Seramai 27 ibu tunggal dan beliawanis di Terengganu berjaya menamatkan kursus perusahaan madu kelulut anjuran ExxonMobil dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Taman Pertanian Sekayu, Hulu Terengganu pada 20 September 2017 lalu.
Program selama tiga hari yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif ExxonMobil dalam usaha meningkatkan peluang dan penglibatan golongan wanita di bidang ekonomi melalui usaha pembangunan kemahiran di samping penyediaan program sokongan.
Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof,
Program terbaharu itu dilaksanakan susulan kejayaan program sama membabitkan projek perusahaan cendawan dalam kalangan ibu tunggal dan beliawanis yang dirintis Exxonmobil dan YDSM sejak 2008.
Menurut Dato’ Fadzli, kali ini ExxonMobil menyumbangkan kira-kira RM70,000 bagi program perusahaan madu kelulut dan pihaknya proaktif untuk memantau peserta terutama dalam tempoh tiga bulan pertama.
“Diharap latihan dan sokongan yang disediakan dapat memberi rangsangan kepada mereka terutama dalam memajukan diri sekali gus meningkatkan pendapatan masing-masing,” jelas beliau.
Program latihan keusahawanan di bawah The ExxonMobil Women Economic Opportunity Initiative (EWEOI) itu secara tidak langsung dapat membantu golongan ibu tunggal serta beliawanis menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup diri serta keluarga. Norzalina Mohd Alias
Hukum Demonstrasi Aman Untuk Palestin, Mufti Wilayah Ingatkan Wanita Perkara Penting Ini!
Isu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel benar-benar menggemparkan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Keresahan umat Islam nyata sampai ke kemuncaknya apabila para pemimpin negara OIC dipanggil bersidang secara tergempar di Istanbul, Turki semalam, bagi mencari penyelesaian ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga tidak terkecuali.
Dalam Twitter beliau beberapa jam tadi, Najib mewakili rakyat Malaysia telah mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya keputusan unilateral oleh Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Namun yang paling menarik perhatian Nona adalah kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tentang hukum demonstrasi aman untuk Palestin ini.
Jika anda masih ingat pada 8 Disember lalu, suasana di depan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak penuh sesak dibanjiri ribuan rakyat Malaysia. Perhimpunan aman yang disertai Ketua Pemuda UMNO iaitu Khairy Jamaluddin itu dirancang khas bagi menyampaikan satu memorandum bantahan terhadap tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Persoalannya, boleh ke kita (khasnya wanita) berhimpun, berarak dan beramai-ramai menyertai demonstrasi sebegini? Ini jawapan yang anda perlu tahu!
==============================
Baru-baru ini, berita Kota Baitulmaqdis yang diisytiharkan sebagai ibu negara Israel pada tanggal 7 Disember 2017 oleh Presiden Amerika Syarikat telah menjadi tragedi yang amat buruk kepada umat Islam di seluruh dunia.
Rentetan daripada peristiwa ini, maka kebanyakan umat Islam sama ada di negara Islam dan bukan Islam telah melakukan demonstrasi bagi membantah keputusan ini, termasuklah di negara kita sendiri.
Berkaitan isu ini, kami melihat demonstrasi aman adalah dibenarkan selagimana ia tertakluk kepada beberapa dhawabit (garis panduan). Jika demonstrasi itu diadakan tanpa mematuhi dhawabit ini, maka hukumnya berubah daripada dibenarkan kepada tidak dibenarkan.
Antara dhawabit yang perlu dipenuhi dalam mengadakan demonstrasi aman adalah:
- Tidak membahayakan nyawa dan keselamatan semua pihak.
- Tidak merosakkan harta benda awam serta mengotorkan tempat perhimpunan.
- Tidak mengganggu masyarakat awam yang tidak menyertai perhimpunan.
- Tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej Islam.
- Mematuhi arahan pihak berkuasa.
- Mengelakkan percampuran yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita.
- Bersurai dalam keadaan yang aman.
Demonstrasi adalah wasilah daripada cara mentadbir dan menzahirkan pandangan. Ia juga termasuk dalam cara mengubah dan memberi tekanan kepada pihak tertentu.
Jika sekiranya ini benar, maka perubahan adalah lebih baik dan ketika itu demostrasi adalah halal (dibenarkan). Seperkara lagi, hukum demonstrasi adalah hukum berkaitan cara atau wasilah dan setiap cara atau wasilah itu mestilah mempunyai hukum, matlamat dan kesudahannya.
Begitu juga, cara seperti ini termasuk di dalam masalih al-Mursalah yang tidak terbentuk pensyariatannya berdasarkan nas yang khas. Ini kerana, umum nas dan maqasid al-Syariah menunjukkan ke arah itu.
Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Syeikh Dr. al-Syarif Hatim bin Arif al-Auni berkaitan hukum demonstrasi secara aman.
Antara contoh yang boleh diambil berkaitan demonstrasi ini adalah, peristiwa di mana sahabat Nabi SAW keluar melakukan demonstrasi (bantahan) pada hari peperangan al-Jamal bagi menuntut keadilan terhadap darah Saidina Uthman bin Affan RA. Antara yang mengepalai demonstrasi tersebut adalah al-Zubair bin al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah dan juga Aisyah RA.
Untuk itu, seperti yang kami nyatakan bahawa demonstrasi adalah salah satu wasilah, maka hukumnya adalah berdasarkan matlamat atau maksud yang digunakan kerananya.
Jika membawa kepada yang ma’ruf (baik) atau nahi munkar (mencegah kemungkaran) maka ia termasuk pada umum dalil yang memerintahkan akannya (iaitu perintah agar menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran).
Dalam isu Palestin ini khususnya di Baitulmaqdis, adalah jelas pembelaan terhadapnya telah menjadi tanggungjawab bagi setiap orang Islam. Tambahan pula, isu kezaliman dan penindasan ini termasuk di dalam hal menolong atau membantu saudara-saudara seagama yang dizalimi.
Selain itu juga, dengan demonstrasi akan membuka mata pihak musuh betapa seriusnya umat Islam dalam isu ini dan bantahan daripada pihak antarabangsa dengan berskala besar juga dapat memberi impak yang amat besar kepada Israel dan musuh serta menjadi tekanan yang amat berkesan kepada mereka.
==============================
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri juga menyatakan bahawa sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita perlu mengambil berat dan cakna akan isu ini kerana ia melibatkan salah satu daripada kota suci umat Islam.
“Kami menyeru kepada umat Islam agar sentiasa bermunajat dan berdoa serta solat untuk menghilangkan kabus luka hati umat Islam berkaitan apa yang berlaku di Baitulmaqdis. Semoga Allah sinarkan cahaya kebebasan untuk Baitulmaqdis dan juga masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis. Amin Ya Rabb al-Alamin,” ujar beliau.
Mufti Wilayah Persekutuan ini ada menyatakan bahawa antara dhawabit yang harus dipatuhi adalah mengelakkan percampuran yang tidak terkawal antara lelaki dan wanita. Ini bermaksud, golongan wanita yang berhasrat untuk menyertai perhimpunan mesti berada dalam kelompok wanita sahaja.
Demi keselamatan wanita juga, mengasingkan peserta lelaki dan wanita seperti ini dapat mengelakkan kejadian tidak diingini seperti meraba, mencabul atau sebagainya. Kes jenayah seperti samun, mencuri barang berharga, keganasan dan sebagainya juga dapat dibendung, selain menghalang fitnah atau maksiat jika berlaku percampuran bebas sewaktu sesi demonstrasi. Jelas, bukan? Norzalina Mohd Alias
“Kita Semua Sayang Bella” Datuk Ras Adiba Radzi Sempat Video Call, Terharu Tengok Senyuman Bella
Kempen ‘Keadilan Untuk Bella’ kini menjadi perhatian serius yang mengangkat isu penderaan kanak-kanak di Malaysia. Kes ini juga turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Menurut bekas personaliti televisyen itu yang kini merupakan Pengerusi BERNAMA, kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah penderaan kanak-kanak di negara ini.
Dalam hantaran beliau semalam, Datuk Ras Adiba sempat bertemu mangsa penderaan remaja OKU, Bella, 13 tahun yang kini berada di bawah jagaan JKM.
Meskipun hanya bertemu secara maya, namun terasa keprihatinannya dalam mencari keadilan terhadap nasib remaja Down Syndrome tersebut.
Bella sayang.
Syukur saya dapat bertemu Bella sungguhpun secara maya.
Tidak selamat untuk kami bertemu ketika ini kerana keadaan pandemik yang menimpa negara kita, justeru saya menghubungi anak ini untuk bertanya khabar.
Semoga Yang Esa pulihkan semangat anak ini dan agar beliau kembali mempercayai akan seorang yang bernama manusia.
Bella anak OKU, anak istimewa dan seperti anak-anak yang lain, tanggungjawab kita adalah untuk lindungi mereka, bukan sebaliknya.
Moga pihak PDRM akan membawa mereka yang menganiayai Bella ke muka pengadilan secepat mungkin.
