Penularan wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada masyarakat seluruh dunia. Sehingga semalam sudah dua orang mangsa korban akibat COVID-19 ini. Bagi mengekang penularan pandemik ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18hb Mac hingga 31hb Mac 2020.
Ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan ini Malaysia telah menutup semua pintunya bagi tujuan keluar dan masuk. Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik bekerja di Singapura.
Semalam telah berlaku kesesakan yang luar biasa untuk melepasi sempadan dan ramai yang mengambil keputusan untuk berjalan kaki semata-mata untuk mendapat cop pasport sebelum pukul 12.00 malam. Seorang wanita yang bekerja di sektor pembuatan Singapura, Wanie Ismail telah berkongsi pengalamannya berjalan kaki lebih tiga jam semalam.
Kongsi wanita ini, “Selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan ini tiba-tiba ada mesyuarat tergempar. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) juga turut turun padang.
Mereka buat kaji selidik siapa yang mahu ‘tinggal’ di Singapura dan sebaliknya. Mula-mula ramai yang tak mahu tinggal di Singapura selama 14 hari untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Sebab masing-masing mahu menjaga keluarga sendiri. Tapi ramai yang berubah fikiran takut-takut kalau Perdana Menteri akan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini melebihi 14 hari,” ucap wanita ini.
Tambahnya lagi, “Ketika itu masing-masing terus berbincang dengan keluarga. Berbincang sambil menangis kerana kena buat keputusan malam itu juga. Sebab bila dah buat keputusan untuk ‘tinggal’ di Singapura tak boleh lagi ‘balik’ ke Malaysia. Siapa yang mahu pulang ke Malaysia terpaksa menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji kalau sudah tidak mempunyai jumlah cuti yang mencukupi,” jelasnya.
Setelah membuat keputusan untuk terus bekerja di Kota Singa, pulang pula ke Malaysia untuk mengambil kelengkapan selama 14 hari. Dugaan mendatang apabila terpaksa berdepan dengan kesesakan untuk melepaskan diri ke sempadan Malaysia-Singapura.
“Saya bergerak dari pickup point Taman Perling, Johor pada pukul 5.20 petang. Sampai depan Danga City Mall saja dah pukul 5.40 petang dan jalan sesak langsung tak bergerak. Masa tu masing-masing tengok jam saja dengan perasaan yang berdebar-debar.
Biasanya dalam bas ni lah masa yang kami ambil untuk mencukupkan masa tidur tapi berbeza pula semalam bila semua tak boleh tidur dan masing-masing asyik tengok jam, lama sangat. Sasaran kami semua memang nak passed passport queue sebelum pukul 12.00 malam,” kongsinya yang tak sanggup tunggu lama dan berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor.
“Kalau semua duduk dalam bas tak sanggup atau tak nak berjalan kaki memang tak akan sampai. Lagi patah hati bila kena patah balik. Kami umpama Cinderella yang terpaksa masuk ke suatu tempat jam 12 malam.
Walaupun masing-masing berlengas satu badan berpeluh dari hujung rambut samapai hujung kaki dengan membawa luggage dan beg galas, alhamdulillah kami sempat ke Singapura,” tutur Wanie yang bersyukur kerana majikannya menyediakan hotel untuk penginapan mereka selama 14 hari ini.
Wanita ini sempat berkongsi terdapat seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang bertongkat turut sama berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor. “Saya lihat dia berjalan dari Danga City Mall sampai CIQ. Saya tak nampak pun dia kat lepas di bahagian pasport. Entah dia lepas ke tidak. Kita yang sempurna pun macam rasa nak pergi berperang,” luah wanita kelahiran Johor ini.
This website uses cookies.