Siapa yang tak kenal dengan pengarah, penerbit filem dan pelakon, Ahmad Idham yang terkenal menerusi drama bersiri popular iaitu ‘Cinta Antara Benua’ dan ‘Cinderella’. Kini bahagia bersama keluarga dan dikurniakan empat anak berusia belasan tahun.
“Bila berkahwin dengan seorang selebriti, saya perlu bersedia dengan segala dugaan dalam perkahwinan. Kami amalkan toleransi dan tak cepat melatah jika ada sebarang gosip. Alhamdullilah kami mampu harunginya bersama. Bohonglah kalau kata tak pernah bergaduh, yang penting jangan pendam dalam hati.
BANGGA KEJAYAAN SUAMI
Saya sentiasa menyokong dan bangga dengan setiap kejayaan suami. Berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) adalah pencapaian terbesar suami sekaligus mendidik anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu. Arwah ayah saya adalah penyokong tegarnya kerana sentiasa berbangga dengan pencapaian suami.
Syukur alhamdulillah, suami diberi kepercayaan sekali lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkuatkuasa 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022. Banyak dugaan yang dihadapi dari permulaan perlantikannya sejak Mac 2019. Semoga di bawah pimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dapat dia membangunkan semula industri kreatif tanahair selepas negara mengalami pandemik COVID-19. All the best to him!
MILIKI ANAK ISTIMEWA
Sebagai manusia biasa pasangan ini juga tidak terkecuali daripada menerima ujian. Anak sulung mereka, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 20, merupakan seorang anak istimewa. Ketika usianya dua tahun Ahmad Firdaus diserang sawan dan doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.
“Sejak awal usianya Abang (panggilan kepada anak sulung) seorang anak yang aktif. Sehinggalah suatu hari dia mengalami sawan ketika usia dua tahun yang menyebabkannya sukar berjalan dan bertutur. Sebagai ibu bapa, kami pastinya sedih. Dalam tempoh dua tahun itu akademiknya terganggu kerana banyak yang delay.
Kini usianya sudah 20 tahun. Banyak perubahan positif berlaku pada dirinya seperti pandai berdikari, lebih berani dan yakin. Setiap perkembangan walau sedikit tetap menjadi kebanggaan kami. Hanya ibu bapa yang memiliki anak istimewa saja faham keadaan seperti ini.
Kami mempunyai banyak support system
iaitu keluarga dan teman-teman rapat. Alhamdulillah hingga ke hari ini Ahmad Firdaus tidak pernah dikecam atau dihina dengan keadaannya itu. Ahmad Firdaus bertuah kerana disayangi ramai orang.Kami sentiasa memberikan yang terbaik buat Abang sama seperti anak-anak yang lain. Sebagai ibu, saya sentiasa ada untuk Ahmad Firdaus. Sekurang-kurangnya bila saya sudah tiada nanti saya dah tinggalkannya dalam keadaan selamat dan pandai berdikari.
DIDIKAN
Anak-anak yang lain memang rapat dengan anak sulung. Kerana sejak kecil kami didik mereka saling menghormati, prihatin dan tak pandang rendah kepada orang lain. Tak semua keluarga bertuah dikurniakan anak istimewa seperti keluarga kami.
Sebagai ibu saya layan mereka seperti sahabat termasuk berkongsi cerita, pendapat mahupun masalah. Selalunya mereka lebih selesa dengan saya kalau berkongsi masalah atau meluah perasaan. Jika ada sebarang masalah berkaitan anak-anak, saya akan update kepada suami.
Tiga lagi anak pasangan ini ialah Ahmad Aydeel, 16, Kintan Myra, 14, dan Ahmad Khaliff, 10.
UMUR 44 TAHUN MASIH AWET MUDA
Tahun ini usia saya 44 tahun dan suami pula 49 tahun. Segalanya bermula dengan amalan gaya hidup sihat. Antara rutin sihat dan cergas saya ialah workout tiga kali seminggu dan sesekali turun bermain golf bersama suami. Saya tak makan nasi setiap hari namun masih mengikut diet seimbang. Saya juga tak ambil suplemen kerana kurang percaya dengan cara ‘segera’ untuk kurangkan berat badan. Bagi saya amalan gaya hidup sihat itu yang terbaik.
Dikurniakan anak istimewa telah mencetuskan idea untuk Amy dan suami menubuhkan Eden Firdaus School pada Februari 2016. Ia sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi sempurna buat anak-anak istimewa (OKU).
“Sebelum ini kami menempatkan anak sulung di Saint Claire, Singapura pada tahun 2014. Dua tahun di sana kami nampak perkembangan positifnya. Dari situlah tercetusnya idea membina Eden Firdaus School. Ditambah pula dengan pengalaman saya yang hampir 20 tahun mengendalikan pusat jagaan dan pendidikan kanak-kanak.
Amy mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak dan pernah menubuhkan Tadika Sinar Indah Montessori di Ampang sekitar 1998-2010.
Kredit foto: IG @amyabdaziz
This website uses cookies.