Seronok tengok keakraban Siti Nordiana dan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie. Sering meluangkan masa bersama-sama dan layan anak seperti kawan, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran ini menjadi ikutan golongan ibu tunggal kerana semangat dan kekuatannya membesarkan anak seorang diri.
Di sebalik tawa dan kejayaan yang diraih hari ini, pasti ada detik duka yang disimpan penyanyi kelahiran Negeri Sembilan berkenaan.
Sepanjang bergelar anak seni, jarang Siti Nordiana Alias atau mesra disapa Nana bercerita soal peribadi. Apatah lagi mendedahkan mengenai perkahwinan terdahulunya yang terputus di tengah jalan kepada umum.
Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006 sebelum bercerai pada 14 September 2009.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia 15 tahun.
Sejak berpisah, pelbagai ujian terpaksa ditempuh demi membesarkan Rayyan dan bertindak menjadi ibu juga bapa kepada anak tersayang.
Nana tidak lagi berkahwin selepas bercerai dan selesa hidup berdikari dengan status ibu tunggal bagi memberi sepenuh tumpuan kepada Rayyan.
Bukan hanya diduga dengan kegagalan rumah tangga, pada 21 Julai lepas Nana sekali lagi diuji apabila bapa tersayang iaitu Alias Ahmad pergi menghadap ilahi.
Cekal mendepani hari-hari mendatang, Nana tidak sekadar menerima tawaran sebagai penyanyi bahkan dia turut mengusahakan perniagaan sendiri dengan rangkaian produk makanan Mader Nana.
Antara produk yang dihasilkan ialah Sambal Cili Kering dan Sambal Paru Goreng Berlada.
Baru-baru ini, bintang drama bersiri Dia Semanis Honey tersebut berkongsi video dirinya dan Rayyan di Instagram. Gelagat ibu dan anak ini memasak di dapur mencuit perhatian peminat.
“Bila minta tolong anak bujang masak, macam-macam syarat dia. Pening mama.”
Bagus Nana didik anak lelaki rajin masuk dapur dan membantunya masak. Walau pun lelaki, tak ada salahnya masuk dapur. Mana tahu, lepas ini Rayyan pandai masak dan boleh sambung bisnes Nana.
Meniti usia 39 tahun, nama Nana kembali meningkat naik selepas dia menjuarai Gegar Vaganza musim kedua. Sebelum mengusahakan bisnes makanan, Nana pernah menjual produk muslimah seperti baju dan tudung.
Moga Siti Nordiana terus sukses dalam perniagaan dan menjadi sumber inspirasi kaum wanita.
Artikel selanjutnya https://www.nona.my/makin-hebat-masak-lincah-di-dapur-stacy-ceburi-bisnes-makanan-jual-sambal-sendiri/
This website uses cookies.