Rezeki Ramadan!. Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan bahawa isterinya, Datin Seri Nur Shahida selamat melahirkan zuriat keenam mereka, seorang bayi lelaki di pusat perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur sekitar jam 3 petang Isnin.
Meskipun sudah memasuki angka enam kali berslain, nampaknya kali ini proses kelahiran berhadapan dengan pengalaman baharu buat Datin Seri Nur Shahida. Beliau hampir menjalani pembedahan akibat komplikasi bayi yang mengeluarkan tangan terlebih dahulu.
Selepas 15 jam bertarung nyawa berjuang melahirkan zuriat, akhirnya Shahida melahirkan cahaya mata keenamnya secara normal.
Menurut Datuk Seri Aliff Syukri, isterinya telah dimasukkan ke dalam bilik bersalin sejak jam 5 pagi dan sekitar jam 3 petang, bayi mereka selamat dilahirkan.
“Pada mulanya doktor mahu melakukan pembedahan C Sec kerana bayi mengeluarkan tangan terlebih dahulu dan bukannya muka. Namun saya amat bersyukur segalanya dipermudahkan dan isteri dapat bersalin secara normal,” katanya.
Sebagai seorang suami yang melihat perjuangan isteri melahirkan zuriat, Aliff amat menghargai pengorbanan isteri tersayang dan melihat bagaimana perjalanan proses kehamilan kali ini lebih sukar berbanding kehamilan terdahulu.
“Saya suka jika mempunyai anak yang ramai. Kalau boleh mahu 12 orang. Tetapi memandangkan isteri sudah memberi isyarat untuk ‘tutup kilang’, saya hormati keputusannya.
Lagipun sejak awal kehamilan, Shahida berhadapan dengan pelbagai komplikasi dan alahan. Saya amat menghargai pengorbanannya dan berharap isteri berada dalam keadaan selesa sepanjang proses berpantang kelak,” ujarnya.
Datin Seri Nur Shahida turut berkongsi pengalamannya bersalin kali ini di Instastory miliknya dan ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi getir tatkala proses kelahiran.
“Masya Allah budak kecil ini keluar tangan dulu nak mintak duit raya. Itu yang lama sangat nak suruh masukkan tangan tapi tak masuk-masuk”.
“Akhirnya, keluar juga tangan dulu baharu muka. Pertama kali juga saya ada pengalaman macam ini. Memang sakit sikit dari sebelum ini. Apa pun, syukur selamat semuanya”, katanya mengakhiri bicara.
7 Cara Didik Anak Perempuan Yang Bijak, Tiru AKTIVITI BONDING Dr. Sheikh Muszaphar & Anak Perempuannya Ini!
Selain kecomelan anak kembarnya, Sheikh Adam dan Sheikh Noah, satu lagi keistimewaan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menarik perhatian netizen adalah bonding beliau dengan anak-anak perempuan.
Dalam posting yang dimuat naik beberapa minggu lalu, kelihatan aksi kandid angkasawan negara ini bersama dua anak gadisnya, Sophea Isabella (Bella, 7 tahun) dan Sophea Natasha (Tasha, 5 tahun) yang dilihat berseronok mencukur jambang si bapa.
Mula-mula rasa seriau juga bila tengok dua kanak-kanak ni pegang pencukur tajam. Terasa tingginya tawakal Dr. Sheikh Muszaphar sampai bagi anak-anaknya buat macam tu. Ini tulis beliau pada kapsyen,
The girls shaving me…
I was shaving for my trip tonight when the girls came into the bathroom. They wanted to shave me and I’m like why not. As long as they are having fun!
Dengan pipi comot bertepek buih pencukur, terkekek-kekek dengar mereka gelak. Tentu seronok dapat buat aktiviti bonding ni dengan bapa tersayang! Tengoklah sendiri.
https://www.instagram.com/p/BfUwm3jggVY/?hl=en&taken-by=drsheikhmuszaphar
Sebenarnya ramai yang suka ikut perkembangan pasangan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar dan isterinya, Datin Dr. Halina Yunos untuk tiru tip keibubapaan mereka.
Pasangan doktor ini sama-sama menerapkan didikan yang baik dan terbuka terhadap anak-anak, malah mereka juga pernah menasihatkan ibu bapa lain supaya jangan memandang rendah terhadap kemampuan anak kecil belajar.
