Usia hanyalah angka dan kekal muda bermakna tidak menerima idea bahawa nombor menentukan segala-galanya. Inilah yang dilalui pasangan Ellie Hamby dan Sandy Hazelip, kedua-duanya nenek berusia 80 tahun yang berjaya mencapai impian mereka iaitu mengelilingi dunia bersama-sama dalam masa 80 hari.
Bagi yang gemar melancong, ditemani sahabat yang serasi dan memahami satu sama lain memanglah sangat penting. Bagi duo ini, gandingan mereka begitu ‘ngam’ seperti isi dan kuku.
Sebagai warga emas, misi menjelajah itu pernah dianggap mustahil namun akhirnya direalisasikan dengan sokongan ahli keluarga. Kedua-dua wanita hebat berstatus balu ini juga menyifatkan penjelajahan tersebut sebagai tribute kepada mendiang suami masing-masing.
Terkenal sebagai doktor perubatan dan penulis buku, Dr Sandy Hazelip senang dengan ‘persamaan’ yang mereka miliki – sahabatnya Ellie Hamby, seorang jurufoto dokumentari antarabangsa yang banyak menyumbangkan karya untuk majalah serta pameran.
Banyak merakamkan kisah duka penjelajahan mereka dalam penulisan blog di aroundtheworldat80.com, hantaran di Facebook, Instagram dan TikTok, dua wanita itu yang kini sudah mencecah 81 tahun berasal dari Dallas, Texas memulakan trip mengelilingi dunia dalam tempoh 80 hari pada 11 Januari 2023.
Baru sahaja kembali ke pangkuan keluarga, Ellie dan Dr Sandy tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth tepat hari ke-80 penjelajahan mereka ke tujuh benua pada awal April.
KEMBARA
Antara negara yang sudah dilawati adalah Bali, Jepun, Nepal, India, Zanzibar, Itali, Kutub Utara, Argentina, Antartika serta banyak lagi. Semua rancangan tersebut pada asalnya dirancang sejak dua tahun lepas namun sudah banyak kali tertunda ekoran COVID-19.
Dalam perkongsian terkini, Dr Sandy turut menceritakan hubungan akrab mereka sebagai travel companion kerana persamaan tersebut; Kedua-duanya peminat Elvis Presley dan tidak kisah mengetepikan kemewahan demi satu pengalaman.
“Kami suka melancong kelas kedua kerana boleh menimba lebih banyak pengalaman dan mengenali masyarakat tempatan dengan lebih dekat. Dan paling penting kami hanya membawa barang keperluan saja. We travel light.
Pada usia begini, kami dah ‘masak’ dengan apa yang betul-betul penting dan nilai pengalaman berbanding keselesaan.” Dr Sandy
Indahnya persahabatan bila ‘sekepala’ dan saling melengkapkan. Pada usia-usia senja begini, pasti bukannya percutian mewah yang dicari tapi sebaliknya nikmat melihat keajaiban alam sebelum mata terpejam!
*****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
*****************