17 Tahun Lalu Dipisahkan Kini KEMBAR SIAM Ini Mengejar Cita-cita Di Universiti

Masih ingat kah lagi tentang pasangan kembar yang berasal dari Klang, Selangor yang mendapat perhatian dunia ini. Pasangan kembar ini dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd, National Guard di Riyadh, Arab Saudi pada September 2002 lalu.

Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad menjalani pembedahan pemisahan yang memakan masa selama 22 jam 45 minit itu dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz, membabitkan kos RM1.7 juta.

Kini pasangan kembar ini telah menginjak ke usia 21 tahun dan meneruskan kehidupan sebagai pelajar di Management & Science University (MSU). Menemu bual adik kepada pasangan kembar ini tentang perkembangannya, “Saya (Muhammad) sekarang sedang belajar di peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Sains Komputer. Manakala abang saya, Ahmad, masih belajar di peringkat Diploma dalam jurusan Reka Bentuk Grafik.

Muhammad (berbaju oren) dan Ahmad

Saya baru sahaja mula belajar untuk pengajian Sarjana Muda ini pada bulan 7 tahun lepas dan berkemungkinan akan menantkan pengajian pada tahun 2020 nanti. Insyaallah, Ahmad pula akan menghabiskan pengajian di peringkat diploma pada akhir tahun ni,” jelas Muhammad Rosli dan kedua-dua pasangan kembar ini mendapat tajaan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bercerita tentang kehidupan di kampus, tutur Muhammad, “Alhamdulillah kami berdua sihat. Kami pergi ke kampus dan ke kelas menggunakan kerusi roda. Setiap hari iaitu Isnin hingga Jumaat, kami ada kelas.

Setiap pagi, ayah atau mak akan hantar kami ke kampus dan lewat petang kami akan balik ke rumah. Satu lagi kelas kami berbeza kerana jurusan kami yang berbeza. Kalau saya habis kelas awal, saya akan tunggu Ahmad habis kelas baru kami akan balik rumah,” kata Muhammad.

Mempunyai kekurangan dari segi fizikal sudah tentu pasangan kembar ini mempunyai cabaran ketika menempuh hari pembelajaran di universiti. “Cabarannya ialah kelas kami agak jauh, so susah nak ke kelas tersebut dengan cepat jika jadual pada hari itu pack dengan kelas-kelas lain.

Selain itu, sesetengah orang yang tidak memberikan pengguna kerusi roda untuk masuki lif dahulu. Kadang-kadang saya dan Ahmad terpaksa menunggu hampir 30 minit untuk pergi ke kelas yang setinggi 10 tingkat atau kadang-kadang tingkat 12. Namun, tidak semua pelajar bersikap begitu. Ramai yang sanggup kosongkan lif untuk memberi laluan kepada kami masuk lif dahulu.

Belajar di universiti banyak mengajar kami berdua tentang erti kehidupan sebenar. Ada macam-macam perangai manusia yang kami jumpa,” ujar Muhammad yang gemar melayari internet di masa lapangnya.

Apabila ditanya tentang kehidupan alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak, jawabnya, “Kami berdua cuma berharap dan agar disediakan ruang dan kemudahan khas untuk OKU sahaja di tempat yang kami bakal bekerja nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Foto: koleksi Muhammad Rosli

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan