Seramai 27 ibu tunggal dan beliawanis di Terengganu berjaya menamatkan kursus perusahaan madu kelulut anjuran ExxonMobil dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Taman Pertanian Sekayu, Hulu Terengganu pada 20 September 2017 lalu.
Program selama tiga hari yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif ExxonMobil dalam usaha meningkatkan peluang dan penglibatan golongan wanita di bidang ekonomi melalui usaha pembangunan kemahiran di samping penyediaan program sokongan.
Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof,
Program terbaharu itu dilaksanakan susulan kejayaan program sama membabitkan projek perusahaan cendawan dalam kalangan ibu tunggal dan beliawanis yang dirintis Exxonmobil dan YDSM sejak 2008.
Menurut Dato’ Fadzli, kali ini ExxonMobil menyumbangkan kira-kira RM70,000 bagi program perusahaan madu kelulut dan pihaknya proaktif untuk memantau peserta terutama dalam tempoh tiga bulan pertama.
“Diharap latihan dan sokongan yang disediakan dapat memberi rangsangan kepada mereka terutama dalam memajukan diri sekali gus meningkatkan pendapatan masing-masing,” jelas beliau.
Program latihan keusahawanan di bawah The ExxonMobil Women Economic Opportunity Initiative (EWEOI) itu secara tidak langsung dapat membantu golongan ibu tunggal serta beliawanis menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup diri serta keluarga. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.