Biasanya hidangan kuih-muih untuk dinikmati. Tapi kali ini, tiga jenis kuih-muih tradisi yang digemari ramai seperti Seri Muka, Kuih Lapis dan Kuih Koci dihasilkan khas buat santapan fesyen para hijabi. Wah, unik & ‘menyelerakan’!
Terkenal sebagai jenama hijab premium yang mampu membuatkan peminatnya sanggup beratur panjang dan terjual dalam masa singkat, dUCkscarves sekali lagi mencetuskan fenomena baru apabila melancarkan koleksi terkini Edisi Terhad, The Yummy dUCk. Diinspirasikan daripada ketiga-tiga jenis kuih tradisi tersebut, pelancaran edisi terhad kali ini juga sebagai penghargaan kepada individu terlibat yang berusaha menyambung tradisi budaya dan warisan Malaysia sepanjang tahun.
Menurut Pengasas The dUCk Group, Vivy Yusof yang mengakui tidak mampu menolak keenakan kuih tradisi dan sering membelinya di gerai pembuat kuih, kempen kali ini membawa makna yang besar dan cukup dekat di hatinya.
“Pembuat kuih-muih tradisi ini adalah contoh rakyat Malaysia yang bekerja keras dan kepakaran mereka menghasilkan kuih-muih akan hilang begitu saja kalau kita tak menyokong bisnes mereka. Sempena Hari Malaysia, kami mahu meningkatkan kesedaran tentang pekerja mahir ini yang menghasilkan juadah unik dan mengagumkan.”
The Yummy dUCk mengetengahkan rekaan geometri yang setiap satunya diinspirasikan daripada elemen Kuih Seri Muka, Kuih Lapis dan Kuih Koci. Rekaan skarf Seri Muka misalnya menerapkan rona hijau lembut. Sementara kombinasi warna pastel merah jambu pula sebagai identiti kepada Kuih Lapis dan garapan rona ungu untuk koleksi skarf Kuih Koci.
Di sebalik penghasilan The Yummy dUCK, turut tersirat kisah suka dan duka pembuat kuih tradisi iaitu Makcik Rahmah, Uncle Lee dan Uncle Peter yang menghadapi pelbagai cabaran sepanjang mengekalkan sajian tradisi Malaysia. Lebih indah, kisah mereka turut dikongsi dalam Instagram @theduckgroup.
Berita baik buat peminat setia dUCKscarves, Edisi Terhad The Yummy dUCK telah dilancarkan hari ini dengan harga jualan RM300 sehelai. Anda boleh membeli koleksi ini di dUCK Store, Pavilion Kuala Lumpur atau pembelian secara dalam talian di www.fashionvalet.com.
Kontroversi Macau Scam, Ini Caranya Lupuskan Wang Dari Sumber Rezeki Meragukan
Kelekaan umat Islam kini dalam mencari pendapatan, memungkinkan wujudnya percampuran rezeki daripada sumber yang halal dan haram. Kebanyakan sumber tersebut pula tidak dipastikan statusnya dengan jelas. Semuanya demi matlamat bagi memberi sesuap nasi kepada anak dan isteri.
Benarlah firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah Al-Taghabun: 15)
Oleh kerana itu, pengenalpastian ke atas status sesuatu pendapatan dan sikap berhati-hati dalam memperolehi harta secara halal adalah sangat-sangat dituntut.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud: Firman Allah S.W.T.: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 188)
Wang Tidak Patuh Syariah
Menurut pandangan Imam Al-Syafie, syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).
Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah pula telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.
Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti, sesuatu perniagaan diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah sekiranya perniagaan itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:
i. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);
ii. Perjudian dan pertaruhan;
iii. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
iv. Insurans konvensional;
v. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;
vi. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;
vii. Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan
viii. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.
Fatwa Wang Tidak Patuh Syariah
Di Malaysia, ketetapan berkenaan penyaluran wang-wang haram telah diputuskan sejak dahulu lagi iaitu melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:
i. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini; dan
ii. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.
Manakala melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor
Melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:
i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
ii. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.
Bagaimanakah peranan Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor ke atas Wang Tidak Patuh Syariah?
Sebagai sebuah entiti tunggal yang mentadbir harta umat Islam, Baitulmal berperanan penting dalam mendakwah masyarakat terutamanya mengurus harta secara bijaksana berdasarkan hukum syarak.