“Kami semua risau akan kamu Bella. Sungguhpun payah, dihampakan dan ketakutan, kamu tetap sudi mengorak senyuman. Doa kami, Bella akan kembali ceria dan kuat semangatnya.” Ras Adiba
PINDA AKTA
Menggunakan hashtags #justiceforbella dan #keadilanuntukbella, Datuk Ras Adiba sendiri mengakui tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan membabitkan golongan itu terutama OKU.
“Tindakan tegas wajib diambil dan pelaku kes penderaan serta penganiayaan kanak-kanak perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya isu penderaan kanak-kanak di negara ini tidak berterusan.
“Saya menggesa agar pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” menurutnya dalam kenyataan BERNAMA.
Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang turut memberi penekanan untuk menamatkan penyalahgunaan, eksploitasi, pemerdagangan manusia dan segala bentuk keganasan serta penyiksaan terhadap kanak-kanak.
Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan terdapat 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku antara Januari hingga April tahun ini.
Ras Adiba turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak proaktif untuk memastikan kanak-kanak di negara ini diberi keutamaan dari segi pemeliharaan serta perlindungan.
Beliau berkata semua lapisan masyarakat harus memainkan peranan serius serta melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa kerana ini merupakan tanggungjawab bersama.
“Kita perlu berganding bahu untuk mengangkat satu mesej bahawa penderaan adalah satu jenayah. Kanak-Kanak ada hak dan ruang untuk menikmati sebuah kehidupan yang aman dan berkualiti.
“Semua pihak mesti patuhi Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995,” katanya.
Geran Bimbingan Bernilai RM3 JUTA, DATUK WIRA DR. AZIZAN OSMAN Fokus Bantu Usahawan
Bukan mudah bergelar usahawan yang berjaya apatah lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk usahawan tidak merangka startegi mengatur langkah membawa bisnes mereka ke peringkat yang seterusnya.
Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu melonjakkan bisnes dalam masa ini bertuah kerana terdapat saluran untuk mempelajari selok belok bergelar usahawan antaranya dengan menghadiri Klinik Usahawan: Siri Bina Bisnes Berjaya anjuran RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks).
Menurut Mentor usahawan merangkap Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman, klinik usahawan tersebut ditaja sepenuhnya melalui Geran Bimbingan Perniagaan bernilai RM3 juta bagi manfaat seramai 6,000 bangsa usahawan di negara dalam tempoh tiga bulan. Katanya lagi, ia memberi fokus kepada usahawan yang serius untuk bangkit dan transformasi bisnes mereka dalam apa jua keadaan ekonomi.
“Inisiatif ini digerakkan selepas kami menerima banyak maklum balas dan perkongsian usahawan di luar sana yang buntu bila berdepan masalah menyebabkan bisnes mereka mula jatuh.
“Jika masalah ini tak ditangani segera, tak mustahil bisnes mereka boleh jatuh dan tersungkur,” katanya ketika majlis Pelancaran Geran Bimbingan Bernilai RM3 Juta sempena Klinik Usahawan: Siri Bina Bisnes Berjaya hari ini.
Dalam masa sama, Azizan turut mengumumkan program khas, 10x Bina Bisnes Berjaya (10xBBB) untuk bimbing perkembangan bisnes usahawan yang akan diadakan secara langsung di dewan sekitar Lembah Kelang pada 2 dan 3 September nanti.
Tambah Azizan, meskipun ada usahawan terkesan namun masih ada usahawan lain yang berkembang jauh lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Inilah yang berlaku kepada sebahagian anak didik RichWorks yang dibimbing ada dari kosong, ada yang bertahun ‘tersangkut’ pada tahap sama berjaya alami pertumbuhan bisnes luar biasa hingga hari ini.
“Klinik usahawan ini akan dibuka selama tiga bulan dengan kos latihan termasuk penilaian perniagaan berserta buku Perjalanan Satu Juta Pertama akan diberikan melalui geran bimbingan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azizan mengulas situasi ekonomi sekarang, sebenarnya seseorang usahawan itu mampu capai jualan RM1 juta pertama dalam tempoh setahun, sebulan, seminggu bahkan sehari bila tahu caranya dalam apa jua keadaan.
“Dalam keadaan mencabar sebenarnya peluang untuk mereka bangkit dan bergerak lebih jauh lagi. Namun tiada siapa boleh bantu ubah bisnes mereka, jika diri sendiri tak nak dan komited untuk mencapai matlamat itu,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, bangsa usahawan boleh layari laman sesawang
www.richworks.com/satujutapertama.