Low profile isteri kepada bekas jaguh badminton negara ini. Meskipun Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek merupakan seorang lagenda sukan tanah air namun Datin Azehan Abdul Halim selesa dengan gaya sederhana. Sebagai status isteri kepada public figure, pastinya Datin Azehan tidak terlepas daripada perhatian khalayak.
Kian bahagia melayari alam rumah tangga, pasangan suami isteri romantis ini menyambut ulang tahun perkahwinan ke-21 mereka pada 21 Mac lalu. Lebih sedekad berkongsi hidup suka dan duka, Datuk Rashid dan Datin Azehan Abdul Halim matang menempuh dugaan perkahwinan.
Apatah lagi Datuk Rashid yang kini berusia 56 tahun dan merupakan anak bongsu kepada Dato’ Haji Mohd Sidek dan Datin Rukinah ini seorang family man.
Datuk Rashid menerusi video temu bual bersama Majalah Keluarga tidak lama dulu mendedahkan dia mula mengenali isteri tercinta sejak wanita tersebut berusia belasan tahun.
“Isteri ialah anak saudara kepada arwah isteri Datuk Misbun Sidek. Saya kenal dari usia dia 13 tahun. Kami mula serius umur saya 34 tahun dan isteri 23 tahun sebelum memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.”
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2003. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ikhwan, Azwin, Eizran dan Irfan.
Diaju sisi peribadi suami sepanjang berkahwin, Datin Azehan menjelaskan dia memahami kerjaya suami sebagai atlet dan jurulatih serta reda hanya sempat bertemu suami enam bulan dalam setahun disebabkan kesibukan Datuk Rashid.
“Alhamdulillah kami jarang berselisih faham. Mungkin sebab Datuk berusia 11 tahun lebih berumur dan dia tahu apa yang terbaik untuk family,
saya akan ikut. Saya seorang yang suka bercakap, dia pula mendengar. Tapi bukan berleter ya. Bagi saya komunikasi kami baik, tak ada masalah.”Datuk Rashid Sidek mempunyai lima beradik iaitu Rusitah, Datuk Misbun, Datuk Razif, Datuk Jalani dan Rahman. Kesemua adik-beradik lelaki Datuk Rashid terlibat dalam arena badminton antarabangsa dan mendapat pendedahan serta bimbingan daripada bapa mereka.
Melakar pelbagai kejayaan era 90an, selain pernah memegang gelaran pemain badminton nombor satu dunia Datuk Rashid Sidek juga memenangi pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Auckland, Perseorangan Lelaki Sukan Komanwel, Victoria, Juara Perseorangan Piala Asia, Juara Perseorangan Terbuka Malaysia dan banyak lagi.
Pada tahun 1995 hingga 2005, populariti adik-beradik atlet ini melonjak dan dikenali ramai selepas komik autobiografi jaguh badminton negara iaitu Anak-Anak Sidek diterbitkan. Malah, kisah hidup mereka juga disiarkan dalam siri animasi Anak-Anak Sidek.
Selain itu, Datuk Rashid juga pernah membintangi filem Cinta 200 Ela pada tahun 2002.
Legenda badminton negara yang berjaya membawa Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.
This website uses cookies.