2 WANITA Ini Berkongsi Cabaran Yang Dilalui Sebelum Terpilih Sertai KAYAK MALAYSIA-NILE RIVER 2017, Memang BERJIWA KENTAL!

Pernahkah anda terbayang mampukah anda mengangkat beban berupa 20 liter air mineral untuk naik dan turun Batu Caves sebanyak 14 kali? Bagi yang tidak mempunyai stamina yang kuat, pastinya sudah ‘pancit’ atau ‘surrender’ di separuh jalan.

Itulah antara cabaran yang dihadapi oleh  pasukan kayak Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) yang akan menggalas cabaran negara November ini dalam misi mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari Malaysia yang melakukan ekspedisi ekstrem.

Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 merupakan  satu program berbentuk ekplorasi dan nilai budaya. Program ini lebih menekankan kepada ketahanan fizikal, mental dan semangat juang yang tinggi.

Kesemua peserta akan berkayak dari Aswan ke Luxor dengan jarak 250 kilometer (km). Misi nasional ini digalas oleh tujuh penjelajah negara yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan iaitu lima lelaki dan dua wanita yang telah terpilih dari kalangan 72 peserta. Mereka dilatih sepenuhnya oleh Muhamad Nur Azrul yang juga merupakan Presiden MRM.

Berkongsi pengalaman dengan pembaca NONA, Pembaca Berita Sukan dan Wartawan  Sukan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil merupakan salah seorang dari dua wanita yang berjaya melepasi halangan dan terpilih untuk menyertai ekspedisi ini.

Menurutnya, kemampuan wanita dalam sukan lasak sememangnya tidak boleh disangkalkan lagi apabila dia dan seorang lagi peserta wanita, Rosliza Saad terpilih menyertai ekspedisi yang lebih menekankan kepada ketahanan fizikal, mental dan semangat juang yang tinggi.

Menurut Hasnida Hanim lagi, gemar kepada aktiviti lasak dan aktiviti fizikal banyak mendorong dirinya untuk membulatkan tekad menghantar permohonan untuk menyertai aktiviti ini.

“Saya sememangnya gemar akan aktiviti lasak dan pernah menyertai aktiviti maraton dan hiking. Bagi aktiviti berkayak pula, ini merupakan penyertaan pertama. Sebelum ini, saya hanya melakukan aktiviti kayak untuk aktiviti rekreasi sahaja. Perasaan teruja dan mahu mencabar kemampuan diri menjadi pendorong untuk saya mendaftarkan diri dalam ekspedisi ini,” ujarnya yang suatu ketika dahulu merupakan atlet kebangsaan dalam acara silat olahraga  tahun 2003 mewakili Perak.

CABARAN BUAT WANITA KENTAL

Menyingkap corak latihan intensif yang dijalani selama 4 bulan, menurut Hasnida antara pengalaman latihan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila terpaksa memanjat tangga Batu Caves dengan membawa bersama  beban seberat 20 liter air mineral untuk turun dan naik sebanyak 14 kali.

“Pengalaman menyertai latian intensif selama 4 bulan sememangnya menguji tahap fizikal dan emosi saya. Antara pengalaman latihan yang tak dapat dilupakan adalah ketika terpaksa memanjat tangga Batu Caves dengan membawa bersama  beban seberat 20 liter air mineral untuk turun dan naik sebanyak 14 kali. Memang sukar jika dilihat dari mata kasar. Tetapi Alhamdulillah kami berjaya melakukannya,” ujar Hasnida yang terpilih menyertai ekspedisi ini bersama Rosliza Saad, dua wanita yang terpilih daripada 72 peserta yang turut menghantar permohonan.

Tambah Hasnida Hanim lagi, minat terhadap sukan outdoor  menjadi pendorong utama untuk dirinya bersemangat jitu menyertai ekspedisi ini.

“Untuk ekspedisi ini,cabaran sememangnya ada terutamanya untuk kami, dua orang wanita yang terpilih. Tetapi memandangkan saya dan Eja sememangnya menggemari aktiviti lasak, ianya tidak menjadi halangan untuk kami training bersama peserta kayak lelaki. Kami akan menaiki kayak secara solo. Jadi, tujuh kayak akan digunakan untuk ekspedisi ini. 7 penjelajah 7 kayak,” ujar Hasnida Hanim yang yakin dengan kemampuan wanita.

Sungai Nil adalah satu dari dua sungai terpanjang di bumi. Sungai Nil mengalir sepanjang 6.650 km dan merentasi lebih Sembilan buah negara iaitu  Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan, dan Mesir.

Sungai Nil mempunyai peranan sangat penting dalam peradaban, kehidupan dan sejarah bangsa Mesir sejak ribuan tahun yang lalu. Salah satu sumbangan dari Sungai Nil adalah kemampuannya dalam menghasilkan tanah subur sebagai hasil sedimentasi di sepanjang daerah aliran sungainya.  Tanah yang subur ini memungkinkan penduduk Mesir mengembangkan pertanian dan peradaban sejak ribuan tahun yang lalu.

Tujuh peserta yang akan mengalas cabaran negara pada 8 hingga 19 November ini ialah, Rosliza Saad,  Hasnida Hanim Ahmad Kamil, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman, Izwan Md Sumairi, Mohd Haniff Muhamad Zain, Shamsudduha Junaidi, dan Ahmad Iqbal Khairi Ismail. Pasukan ini kini telah berada di Aswan dan memulakan ekspedisi seperti yang direncanakan.

Semoga peserta ekspedisi ini berjaya mengharungi misi ini dengan jayanya sekaligus mengharumkan lagi nama Malaysia di mata dunia. Selamat maju jaya dari team NONA!ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Share
Published by
Suzi