Tahun lalu, usahawan, pelakon dan penyanyi popular Alif Satar berkongsi mengenai ibu bapanya yang berpeluang menunaikan ibadah Haji ketika musim haji tahun lalu. Alif sendiri pernah berkongsi bahawa sebelum ini, Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar dua tahun berturut-turut mendapat jemputan menunaikan fardu haji, namun, belum rezeki. Alif tidak dapat pergi di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Nampaknya, hajat Alif untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dimakbulkan apabila dia dan isteri tercinta, Shadila Halid berlepas ke tanah suci hari ini untuk menjadi tetamu Allah untuk musim haji tahun ini. Perkongsian Alif Satar di laman Instagram miliknya menunjukkan dia dan isterinya bakal menjadi tetamu Allah hari ini.
Tahun lalu, penyanyi lagu Akan Tiba dan Lelaki Seperti Aku itu bersyukur doanya di bawah pancur emas Kaabah ketika menunaikan umrah memohon agar ibu bapanya terlebih dahulu menjadi tetamu Allah mengerjakan haji termakbul.
Sebagai anak, sudah tentunya Alif melahirkan rasa penuh kesyukuran dapat menghantar ibu bapanya, Nor Hafiza Mohammed dan Mohd Satar Ramli menunaikan Haji tahun lalu. Setahun selepas kedua ibu bapanya itu bergelar Haji dan Hajjah, kini tiba giliran Alif dan isterinya, Shadila Halid pula dijemput menjadi tetamu Allah untuk musim haji 1444 hijrah.
Ramai rakan-rakan selebriti menitipkan ucapan untuk pasangan ini yang bakal berlepas ke tanah suci hari ini untuk menjadi tetamu Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan buat pasangan ini dan mendapat haji yang mabrur!
Wow, Mudahnya Nak Tampil CANTIK! Hanya Praktik 6 TRIK HEBAT Dari Editor Kiffy Razak Ini
Majalah Nona banyak menerima surat pertanyaan tentang kecantikan oleh para pembaca. Terima kasih, jangan malu dan segan untuk bertanya. Penulis kecantikan kami sudi menjawabnya…
Soalan 1
Saya bercadang untuk menukar jenama pencuci muka yang lain. Pencuci muka yang bakal digunakan nanti mempunyai ramuan bahan semulajadi yang berasaskan herba dan tumbuh-tumbuhan. Namun saya risau jika produk tersebut tidak sesuai untuk muka saya. Bagaimana cara untuk mengenal pasti sesuatu produk pencuci wajah itu sesuai dengan kulit muka?
Marina Arshad, Shah Alam
Jawapan
Apabila menukar pencuci muka, perlu berhati-hati kerana khuatir produk yang baru tidak sesuai dengan kulit wajah. Anda boleh mengetahui keberkesanan produk tersebut apabila menggunakan produk pencuci muka yang baru dalam masa seminggu atau dua minggu tiada masalah yang timbul seperti bintik-bintik kecil seperti jerawat. Bahkan kulit nampak lebih lembut dan segar. Jika dalam tempoh dua minggu kulit muka menjadi tegang, merah atau mengelupas segera berhenti pengambilan pencuci muka tersebut.
Soalan 2
Sebagai wanita yang bekerjaya, saya ingin kelihatan hebat dan tampil menawan. Namun bebanan tugas, menjadikan kulit muka saya kelihatan tidak bermaya. Rakan mencadangkan saya menggunakan bedak asas bagi menutup ‘cela’ pada wajah. Saya ingin mengetauhi jenis bedak asas yang sesuai untuk saya yang mempunyai kulit muka jenis normal.
Salina Saad, Kuantan, Pahang
Jawapan
Sebelum memulakan solekan, penggunaan bedak asas adalah penting kerana dapat menghasilkan wajah dan leher yang halus dan gebu. Malah pemilihan warna juga penting bagi disesuaikan dengan tona kulit dan bagi menimbulkan keserasian kepada setiap jenis kulit. Terdapat beberapa jenis bedak asas antaranya ialah liquid foundation jenis cair. Bedak asas seperti ini lembut serta mengelakkan rasa melekit dan sesuai untuk kegunaan kulit kering supaya kelihatan lebih segar. Bedak asas jenis cream compact pula merupakan jenis sederhana pekat yang mengelakkan rasa berminyak dan melekit serta sesuai untuk kulit bermasalah. Bagi jenis stick foundation pula adalah pekat dan padat untuk menghasilkan kulit yang segar dan gebu serta sesuai untuk kulit kering dan sedikit kering. Bagi mendapatkan warna yang sesuai dengan kulit muka, sapu sedikit bedak asas pada dagu dan bukan di lengan kerana warna kulit muka dan lengan adalah tidak sama.
Soalan 3
Tip untuk mendapatkan solekan pipi dan bibir yang menawan.