Hal ini selaras sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, “Maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”
Kebanyakan masyarakat mengetahui kewajipan membayar zakat sebagai wadah penyucian harta umat Islam. Kewajipan ini bagaimanapun terhad kepada syarat-syarat kelayakan harta yang dizakatkan dan asnaf-asnaf yang telah ditentukan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat juga kurang arif akan perihal harta-harta yang diperolehi dengan jalan yang tidak betul. Unsur-unsur tidak halal ke atas harta dan juga keraguan yang timbul sering kali dipandang enteng oleh sebilangan masyarakat mutakhir ini. Dengan kepesatan ekonomi kini, seringkali menjauhkan masyarakat daripada menitik beratkan aspek hasil atau rezeki yang dikurniakan Allah ke atas hambanya.
Oleh yang demikian, Baitulmal MAIS ingin mengambil peluang ini mengajak umat Islam untuk sama-sama membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh keberkatan dan sentiasa berlandaskan hukum syarak.
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “Maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”
Penyaluran wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal, Bahagian Kewangan, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam atau disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama ‘Majlis Agama Islam Selangor’ atau pindahan wang melalui e-mais di laman web www.mais.gov.my
Sebarang maklumat lanjut, layari www.mais.gov.my atau boleh hubungi Unit Amanah, Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 9 & 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor di talian 03-5514 3773 atau 03-5514 3772.
CHIARA BORDI Hilang Kaki Kiri Ketika Berusia 13 Tahun, Finalis Pertandingan Akhir Ratu Cantik Itali 2018!
Tiada apa yang dapat menghalang seorang remaja perempuan yang baru sahaja berusia 18 tahun, Chiara Bordi untuk meneruskan kehidupannya dan mengejar impian walaupun beliau kehilangan kaki kirinya dalam kemalangan basikal ketika berusia 13 tahun. Bahkan, kekurangannya itu turut memberi tuah buat dirinya apabila berjaya ke pertandingan akhir Miss Italy 2018 baru-baru ini.
Ya, pertandingan ratu cantik cukup sinonim dengan penampilan wanita yang cantik dan bijak. Namun bagi wanita kelahiran Itali ini, kekurangan pada dirinya bukanlah penghalang untuk dia menyertai pertandingan ratu cantik tersebut dan membuktikan dirinya mampu bersaing dengan wanita-wanita sempurna di luar sana.
Akibat kemalangan itu, Bordi yang berasal daripada Wilayah Tarquinia meneruskan hidup dengan status OKU dengan hanya mempunyai satu kaki.
Selain itu, kejayaan Bordi ini juga membuktikan walaupun terdiri dalam golongan OKU, orang seperti mereka tidak seharusnya dipandang rendah dan berhak mendapat layanan seperti insan biasa yang lain.
Walau bagaimanapun, sesetengah netizen menganggap ia sebagai satu pencapaian membanggakan dan memecahkan rekod dalam pertandingan berprestij itu namun ada sesetengah tidak berpuas hati dengan perkara ini. Beberapa hari sebelum pusingan akhir, penyokong dan penentang Bordi saling berbalah.
Menurut Bordi, dia tidak berminat dengan kemenangan tetapi menunjukkan kepada dunia, kehidupan masih indah apabila dilahirkan semula selepas kejadian dramatik.
Kredit foto: Instagram Chiara Bordi
Ragam Perempuan Berpuasa, Ini FRIENDLY REMINDER Ustaz Syamsul Debat Menuju 15 Hari Ke Ramadan
“Biasanya orang Arab masuk saja bulan Rejab dah terbayang Ramadan. Tapi orang perempuan kita belum masuk Rejab lagi dah terbayang Syawal!” begitu mukadimah Ustaz Syamsul Debat mengusik jemaah Muslimat tentang ragam berpuasa.
Nama pendakwah Ustaz Syamsul Debat atau Syamsul Amri Ismail, 43 tahun, sememangnya cukup mesra di kalangan peminat ceramah, terutama sekali penonton saluran TV AlHijrah. Orangnya santai dan kelakar, tapi amat bijak menyelitkan unsur-unsur nasihat yang menginsafkan.
