Sebut sahaja hidangan terbaik, pasti ramai dikalangan Nonarians yang bersetuju bahawa masakan yang disediakan oleh ibu masing-masing adalah masakan yang paling enak dinikmati seantero dunia!
Masakan air tangan ibu sememanya paling istimewa di hati setiap individu bergelar anak dan tiada siapa dapat menandinginya. Walaupun hanya hidangan ringkas seperti telur goreng, namun masakan ibu tetap paling sedap di dunia.
Begitu juga dengan apa yang dialami penyampai radio serta aktress jelita, Siti Elizad yang memuji masakan arwah ibu sememangnya super sedap, terutamanya apabila memasak menu gulai dan rendang.
“Ada sesuatu yang istimewa dalam masakan mama, sebab setiap masakan lauk pauknya, mama mesti tambah ulam-ulaman, tak kisahlah ulam apa, kebiasaanya pucuk ubi. Malah, di sekeliling rumah di kampung dulu, mama tanam macam-macam jenis ulam-ulaman,” katanya.
Luah Elizad, selepas pemergian ibu, Allahyarhamah Nazariah Mohd Salleh ke pangkuan Ilahi akibat penyakit Parkinson, rasa rindu yang teramat terhadap ratu hidupnya itu sukar dibendung.
“Saya bersyukur sempat mewarisi ilmu memasak daripada ibu. Cuma saya tak sempat belajar menjahit dengan arwah,”ujar Elizad mengenang ibunda tersayang.
Sebagai anak tunggal perempuan daripada lima beradik, Elizad atau nama penuhnya, Siti Elizad Mohd Sharifuddin banyak mengambil alih tugas arwah ibu dalam menjaga keluarganya.
“Dulu ibulah yang menjahit baju kami sekeluarga selain mencari langsir untuk disuai padan. Menu istimewa yang ibu sering masak pastinya ketika lebaran iaitu rendang campur air tangan ibu yang selalu dirindui,” katanya mengakhiri perbualan.
GULAI LEMAK DAGING SALAI BERSAMA PUCUK UBI
(Resipi: Datuk Chef Wan)
BAHAN-BAHAN:
Pucuk ubi (daun lembut sahaja)
1kg daging salai | hiris nipis
3 batang serai | titik
1 helai daun kunyit | siat-siatkannya
1kg santan pekat
Garam dan gula
4-5 biji belimbing buluh
1 keping asam gelugor
BAHAN KISAR:
30 biji cili padi
1cm kunyit hidup
CARA MEMASAK:
1. Masukkan hirisan daging salai dalam periuk bersama bahan kisar, serai dan separuh dari santan.
2. Masak sekejap sehingga daging empuk.
3. Setelah kuah agak kering, masukkan kesemua lebihan santan dan kacau rata. Guna api dapur yang agak sederhana agar santan tak pecah.
4. Masak hingga kuah benar-benar masak dan perasakan garam dengan secukupnya. Masukkan belimbing buluh dan daun pucuk ubi yang telah dibersihkan.
5. Setelah daun agak layu sedikit, dalam 10 min bolehlah tutup api. Sedia untuk dinikmati.
Sumber: Majalah RASA
This website uses cookies.