Maria Ibrahim, Sitiawan, Perak
Jawapan
Solekan pada pipi dapat memberi kesegaran pada wajah. Pemerah pipi berwarna merah jambu paling sesuai digunakan untuk apa saja suasana. Sapuan perlu dilakukan daripada tulang pipi hingga ke telinga. Manakala bagi solekan bibir pula hendaklah diaplikasi dengan sempurna kerana mampu menjadikan bibir kelihatan menarik. Walau bagaimanapun setiap kali mengaplikasikan gincu bibir kesan terlebih yang mencomotkan akan mudah terjadi. Cara terbaik untuk mengatasi perkara itu adalah menggunakan penggaris bibir atau lip liner. Fungsi lipliner bukan hanya menggaris bibir namun memastikan warna lipstik di bibir tahan lama. Jika anda memilih warna nude yang sesuai dengan warna lipstik garis bibir itu tidak akan terlalu nyata. Untuk bibir yang tipis garislah tepat di garis bibir agar ia kelihatan lebih penuh. Manakala pelembapan tambahan gunakan pengilat bibir untuk kesan bibir lebih seksi. Agar lipstik dapat tahan lebih lama, aplikasikan sedikit bedak pada bibir.
Soalan 4
Saya berusia 24 tahun dan boleh dikatakan mempunyai rupa fizikal yang menarik. Namun saya menghadapi masalah serius iaitu mengalami rambut gugur. Saya sedar bahawa rambut gugur merupakan perkara normal namun saya mengalami keguguran rambut dengan banyak. Adakah rambut gugur sebenarnya menunjukkan saya mengalami penyakit serius? Adakah rambut akan kembali tumbuh?
Rohaiza Ahmad, Bukit Beruntung, Rawang
Jawapan
Rambut gugur atau ‘Alopecia Areata’ bukanlah penyakit yang mengancam nyawa serta tidak memberi kesan kepada tubuh badan. Namun bagi sesetangah orang, penyakit ini mampu mengubah penampilan mereka jika mengalami keadaan yang serius. Bagi wanita pula, kesan keguguran rambut boleh membuat diri rasa terpinggir kerana berpendapat bahawa mereka sudah tidak menarik lagi. Orang yang mengalami keguguran rambut serius mungkin juga kesan gangguan penyakit tiroid, ‘atopic eczema’, alahan pada hidung dan asma. Tahap keguguran rambut berbeza-beza mengikut individu. Ada yang mengalami Cuma sebahagian kepala sahaja namun ada juga yang mengalami rambut gugur secara keseluruhan. Walaupun rambut telah gugur, kebarangkalian rambut untuk tumbuh semula masih ada. Anda hanya perlu melakukan rundingan dan penjagaan secara professional serta rawatan yang sesuai. Pasti rambut anda boleh menjadi sihat seperti sebelumnya.
Soalan 5
Saya mempunyai masalah bibir yang hitam dan kelihatan seperti lebam. Saya cuba sorokkan keadaan ini dengan menggunakan gincu bibir namun tidak berhasil. Adakah teknik solekan yang dapat mengatasi masalah ini?
Nurul Asma, Kemaman, Terengganu.
Jawapan
Anda boleh mengatasi masalah berikut dengan teknik solekan yang betul. Setelah membersihkan wajah, sapukan ‘lip balm’ secara rata pada bibir. Kemudian sapukan bedak asas atau ‘two way cake’ perlahan-lahan pada bibir dengan menggunakan span lembap yang merupakan langkah penting untuk menutup bibir hitam. Seterusnya anda boleh bentuk bibir dengan menggunakan ‘lip liner’ dan sapukan gincu pada bibir yang sudah dibentuk. Akhir sekali, sapukan pengilat bibir untuk tampak cantik dan menawan.
Soalan 6
Saya mempunyai masalah kulit yang cepat gelap. Jika saya keluar pada waktu siang, kulit muka akan bertambah gelap dan merah. Keadaan ini akan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk pulih seperti sedia kala. Saya telah mencuba pelbagai produk kecantikan tetapi tidak memuaskan. Saya juga keliru untuk menggunakan bedak asas kerana kulit saya gelap. Bagaimana saya harus mengatasi masalah ini?
Amelia Roslin, Kuala Lumpur.
Jawapan
Kulit akan mudah gelap apabila sering terdedah kepada panas matahari dan tidak menggunakan pelembap. Krim pelembap juga perlu mempunyai tekstur yang lembut yang mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari sambil mengekalkan keseimbangan lembapan. Sepanjang lapisan atas kulit dikenali sebagai eperdermis yang mengandungi ‘melanocytes’ yang mengeluarkan melanin, pigmen yang memberikan warna semulajadi. Apabila terdedah kepada sinaran matahari, ‘melanocytes’ mengeluarkan lebih pigmen menyebabkan kulit bertambah gelap, terutama apabila keluar dari rumah. Kurangkan aktiviti di luar dan dapatkan nasihat pakar kulit untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan kulit anda. KR
Dapat Imbuhan RM16,000 Jika Lahirkan Anak. Tapi Bukan Di Malaysia Ya!
