15 Jam Bertarung Nyawa, Bayi Keluar Tangan Dahulu! DATIN SERI SHAHIDA Selamat Lahirkan Zuriat Keenam.

Rezeki Ramadan!. Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri memaklumkan bahawa isterinya, Datin Seri Nur Shahida selamat melahirkan zuriat keenam mereka, seorang bayi lelaki di pusat perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur sekitar jam 3 petang Isnin.

Meskipun sudah memasuki angka enam kali berslain, nampaknya kali ini proses kelahiran berhadapan dengan pengalaman baharu buat Datin Seri Nur Shahida. Beliau hampir menjalani pembedahan akibat komplikasi bayi yang mengeluarkan tangan terlebih dahulu.

Selepas 15 jam bertarung nyawa berjuang melahirkan zuriat, akhirnya Shahida melahirkan cahaya mata keenamnya secara normal.

Menurut Datuk Seri Aliff Syukri, isterinya telah dimasukkan ke dalam bilik bersalin sejak jam 5 pagi dan sekitar jam 3 petang, bayi mereka selamat dilahirkan.

“Pada mulanya doktor mahu melakukan pembedahan C Sec kerana bayi mengeluarkan tangan terlebih dahulu dan bukannya muka. Namun saya amat bersyukur segalanya dipermudahkan dan isteri dapat bersalin secara normal,” katanya.

Sebagai seorang suami yang melihat perjuangan isteri melahirkan zuriat, Aliff amat menghargai pengorbanan isteri tersayang dan melihat bagaimana perjalanan proses kehamilan kali ini lebih sukar berbanding kehamilan terdahulu.

“Saya suka jika mempunyai anak yang ramai. Kalau boleh mahu 12 orang. Tetapi memandangkan isteri sudah memberi isyarat untuk ‘tutup kilang’, saya hormati keputusannya.

Lagipun sejak awal kehamilan, Shahida berhadapan dengan pelbagai komplikasi dan alahan. Saya amat menghargai pengorbanannya dan berharap isteri berada dalam keadaan selesa sepanjang proses berpantang kelak,” ujarnya.

Datin Seri Nur Shahida turut berkongsi pengalamannya bersalin kali ini di Instastory miliknya dan ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi getir tatkala proses kelahiran.

“Masya Allah budak kecil ini keluar tangan dulu nak mintak duit raya. Itu yang lama sangat nak suruh masukkan tangan tapi tak masuk-masuk”.

“Akhirnya, keluar juga tangan dulu baharu muka. Pertama kali juga saya ada pengalaman macam ini. Memang sakit sikit dari sebelum ini. Apa pun, syukur selamat semuanya”, katanya mengakhiri bicara.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu