Selebriti cantik dan tinggi lampai ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Terkenal dengan penampilan yang sentiasa cantik dan bijak mengadun gaya, Scha AlYahya juga sentiasa tampil jelita walaupun ini sarat mengandung anak kedua.
Kesempatan bertemu dengan ibu kepada Lara Alana tempoh hari sempat bertanya khabar tentang kandungannya ini. Bercerita tentang kandungannya kali ini, “Mengandung kali kedua ini sangat berbeza kalau dibandingkan ketika mengandung Lara dahulu. Mengandung kali ini lebih mencabar dan lama. Saya masih segan nak kongsi gambar saya mengandung. Saya kurangkan masa bermain media sosial,” tutur isteri kepada pengacara terkenal Awal Ashaari ini.
Rasa tak lengkap jika tak bertanya tentang pemakanan Scha AlYahya sewaktu mengandung kali ini. “Saya masih suka makan nasi macam selalu cuma kali ini banyak benda manis saya suka seperti coklat. Saya jarang suka sebelum ini. Saya juga gemar duduk rumah jika tak bekerja dan saya gembira sebab boleh luangkan lebih masa dengan Lara,” tutur Scha AlYahya.
Lara sudah pasti insan yang paling gembira apabila bakal bergelar Kakak tak lama lagi. Namun begitu, Scha AlYahya juga pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim yang dikenali Endometriosis. “Sudah dua kali saya membuang ketumbuhan dalam rahim atau Endometriosis. Kali pertama pada tahun 2013 dan yang terakhir pada bulan January 2020,” kata Scha AlYahya sambil tersenyum.
Setelah 14 tahun bergelumang dalam industri seni, Scha AlYahya boleh tersenyum bangga apabila telah menerima pelbagai anugerah menerusi kerjaya seninya sama ada di televisyen mahu pun filem tempatan. Anugerah yang berjaya diraih oleh wanita yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah ini termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Festival Filem Malaysia, Anugerah Shout! dan Anugerah Skrin.
Namun Scha AlYahya masih belum puas mencipta nama dalam bidang yang dicintainya ini. “Jika ditanya kepuasan saya dalam bidang seni ini sudah tentu jawapan saya masih belum puas. Saya masih mencari dan mencuba pelbagai faktor untuk cabar kredibiliti sebagai pelakon, pengacara dan model.
Walaupun saya memegang gelaran sebagai pelakon, pengacara, model dan usahawan namun saya belum capai sasaran yang telah saya tetapkan. Kalau diizinkan, saya mahu memantapkan lagi semua kerjaya yang diceburi. Mungkin juga saya nak cuba teater pula, siapa tahu?” ulas Scha yang membuat kemunculan pertama di televisyen menerusi drama Impian Ilyana dan seterusnya meraih pencapaian luar biasa menerusi watak lakonannya sebagai Dania dalam siri drama Awan Dania.
This website uses cookies.