2022 SKIN DESSERT Terpalit Kontroversi, Tahun Baharu ZIRRA ABDULLAH Azam Bangkit Hadapi Dugaan

Jika tahun lalu, Skin Dessert membawa pulang Best Halal Skincare di NONA Superhero Award 2021, tahun ini jenama yang diusahakan oleh Zirra Abdullah dan suaminya, Mohd Aliff Kadir sekali lagi merupakan salah seorang penerima penghargaan dari majalah NONA untuk NONA MOST PROMISING SKINCARE AWARD.

Zirra Abdullah

Namun tahun 2022 merupakan tahun ‘penuh cabaran’ buat jenama ini apabila  isu keselamatan produk jenama kosmetik Skin Dessert yang dipercayai jualan produknya ditarik balik berikutan berlaku masalah kulit (breakout) yang dihadapi sesetengah pengguna.

Tidak berhenti di situ, isu dalaman dengan salah satu agensi kerajaan juga turut diperkatakan ramai di mana pada 4 Oktober 2022, Pengasas Skin Dessert Puan Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan Skin Dessert En Mohd Aliff Abd Kadir memuat naik gambar mereka di hadapan bangunan SIRIM di media sosial dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Skin Dessert sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM.

Ailezee Rich Sdn Bhd selaku pengeluar produk kosmetik Skin Dessert, telah memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan pada 7 Disember 2022 terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular menerusi platform media sosial baru-baru ini.

Baca Juga: SKIN DESSERT Mula Ambil Tindakan Undang-Undang “Kerugian Lebih 60%, Saya Diugut & Hampir Kemurungan..”

Ketika ditanya mengenai motto kehidupan yang menjadi pegangan dirinya, Zirra menegaskan bahawa penglibatannya dalam bisnes merupakan sesuatu yang diimpikan dan direalisasikan apabila mempunyai ruang dan peluang yang tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.
“Pada pandangan saya, perniagaan merupakan satu kehidupan. Bukan sekadar untuk menambahkan sumber pendapatan semata-mata. Tetapi lebih kepada mengubah cara hidup menjadi lebih baik. Selain itu, mempunyai cara pemikiran yang hebat serta dapat membina jiwa yang besar.


Saya akui setiap perniagaan mempunyai pasang surutnya tetapi ia merupakan asam garam dalam dunia perniagaan yang sekaligus perlu ditempuhi untuk berjaya. Saya melihat kontroversi ada dugaan yang datang sebagai pendorong untuk menjadi lebih kuat,” ujar Zirra yang jarang berkongsi kisah duka dalam perniagaannya.

Tambah Zirra lagi, di sebalik setiap kejayaan yang dikecapinya, pelbagai rintangan telah dilaluinya bagi memastikan kesinambungan jenama yang dibina bersama suami tersayang dapat berkembang maju.

“Saya memulakan perniagaan dari zero. Keluarga juga bukanlah berasal dari keluarga yang minat dalam dunia perniagaan. Apabila saya dan suami menceburkan diri dalam bidang perniagaan, saya perlu buktikan kepada keluarga bahawa kami membuat keputusan yang betul untuk bergelar ahli perniagaan.


Perancangan sangat penting dalam dunia perniagaan bagi memastikan jenama kami terus berdaya saing sekaligus membuktikan kepada keluarga bahawa keputusan kami terlibat dalam dunia perniagaan adalah tepat.
Pelbagai dugaan pernah saya laluinya antaranya termasuklah fitnah dan kejian. Pernah diuji rugi ratusan ribu ringgit namun kami tidak mengeluh malah terus berusaha sehingga ke titik kejayaan. Setiap dugaan yang datang, kami cuba mencari penyelesaian terbaik.

Malah saya anggap ujian ini sebagai proses pembelajaran untuk mematangkan diri dalam dunia bisnes,” ujar Zirra yang pernah terpalit kontroversi mengenai produk keluaran syarikatnya namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengukuhkan jenamanya di persada kosmetik tanahair.

Wanita ini memasang azam baharu 2023 menjadi tahun terbaik untuk bangkit kembali dalam dunia perniagaan dan memastikan jualan yang pernah turun mendadak dan isu yang turut memberi kesan emosi dan mental dapat dipulihkan dengan sebaiknya.

Share
Published by
Rosmah Idayu