berada di sana, dia tak putus-putus berdoa meminta pertolongan daripada Allah.”
Murni sungguh jiwa Kak Ton yang ‘berkiblatkan’ keredaan dan rahmat Allah SWT untuk meneruskan perniagaan tersebut. Sekembalinya dari Tanah Suci, ibu kepada lima orang anak ini mendapat jemputan dari sebuah stesen televisyen untuk mempromosikan produknya. Dalam tempoh masa yang diberi selama lima minit saja, Kak Ton menggunakan masa dengan sehabis baik untuk memperkenalkan produk Beauty Umaira.
Dengan izin Allah, sebaik melangkah keluar daripada program berkenaan talian telefon Kak Ton dihujani dengan panggilan orang ramai yang ingin membeli Beauty Umaira. Situasi yang tidak pernah dialaminya selama ini. Berkat doa dan kerja keras Kak Ton, puluhan ribu unit produk berkenaan berjaya dijual.
Khabarnya, Kak Ton juga antara wanita pertama yang menjejakkan kaki di bumi Palestin untuk memberikan sumbangan pada tahun 2012.
“Dari dulu sampai sekarang mak percaya, lagi banyak kita memberi… lagi banyak rezeki yang akan kita terima. Paling saya kagum dengan dia adalah hubungannya dengan Allah. Walau dah dapat rezeki melimpah-ruah dan bisnes makin maju, mak tak tinggal buat solat-solat sunat setiap hari. Macam satu rutin wajib baginya.
Malah, dia juga rajin berzikir. Sampai tertidur pun ada. Tahun pertama dapat duit jualan, mak bawa 40 stokis mengerjakan umrah. Tahun berikutnya pula dia tunaikan niat bawa golongan mualaf. Seterusnya anak-anak dan kawan rapat. Mungkin sebab itu Tuhan limpahkan rezeki meluas kepada mak.”
Berkali-kali meluahkan rasa kagum dengan sifat tabah dan cekal ibunya, Harris tanpa segan silu menjadikan perjuangan Kak Ton sebagai inspirasi dalam menempuh titian kerjaya dan kehidupan.
Semoga pengalaman hidup anak dan ibu ini mampu dijadikan teladan kepada khalayak untuk mencipta kekayaan di dunia dan akhirat kelak!
Foto: Instagram Kak Ton
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini pereka kandungan digital, Sofyank telah mengharumkan nama Malaysia apabila menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa, Zach King.
Kejayaan anak muda berusia 27 tahun ini telah mencetuskan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia sekaligus mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. DS Anwar turut menyifatkan kejayaan Sofyank sebagai satu inspirasi dan membanggakan negara.
Pemilik nama penuh, Mohamad Sofian Abdullah yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan ini terus mencipta sejarah apabila melakukan kolaborasi khas bersama Zach King. Menurut Sofyank, kolaborasi ini adalah ‘hadiah’ buat para peminatnya yang sentiasa memberi sokongan kepada setiap video yang dihasilkan.
Tulis Sofyank di ruangan kapsyen video kolaborasinya itu di YouTube:-
“Selepas lapan tahun saya muat naik video di media sosial untuk hiburan semua, kali ini saya hadiahkan korang satu video kolaborasi khas antara saya dan idola saya, @zachking.
“Kolaborasi ini khas untuk semua yang sentiasa bagi sokongan terhadap video kami.”
Sementara itu, menerusi hantaran video sama yang dimuat naik di akaun Instagram Zach King, Sofyank meninggalkan balasan di ruangan komen:-
“Akhirnya, impian terbesar saya sebagai pereka kandungan digital untuk berkolaborasi dengan anda (Zach King) menjadi realiti. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa gembiranya saya!”
Menerusi video pendek itu, kelihatan Sofyank dan Zach King berlakon dengan menampilkan aksi magik di mana kopi yang dihidangkan oleh Zach King kepada Sofyank bertukar menjadi kek dan papan tanda menu pula bertukar menjadi kain napkin yang digunakan semasa makan.
Sehingga kini, perkongsian video itu di aplikasi Tiktok Zach King berjaya meraih lebih lebih 10.2 juta tontonan pelayar media sosial dan lebih sejuta tanda suka serta ribuan komen seluruh dunia.
Kredit Foto: IG Sofyank
Di ruangan komen Zach King memaklumkan kepada peminatnya, Sofyank adalah sahabatnya yang berasal dari Malaysia. Dia menyifatkan Sofyank sebagai pereka filem serta artis VFX yang luar biasa.
“Beliau baru-baru ini datang ke Los Angeles untuk menyempurnakan cabaran membuat filem yang saya hoskan. Tiada spoiler, anda patut ke saluran YT (YouTube) saya untuk melihatnya,” kata Zach King.
ISTERI SETIA DI SISI
Di sebalik kejayaan seorang suami, pasti ada isteri di belakangnya yang menjadi tulang belakang di kala susah mahupun senang.
Nona memetik kata-kata yang pernah dititipkan oleh isterinya, Nabilah di Instagram:-
“Sejak 7 tahun lepas, sayalah orang oertama yang dia akan tunjukkan hasil video dia sebelum dia post. Tanya pendapat saya, tanya apa yang patut diimprove.
“Walaupun masa tu saya langsung tak pandai bab editing. Tapi still saya akan puji, and yakinkan dia yang video-video yang dia hasilkan sangat bagus.
“Dan harini semua penat lelah, kerja keras dia membuahkan hasil. Saya tahu setiap pengorbanan dia untuk video-video yang dia hasilkan. Saya ada di saat dia kecewa, stress dan letih. Dia korbankan tenaga dan masa untuk impian dia. Tapi awak tak pernah “Putus Asa”.
“Menitis air mata saya sambil tulis ni. Tapi semalam, saya adalah orang yang paling bahagia melihat satu-satunya orang yang saya cintai gembira. Semoga suami saya akan terus berjaya dan memberi manfaat untuk orang lain.”
“Your wife, who always proud of you.”
Semoga Sofyank terus sukses pada masa akan datang dan teruslah menjadi inspirasi dan kebanggaan negara. Malaysia Boleh!
Kredit Foto: IG Sofyank96, IG Nabilah
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!