Kalau nak tahu, Bella dan Tasha sebenarnya dihantar menghadiri sekolah Cina pada waktu pagi dan membuat Matematik pada waktu tengah hari sebelum bertolak ke sekolah agama Islam pada waktu petang. Malah, mereka turut menghadiri kelas renang dua kali seminggu, kelas Al-Quran, kelas piano, kelas taekwando dan kelas sukan pada hujung minggu!
7 Cara Mesti Tiru
(1) Bapa beri impak besar
Anak perempuan yang rapat dengan bapa mereka lebih berkeyakinan tinggi dan berani menyahut cabaran baru. Apabila seorang lelaki melayan kaum wanita dengan baik dan penuh hormat, anak perempuan juga akan belajar untuk menghargai diri mereka seadanya.
(2) Jangan terlalu memuji paras rupa
Praktikkan teknik memuji yang betul. Puji ke arah membina supaya mereka tidak terlalu fokus terhadap kecantikan luaran. Banyakkan memuji usaha mereka dalam menjayakan sesuatu perkara. Anak-anak perlu tahu secara terperinci apakah perbuatan yang menyebabkan anda berasa bangga dengan diri mereka.
(3) Layan kepetahan mereka
Kebanyakan anak perempuan memang petah bercakap. Menurut kajian, anak perempuan umumnya lebih cepat bercakap berbanding anak lelaki, di mana pada usia 16 bulan anak perempuan dikatakan mampu mengucapkan 100 perkataan secara purata berbanding sekitar 30 perkataan bagi anak lelaki. Dengan melayan mereka berbual dan menjawab soalan, anda telah menggalakkan keyakinan diri dalam anak kecil secara tidak langsung.
(4) Tanam minat terhadap superhero perempuan
Sukar untuk kita menepis kuasa media kerana memang naluri anak-anak kecil cepat tertarik dengan animasi dan kartun. Tapi, kita sebagai ibu bapa boleh memainkan peranan untuk memantau apa yang mereka tonton. Elakkan kartun-kartun yang berkonsep fairy tale atau happy ever after. Antara contoh kartun yang mempunyai mesej girl power adalah Zootopia, The Incredibles, Brave, Dora The Explorer dan banyak lagi.
(5) Ajar mereka berdikari
Cara mendidik anak perempuan sebenarnya tidak banyak berbeza dengan anak lelaki. Galakkan mereka belajar menguruskan diri sendiri dan mempunyai sikap prihatin terhadap sesama ahli keluarga. Di samping itu, beri kepercayaan kepada anak perempuan untuk turut membantu tugas yang dibuat oleh ayah. Contohnya, mencuci kereta, membaiki paip yang rosak, atau berkebun. Selain menggalakkan waktu bonding, anak juga dapat meneroka minat yang baru.
(6) Jangan hadkan aktiviti
Ambil serius terhadap minat dan kreativiti mereka. Tidak perlu terikat pada stereotaip – contohnya perempuan mesti pandai memasak, membuat kuih, atau bersolek. Sebaliknya, galakkan mereka menjadi diri sendiri. Beri mereka buat pilihan terhadap minat mereka sendiri. Jika anak suka berenang, bawalah mereka selalu berenang atau masukkan mereka ke kelas renang. Sekiranya anak suka membaca, sediakan mereka bahan bacaan yang secukupnya dan bawalah mereka selalu ke perpustakaan.
(7) Beri ruang privasi
Dengan memberi ruang privasi, anak perempuan lebih mudah untuk diajar berdikari, contohnya mengemas katil sendiri, menyimpan mainan di tempatnya, dan menulis di meja tulisnya. Apabila anak perempuan semakin membesar, mereka akan cenderung untuk menjadi lebih senyap, kritikal terhadap diri sendiri, dan kurang konfiden terhadap imej diri. Dengan adanya ruang privasi, anak-anak boleh belajar mengawal emosi sambil dipantau oleh ibu bapa.
Foto: Instagram @drsheikhmuszaphar
Baru Berusia 27 Tahun, FATIMA PAYMAN Jadi Senator Muslim Pertama Di Australia
Buat pertama kalinya dalam sejarah Australia, seorang wanita berhijab telah dipilih menjadi senator! Lebih membanggakan, pada usia 27 tahun, wanita ini telah mendapat kepercayaan memegang jawatan sebagai Senator Dewan Parlimen Australia awal bulan lalu.
Memetik perkongsian Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman Facebook, beliau berkongsi tentang wanita muda Muslim pertama berhijab dilantik sebagai Senator di Australia.