Menyedari kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Ustaz Syamsul berkongsi tiga jenis orang berpuasa yang menggambarkan keadaan dan kedudukannya, sebagaimana yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin.
Beliau turut mengaitkan inti pati jenis berpuasa ini dengan ragam-ragam orang perempuan, eh kadang terasa juga benarnya!
==========================
Pejam celik, pejam celik, malam ini sudah tiba ke pertengahan bulan Syaaban. Dalam pada berlumba-lumba merebut syafaat nisfu Syaaban, malam ini juga bermakna tinggal 15 hari saja lagi untuk kita menjemput tetamu yang paling dirindukan… Ramadan.
Tak kira seberapa banyak kali pun cerita tentang Ramadan, pasti ada sesuatu yang mengujakan tentang tetamu istimewa itu. Dia yang datang setahun sekali selama 30 hari, membawa pelbagai hadiah menarik untuk kita. Terserahlah mahu menerimanya atau membiarkan saja ia berlalu.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Baqarah ayat 183, bermaksud ‘Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.’
Kenapa sebut mudah-mudahan? Sebab belum tentu lagi orang berpuasa itu bertakwa. Mungkin waktu berpuasa kita buat perkara yang tak patut atau tak buat perkara yang sepatutnya. Jom semak 3 jenis orang berpuasa kalau nak tau di tingkat mana ibadah kita.
Pertama: Puasa Umum
Setakat berpuasa menahan perut dan nafsu syahwat sedangkan anggota yang lain masih melakukan maksiat terhadap Allah.
Ustaz Syamsul Debat: Puasa ni macam puasa budak darjah 5. Kita setakat puasa semata-mata, menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tapi nama saja puasa tapi tak mengaji atau bersolat. Sebab padanya itu dah biasa.
Kedua: Puasa Khusus
Ditunaikan dengan turut mengawal seluruh anggota badan daripada melakukan maksiat terhadap Allah tapi hatinya masih belum dapat sepenuhnya daripada niat yang melalaikan diri dalam mengingati Allah.
Ustaz Syamsul Debat: Paling ramai puasa begini. Mereka menahan diri daripada perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala puasa. Contoh perkara yang mengurangkan pahala, siang-siang orang perempuan ni suka tengok drama Korea atau drama Melayu, rancangan hiburan atau bermain Facebook sampai melalaikan.
Mulanya konon-konon tak mahu bergosip, tapi nanti sibuk nak ambil tahu juga. Kalau pergi pasar Ramadan, nafsu makan membuak-buak sampai tak cukup jari-jemari nak gantung plastik makanan. Akhirnya membazir belaka.
Ketiga: Puasa Khusus al-Khusus
Puasa yang paling sempurna dimana hati turut dikawal daripada keinginan yang buruk dan memikirkan sesuatu selain Allah secara mutlak. Tahap puasa ini dinikmati oleh para Nabi, siddiqin dan muqarrabin kerana ia sukar digambarkan dengan kata-kata tetapi dilaksanakan dengan amalan.
Ustaz Syamsul Debat: Inilah puasa yang terbaik, dimana kita bukan saja menahan diri daripada perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala puasa tapi langsung mengelak daripada memikirkan soal duniawi. Jarang-jarang ada orang puasa jenis ni.
“Nak tengok dimana makanan paling membazir? Tengoklah waktu orang kita ke bufet Ramadan”
Kata Ustaz Syamsul Debat, salah satu tanda bertakwa ialah qanaah atau berpada-pada dengan yang sedikit. Sifat suka membazir biasanya terserlah kalau kita berbuka di bufet Ramadan.
“Kita patutnya kena belajar daripada orang putih. Mereka ini kalau pergi bufet mesti ambil sikit-sikit, kemudian duduk dan makan. Bila habis, baru bangun semula untuk ambil yang lain.
Yang perangai orang kita ni pula, dalam fikiran dah plan, kalau bangun ambil semua makanan. Kononnya tak perlu bangun berkali-kali. Sudahnya penuh semeja… terbazir macam tu saja. Itulah sebabnya kita kuat makan lebih banyak dari sebelum tak puasa.
Saya sejak kecil lagi Abah dah ajar, berbuka cukup dengan buah tamar dan air suam. Selepas tunaikan solat Maghrib barulah kami makan makanan berat,” kongsi beliau sebelum mengakhiri ceramah.