Bila memiliki pendapatan sendiri, sudah tentu mahu membeli sesuatu sebagai ‘reward’ untuk diri sendiri. Antara keperluan untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian adalah sebuah kereta.
Namun begitu, jika tidak berhati-hati dalam melakukan transaksi membeli sebuah kenderaan, kemungkinan untuk ditipu adalah besar apatah lagi jika ia melibatkan kaum wanita.
Menurut perkongsiannya di laman Instagram miliknya, pelakon 7 Hari mencintaiku itu pernah menanggung kerugian mencecah RM5,000 akibat ditipu ejen jualan palsu. Namun begitu, setiap apa yang berlaku mempunyai hikmahnya apabila dia berjaya memiliki sebuah kereta sendiri jenis Honda Civic RS.
Sebelum ini, Wafariena menggunakan kenderaan milik kakak untuk urusan kerja, penat lelah berbaloi apabila kereta baharu itu sampai ke tangannya pada Ramadan keenam.
Perasaan lebih teruja apabila kenderaan yang dibelinya merupakan kenderaan pertama yang menggunakan namanya sendiri.
Menceritakan pengalaman ditipu, insiden berkenaan berlaku lebih setahun lalu apabila jurujual terbabit menghilangkan diri selepas menerima sejumlah wang deposit.
“Pengalaman pernah ditipu dua kali dengan orang berbeza sebanyak RM5,000 semasa ingin membeli kereta membuatkan saya trauma. Kali kedua pula saya tertipu dek rakan sekelas apabila terpengaruh dengan sebuah iklan jualan kereta. Lebih menguatkan lagi kepercayaan saya apabila membaca komennya yang baik-baik sahaja.
Bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 ini sempat menitipkan pesanan untuk semua agar tidak mudah percayakan sesiapa walaupun nampak benar. Jika mahukan sesuatu perlu mengkaji terlebih dahulu dan cari sumber yang sahih untuk membantu.
Mengakui bersyukur dengan rezeki kenderaan baharu yang dimilikinya itu, Wafariena memasang azam untuk berkongsi rezeki dengan keluarga tersayang untuk membeli sebuah lagi kereta baharu untuk kegunaan keluarga.
“Sebak bukan sebab sedih tetapi gembira. Benda yang kita penat berusaha, hasil titik peluh dan sokongan ibu akhirnya dapat membeli sebuah kereta lebih besar.
Wafariena merupakan anak keempat daripada tujuh beradik. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 15 tahun dan sejak itu dia dan adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu mereka yang berstatus ibu tunggal.
This website uses cookies.