Perjalanan Fatima Payman untuk menjadi seorang ahli parlimen pertama berhijab di Australia bukanlah mudah kerana dia pernah berhadapan dengan pelbagai situasi apabila terdapat rakan sekelas universiti mengejek tudungnya.
Pelajar jurusan Farmasi ini berkongsi kisahnya, dia merasa diterima sejak tiba di Australia selepas melarikan diri dari Afghanistan ketika bayi walaupun dia pernah diejek dalam bilik tutorial di universiti.
Senator Payman, 27, memaklumkan bahawa bapanya sentiasa berdepan ‘diskriminasi dan penderaan kepada tidakpastian pekerjaan dan gaji rendah’. Namun pengorbanan ayahnya itu membolehkan Payman menjalani zaman kanak-kanak yang bahagia.
Ucapan Payman penuh emosi di Parlimen pada malam Selasa dimana dia menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan arwah bapanya itu.
“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila seorang lelaki telah mengejek hijab saya. Perkara tersebut telah membuatkan saya berasa seperti ‘orang asing’ di dalam kelas tutorial tersebut.”
“Sebelum itu, saya tidak pernah berasa berbeza atau pelik, saya berasa seperti kanak-kanak Aussie yang lain, membesar di pinggir bandar Perth, menaiki pengangkutan awam ke universiti dan berharap untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif.”
“Tetapi penghinaan seperti ‘Go back to where you came from’, menggelarnya sebagai ekstrimis telah memaksanya merasa seperti orang asing di Australia.”
Perkara tersebut telah membakar semangatnya untuk terlibat dalam politik, menyertai kumpulan kepimpinan belia, kumpulan penasihat polis dan persatuan pelajar Islam. Bijak mengatur langkah, beliau menyertai Parti Buruh selepas menyaksikan kedua ibu bapanya diambil kesempatan di tempat kerja mereka.
“Saya menyaksikan perjuangan ibu bapa saya demi meletakkan makanan di atas meja, demi membayar pendidikan kami dan demi menyediakan tempat berlindung untuk kami.”
Dalam ucapan pelantikannya, senator termuda itu turut berikrar untuk membawa perubahan dalam sistem Parlimen Australia.
“Sebagai anak perempuan pelarian yang datang ke tanah ini dengan impian masa depan yang selamat dan lebih baik, saya memberikan diri saya keberanian untuk mencabar sistem dan untuk melihat… sejauh mana perubahan yang boleh saya lakukan,” kata Senator Fatima.
Malah, beliau juga menyeru rakan-rakan ahli parlimennya untuk menghapuskan ketaksuban, perkauman dan diskriminasi, bukan hanya diam membisu. Lebih manis, Fatima Payman menjadi pemecah tembok stigma untuk wanita Islam selepas dia menjadi ahli politik berhijab pertama yang memenangi undi yang mencukupi untuk menduduki kerusi di Dewan Senat Australia melalui parti Buruh.
“Saya mahu menormalisasikan pemakaian hijab. Saya berharap dapat menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Australia yang lain, bahawa hanya kerana anda percaya kepada Tuhan, atau hanya kerana anda kelihatan berbeza, ia tidak seharusnya menghalang anda daripada terlibat dalam institusi yang penting.”
Berada dalam negara yang minoriti beragama Islam, pemilihan Fatima oleh rakyat kulit putih yang lain menonjolkan keterbukaan dan penerimaan terhadap masyarakat Islam. Mereka saling hormat sebagai satu komuniti yang berusaha menjadikan persekitaran kehidupan yang positif.
Semoga dengan perlantikan Fatima Payman dapat membuka mata dunia tentang Islam dan sekaligus menjauhkan stigma Islamophobia yang bukan sahaja boleh merosakkan bangsa, malah negara.
Sumber: www.dailymail.co.uk
Didik Diri Jadi Individu Yang Sering ‘Dahagakan’ Ilmu, Kunci Sukses LINDA ABAS! Patut Tiru Kalau Nak Berjaya
Linda Abas, seorang wanita yang amat mementingkan kualiti dalam setiap apa yang dilakukan dalam kehidupan. Ternyata, sikap yang dimilikinya menjadi azimat untuk dirinya berjaya sebagai salah seorang kontraktor wanita yang bersaing di dalam bidang yang kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki.
Menjalankan perniagaan sejak 2006, wanita cekal ini menganggap setiap cabaran dan rintangan dalam dunia perniagaan yang didominasi oleh kaum lelaki sebagai satu cabaran untuk dirinya lebih berdaya saing dan berjalan seiring demi mengejar cita-citanya untuk berjaya di dalam dunia perniagaan.
