Tiada kata yang mampu diungkapkan bila tengok rekod kejayaan Datuk Nicol Ann David! Kelu ada… kagum pun ada. Lebih sedekad mempamer aksi cemerlang dan mempertahankan gelaran juara dunia dalam arena sukan squasy sememangnya satu pencapaian cukup luar biasa. Bukan calang-calang atlet dapat kekalkan rekod terbaik seperti beliau!
Disifatkan seorang yang merendah diri dan ramah melayan peminat, atlet yang berasal dari Pulau Pinang ini berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia hampir di setiap kejohanan. Tiap kali masuk bertanding… pasti ada saja ‘buah tangan’ yang dibawa untuk seluruh rakyat Malaysia.
Mula menceburi sukan squasy ketika zaman remaja, hari ini Datuk Nicol mampu tersenyum bangga apabila beliau berjaya tersenarai dalam 10 nama pemain squasy wanita dunia selama 177 bulan atau lebih daripada 14 tahun. Kejayaan itu sekaligus memecahkan rekod pemain squasy dalam kategori wanita dan lelaki. Lebih manis, ranking kategori lelaki yang disandang Gregory Gaultier dari Perancis pun hanya 154 bulan!
Title The Top All Time Unbroken Streak Rank In The World Top Ten itu juga menyaksikan Datuk Nicol berjaya menjadi yang terbaik dalam kalangan 10 pemain teratas sejak Januari 2004 hingga September tahun lalu. Menewaskan pencabar terdekatnya dari Australia, Liv Irving yang tersenarai selama 142 bulan.
Paling membanggakan, Datuk Nicol berjaya mempertahankan gelaran Ratu Squasy dunia selama 9 tahun, memegang rekod World Championship sebanyak 8 kali, memenangi pingat emas kelimanya dalam Asian Games dan merangkul kejayaan dalam 51 kejohanan yang disertai selama 13 bulan!
Memetik kenyataan Datuk Nicol, “Sukan ini telah membawa banyak kepuasan dan kegembiraan. Keinginan untuk berjaya membuatkan saya terus mencabar kemampuan diri dan memberikan sepenuh jiwa raga terhadap apa yang telah saya ‘labur’kan selama ini termasuk dari segi masa.”
Kredit : Instagram Nicol David
Sanggup Tinggalkan Kerjaya Pendidik Demi Anak, Ning Baizura Terharu Jasa Ibu Yang Kini Berusia 81 Tahun!
Beruntungnya Ning Baizura dikurniakan sosok seorang ibu berjiwa penyayang dan sanggup melakukan apa saja demi anak tersayang. Penyanyi bersuara soprano ini menceburi industri seni muzik sejak berusia 17 tahun dan dari detik itu ibu kesayangan sentiasa setia berada di sisi Ning.
Bersempena ulang tahun Satilah Abdullah yang ke-81 baru-baru ini, anak seni berusia 49 tahun berkenaan menzahirkan rasa terharu dan syukur atas pengorbanan ratu hatinya itu sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah yang kini menyertai program hiburan Gegar Vaganza Musim 11 mendedahkan peribadi ibu yang dikagumi dan insan hebat berkenaan hadir memberi sokongan kepadanya ketika konsert Gegar Vaganza pada 1 Disember lepas.
Meskipun sudah berusia 81 tahun namun ibu ini tetap bersemangat dan tidak henti-henti memberikan sokongan padu kepada pelantun lagu popular ‘Pasti’ tersebut.
“Ibu mengambil keputusan bersara lebih awal pada 1993 semata-mata mahu sentiasa berada di samping saya sewaktu saya mula-mula bergelar penyanyi.
Itu adalah pengorbanan terbesar ibu sebab dia memang berjiwa seorang pendidik tapi sanggup meninggalkan apa dicintainya demi saya.”
Semua itu dilakukan Satilah demi memastikan urusan karier seni Ning Baizura berjalan lancar.
Ning kini bahagia melayari alam rumah tangga bersama suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 31 Januari 2008.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Ryan Sky Dalton yang kini berusia 11 tahun.