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW) akan menawarkan imbuhan kewangan tambahan kepada ibu bapa yang melahirkan anak bagi mengatasi kadar kelahiran rendah dalam kalangan penduduk, lapor akhbar Japan Today semalam.
Sebelum ini, ibu bapa baharu di Jepun akan menerima Geran Bersalin dan Penjagaan Anak sebanyak 420,000 yen (RM13,517) selepas kelahiran anak mereka.
Bagaimanapun, kementerian tersebut merancang meningkatkan jumlah bantuan kepada 500,000 yen (RM16,091) semasa mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Fumio Kishida mengenai cadangan itu minggu lepas.
Bantuan itu dijangka akan diluluskan dan berkuatkuasa untuk tahun fiskal 2023 yang bermula pada musim bunga. Geran itu dibiayai melalui sistem insurans perubatan awam Jepun.
Bagaimanapun, penambahan dalam bantuan itu didakwa tidak akan memberikan kesan yang jelas terhadap insentif tersebut ekoran baki wang yang dijangka tinggal selepas bersalin.
Menurut akhbar Maniachi Shimbun, purata kos untuk melahirkan seorang anak di seluruh Jepun adalah kira-kira 473,000 yen (RM15,222).
Walaupun kenaikan bayaran berlaku, ibu bapa akan melihat jumlah baki bantuan 30,000 yen (RM965) selepas mereka keluar dari hospital.
Mereka mendapati wang yang diberi tidak akan mampu menampung jumlah kos untuk membesarkan anak sehingga dewasa.
Isu utama dalam ketidakyakinan ibu bapa adalah keupayaan mereka untuk menampung dan mengekalkan kebahagiaan keluarga sambil mengimbangi kehidupan bekerja dan peribadi ketika anak membesar.
Kegusaran itu menjadi faktor kepada kadar kelahiran yang rendah termasuk perbelanjaan untuk melahirkan anak. – Agensi
Semai Jiwa Penyayang, SULTAN SELANGOR & TENGKU PERMAISURI Titah Rakyat Lindungi Haiwan Terbiar!
Jiwa penyayang Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin terhadap kucing sememangnya sudah diketahui rakyat. Sebelum ini baginda telah beberapa kali berkenan berangkat ke majlis yang melibatkan haiwan comel tersebut dan membina sebuah kediaman khusus buat kucing-kucing terbiar seperti yang disiarkan laman rasmi Selangor Royal Office pada November 2019.
Terbaharu, perutusan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengenai haiwan terbiar sekali lagi menarik perhatian umum. Nona pasti ia menjadi khabar gembira buat semua pencinta haiwan!
Memetik kenyataan di Facebook Selangor Royal Office bertarikh 23 Januari lalu, DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menitahkan sekalian rakyat jelata khususnya di negeri Selangor agat tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan-haiwan terbiar (stray) khususnya kucing dan anjing.
Ini kerana baginda berdua terkilan dan dukacita memandangkan masih ada lagi individu dan pihak tertentu yang sengaja berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan ini dan masih tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka, khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Sedih akan situasi tersebut, Baginda bertitah adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makan dan perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada di dalam habitat sendiri.
Difahamkan, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi (neuter) dan diberi perlindungan secukupnya. Ini termasuk Snowy iaitu seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman DYMM Tuanku Sultan empat tahun lalu untuk mencari makanan namun diambil sebagai haiwan angkat di atas insiatif Baginda sendiri.
Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan DYMM Tuanku Sultan dan menjadi peneman setia Baginda. Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan.
Selain Snowy, Tengku Permaisuri Selangor yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For the Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar yang kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh Baginda sendiri. Manakala selebihnya diberi sebagai haiwan angkat.
Menurut Baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat (adopt), haiwan terbiar ini boleh menjadi haiwan pelihaaraan yang bersih dan menyenangkan jika kita memberi rawatan dan penjagaan yang rapi.
Selain memberi pendedahan mengenai cara melindungi haiwan terbiar, DYMM Tuanku Sultan turut menitahkan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih proaktif dan bijak dalam menangani isu haiwan terbiar secara holistik dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.
Justeru, Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi. Baginda berdua juga amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan terbiar di samping mengambil berat mengenai hak serta kebajikan haiwan seumpamanya.
Ternyata, titah Baginda ini melegakan hati pencinta kucing yang amat mengharapkan haiwan comel ini diberi layanan sewajarnya walau pun sekadar kucing jalanan. Apatah lagi, keganasan terhadap haiwan masih berlaku dalam kalangan masyarakat.
Kredit: Facebook Selangor Royal Office