Wah, tumpang bangga atas perkhabaran gembira isteri Dato’ Sri Eizlan Yusof yang kini menerima pelantikan sebagai Kapten! Akhirnya, penglibatan aktif Datin Sri Natasha Rosa Boudville dalam aktiviti kesukarelawanan sepanjang dua tahun ini mendapat perhatian dan pengiktirafan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Pastinya insan paling bahagia menerima berita baik tersebut ialah Dato’ Sri Eizlan yang turut melibatkan diri dalam badan persatuan sama!
Berkongsi foto terbaharu di media sosial masing-masing sejak semalam, jelas kelihatan wajah teruja pasangan romantis ini. Sambil memuatnaik majlis penganugerah dan pingat yang diterima, Dato’ Sri Eizlan berpeluang menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan isteri tercinta. “Congrats my yayang @sashaboudville. Finally! Setelah hampir 2 tahun berbakti sebagai sukarelawan.”
Ternyata, Datin Sri Natasha bukan hanya memiliki rupa paras yang cantik bahkan beliau juga seorang wanita berjiwa penyayang dan sedia turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Ini dibuktikan pada situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara, Datin Sri Natasha bersama Dato’ Sri Eizlan sama-sama memerah keringat membantu petugas barisan hadapan menangani wabak berkenaan.
Malah, pembabitan beliau dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga sudah bermula sebelum berkahwin dengan aktor kacak tersebut lagi.
Ujar ratu hati Dato’ Sri Eizlan yang setia berkhidmat untuk masyarakat sepanjang Covid-19 ini turut melahirkan penghargaan kepada frontliners terlibat. “Terima kasih KKM dan PDRM atas dedikasi dan pengorbanan anda semua supaya kami dijaga dan selamat. Tidak dilupakan juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya yang tidak putus semangat dan tenaga bersama Eizlan Yusof, Adam Shahz dan Dato’ A. Aida.”
Mengimbas kembali pembabitan Dato’ Sri Eizlan bersama APM, bapa kepada tiga anak ini menerima pentauliahan Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam pada April 2018.
Sejak pengurniaan lantikan tersebut, beliau aktif berkhidmat bersama APM dan tahun lalu Dato’ Sri Eizlan bersama Adam Shahz serta pasukan APM telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas mengharungi laluan laut sepanjang 718.57 kilometer. Ia merupakan pelayaran Ekspedisi Amphibious Craft dari Melaka ke Langkawi selama enam hari membabitkan 133 peserta.
Dato’ Sri Eizlan Yusof menamatkan zaman dudanya bersama Datin Natasha Rosa Boudville dalam majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada tanggal 12 Disember 2019.
Datin Natasha merupakan wanita anggun berketurunan Serani yang bekerja sebagai kakitangan pengurusan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara. Beliau memeluk Islam pada Ogos 2018 sebelum dilamar pelakon kacak tersebut pada September 2019.
Moga perkahwinan selebriti romantis ini berkekalan hingga ke syurga dan terus menjadi inspirasi dalam usaha mengajak masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan serta kebajikan.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pelancaran CDERT disempurnakan oleh Timbalan Menteri JPM (Tugas-Tugas Khas) Pesuruhjaya Kehormat (PA) YB Datin Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid. Pelantikan yang diterima Datin Sri Natasha sekaligus membawa gelaran Kapten Bersekutu.