Semoga Ning Baizura terus menghargai jasa dan pengorbanan Satilah Abdullah yang telah banyak membantu meningkatkan kerjaya seni dan popularitinya. Selain kekal bahagia di samping suami tercinta dan anak tersayang.
Pecah Rekod Jualan 7 Angka, Dr Maliq Alias Pejuang Kosmetik Selamat Bebas Merkuri & Jadi Rujukan!
Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.
Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.
“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.
Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”
Anak Bekas Ketua Polis & Usahawan, DATIN ADZLIANA Teraju Syarikat Sendiri & Optimis Bantu Wanita Berniaga!
Datin Adzliana atau mesra dengan panggilan Datin Nana merupakan seorang wanita berdedikasi dan memiliki misi yang jelas untuk memartabatkan kaum wanita dalam arena keusahawanan. Lahir dalam keluarga yang mempunyai empayar niaga sendiri nyata bukan tiket mudah bagi figura ini untuk hidup bersenang-lenang.
Sebaliknya, beliau dididik mempelajari selok-belok ilmu perniagaan bermula dari bawah. Ini dibuktikan apabila Datin Nana pernah menjadi salah seorang pekerja di syarikat ayahnya sejurus tamat pengajian pada tahun 2006.
“Saya didedahkan kepada bidang keusahawanan oleh arwah ayah saya sebaik tamat pengajian. Minat itu memang ada dan peluang yang diberikan oleh ayah untuk meneruskan perniagaan keluarga, secara tidak langsung menguatkan lagi semangat saya di dalam perniagaan.
Pun begitu, langkah saya bukan mudah kerana ayah mahu saya bermula dari bawah.
Percaya atau tidak, saya bermula sebagai kerani walaupun syarikat itu ayah punya. Semua kerja ayah beri kepada saya untuk saya mahir dan tahu selok-belok pengurusan di peringkat bawahan. Ketika menjadi kerani pada masa itu, saya juga tak terlepas dalam duty roster membersihkan pejabat dan tea lady.
Ayah saya mengusahakan sebuah syarikat keselamatan. Habis belajar, saya ingat saya akan bekerja sebagai pekerja human resource (HR) atau bahagian akaun sebaliknya ayah letak saya sebagai kerani. Saya dibayar gaji kerani dan duduk bekerja dengan dua ke tiga orang lagi staf di bahagian itu.
Sebagai kerani, saya kena isi segala maklumat berkaitan klien dan uruskan all the documents. Di samping banyak berurusan dengan pihak kerajaan dan korporat. Ayah kata saya perlu belajar dan memahami perniagaan yang dilakukan. Dari situ saya mula belajar dari bawah dan alhamdulillah sekarang saya mampu kelolakan syarikat sendiri.
Saya sangat berterima kasih kepada ayah yang meletakkan saya belajar dari bawah kerana kejayaan itu hendaklah bermula dengan kesusahan dan usaha yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih Abah untuk segalanya,” telus graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Multimedia University ini.
Mengulas lanjut pembabitannya dalam dunia keusahawanan, Datin Nana tanpa berselindung mengakui kagum dengan kepimpinan ayah tersayang dan menjadi sumber inspirasi buat beliau selama ini.
“Mentor saya semestinya arwah ayah, Prof Dato’ Sri Dr Hasan Yusoff yang membawa dan mengajar saya tentang dunia perniagaan. Saya kagum dengan beliau yang asalnya merupakan bekas Ketua Polis tetapi mampu menjalankan perniagaan.
Malah perniagaan ini berjaya sehingga menjadi empayar buat keluarga kami. Semangat dan hala tuju arwah ayah yang agak lewat memulakan perniagaan menjadi inspirasi dan saya benar-benar kagum kerana beliau berjaya mengharungi cabaran dalam perniagaan di bidang keselamatan dan beberapa bidang yang lain.
Sebab ini jugalah yang membuatkan saya rasa bertanggungjawab untuk menjadi usahawan. Seterusnya mentadbir dan menguruskan perniagaan keluarga serta berusaha mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini,” telus Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd ini yang nekad membantu usahawan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.