Meskipun sudah bersara dari arena sukan tenpin boling namun nama Shalin Zulkifli terpahat segar dalam sejarah negara dan peminat sukan tanah air. Sepanjang hampir tiga dekad bergelar atlet, Datuk Shalin Zulkifli berjaya merangkul lima kali kejuaraan dunia, empat kali juara Sukan Asia, tiga kali juara Asia dan 20 kali juara Sukan SEA. Hebat!
Atas pencapaian membanggakan tersebut, Datuk Shalin atau nama sebenarnya Datuk Shalin Nazirah Zulkifli dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023.
Bekas jaguh tenpin boling yang kini berusia 46 tahun ini nekad bersara dari dunia sukan tersebut pada 9 Januari 2021.
Datuk Shalin aktif mendalami sukan boling sejak usia 16 tahun dan bergelar juara Kejohanan Kent-Malaysian All Star 1994 dan menjadi rakyat Malaysia pertama merekodkan kejayaan itu.
Menjengah media sosial Datuk Shalin, rutin hariannya kini lebih menjurus kepada puteri kesayangan iaitu Aleya Azidi yang berusia 13 tahun.
Datuk Shalin mendirikan rumah tangga bersama bekas pemain tenpin boling iaitu Azidi Ameran pada tahun 2008.
16 tahun hidup sebagai suami isteri, pasangan ini kian bahagia dengan kehadiran anak tunggal mereka yang turut aktif dalam sukan.
Difahamkan Aleya lebih berminat dalam sukan hoki. Sebagai ibu bapa, mereka menyokong penuh minat anak tersayang dan akur Aleya tidak mengikut jejak langkah mereka dalam sukan tenpin boling.
Datuk Shalin juga pernah mendedahkan dia dan suami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak mereka, sebaliknya bergilir-gilir menjaga Aleya.
Kagum semangat dan peribadi Datuk Shalin Zulkifli terhadap sukan negara serta keluarga tercinta. Inspirasi!
This website uses cookies.