“Tidak kira apa jenis perniagaan yang diceburi, pastinya ia mempunyai cabaran dan dugaan. Pada pandangan saya, cabaran utama yang perlu diharungi adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan serta memberi kepercayaan kepada mereka tentang kemampuan dalam menguruskan sesuatu projek.
Mendapat kepercayaan untuk memenuhi kehendak klien daripada segi produk dan perkhidmatan yang perlu dibekalkan. Pada masa yang sama, saya perlu memberi kepercayaan kepada kakitangan untuk proses perlaksanaan pula. Perlaksanaan itulah yang menjadi kunci utama. Dalam dunia usahawan ini kepercayaan boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian. Penumpuan terhadap soal costing, perancangan dan perlaksanaan amatlah penting dan bidang ini memerlukan kerja berpasukan yang baik.
Saya bersyukur mempunyai kakitangan yang berdedikasi serta rakan kongsi yang pintar dan baik.Setiap elemen ini bergabung menjadikan organisasi ini kuat dan mampu berdaya saing di pasaran. Apabila memegang sebuah organisasi sendiri saya mengadun perkembangan syarikat mengikut acuan yang telah saya semat sejak dahulu,” ujar Linda sambil wajah mulusnya ditata rias oleh juru solek terkemuka, Datin Saidatulnisa Aminuddin.
Tambah Linda lagi, kejayaan yang dikecapinya kini tidak lengkap tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga kerana mereka adalah tulang belakang terhadap kejayaannya kini. Jika tidak terikat dengan urusan kerjaya, Linda sering menghabiskan waktu bersama keluarga tersayang melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti bersenam di gimnasium ataupun bersenam di taman yang terletak berhampiran dengan kawasan kejiranannya. Bagi Linda, soal kesihatan perlu diberi perhatian yang khusus bagi membentuk minda yang cergas dan positif.
Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Linda mempunyai visi serta pandangan yang jauh untuk memajukan dirinya. Walaupun sudah berjaya dalam dunia perniagaan, Linda masih sempat meluangkan masa untuk melanjutkan pelajaran di Deakin University Melbourne, Australia. Bagi Linda, ilmu adalah satu perkara penting yang boleh membuka mata dan ruang untuk setiap individu berjaya di dalam hidup.
“Saya merupakan seorang individu yang sentiasa dahagakan ilmu. Saya sentiasa belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Menimba ilmu boleh diperoleh melalui proses pembelajaran dan pengalaman. Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan. Dalam masa yang sama, kreatif dan tingkah laku yang positif perlu ada dalam diri jika mahu maju dalam setiap apa yang diceburi. Sesuai dengan aspirasi kerajaan untuk melihat kaum wanita terus maju dan berjaya seiring dalam mengecap kemakmuran unit keluarga serta masyarakat umumnya,” ujar wanita yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi ini.
Tambah Linda lagi, wanita seharusnya memiliki kemahiran untuk mencapai kejayaan di dalam apa jua bidang yang diceburi. Tanpa kemahuan serta kesungguhan ia tidak akan mengerakkan usaha dan keinginan untuk mencapai ke tahap maksima.
”Namun demikian, wanita harus melihat kepada bekalan dalam diri atau self equipment. Dalam erti kata knowledge, skill, and attitude inilah yang memberi seseorang kelebihan yang kompetitif dan sentiasa meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan,” ujar wanita yang mampu membakar semangat untuk wanita lain berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau yang menjadikan Allahyarhamah Dato Maznah Hamid sebagai wanita adi wira dan idolanya kerana kagum melihat bagaimana beliau mampu bersaing di dalam industri keselamatan yang sekian lama didominasi kaum lelaki.
“Bukan calang-calang wanita mampu melakukan apa yang beliau lakukan selama ini. Kejayaan beliau menjadi dorongan untuk saya menguatkan semangat dan mencuba sebaik mungkin dalam bidang yang saya ceburi. Tiada yang mustahil untuk dilakukan oleh kaum wanita jika mempunyai keazaman dan usaha tanpa jemu untuk terus maju. Wanita mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kehebatan wanita terletak pada keazaman yang tinggi dalam diri mereka untuk mencapai kejayaan. Saya yakin berkat usaha dan tawakal pasti kejayaan bakal menyusul,” ujar Linda seraya mengakhiri perbualan.