3 Tahun Ceburi Fesyen Muslimah, DATIN DIYANA HALIK Rintis Kejayaan Dalam Kelas Tersendiri!

Amboi, makin menjadi-jadi nampaknya bisnes isteri kesayangan Dato’ Aaron Aziz ini! Satu per satu koleksi hijab dihasilkan dan terbaru, Japan Travel Series yang bertemakan seni budaya Jepun baru sahaja dilancarkan awal Januari lalu. Memang cantik dan eksklusif sangat rekaan koleksi ini. Pendek kata, sesuai digayakan oleh semua wanita tidak kira ketika menghadiri majlis-majlis rasmi mahupun bersantai bersama keluarga.

Variasi hijab Datin Diyana Halik ini pastinya bakal menambat hati para wanita. Antaranya, Japan Shibuya Shawl, Japan Lavender Wagasa, Japan Matcha Green Tea Wagasa Square, Japan Red Cherry Blossom Wagasa Shawl dan Japan Mount Fuji Square.

Tidak ketinggalan, Japan Shibuya Crossing yang menerapkan hasil lukisan tangan di atas kain premium satin lembut. Setiap koleksi hijab Diyana Halik didatangkan dalam bungkusan kotak istimewa. Menariknya koleksi kali ini, hijabi yang membeli mana-mana koleksi Japan Travel Series turut menerima penanda buku eksklusif termasuk yang berbentuk kimono.

Sejak mengusahakan label hijab Diyana Halik pada tahun 2015, Datin Diyana telah pun memiliki pelbagai koleksi tudung termasuk Camo Series, Lush Printed, Fleur by Diyana Halik, Sheer Square, Dahlia, Two Tone Shawl, Lush Chiffon dan bermacam-macam lagi. Selain mudah digayakan, Datin Diyana turut memastikan setiap material yang bakal dihasilkan berkualiti demi keselesaan pengguna.

Kagum dengan semangat berniaga ibu kepada tiga orang cahaya mata ini. Walaupun suami ada kerjaya kukuh dan boleh hidup mewah tanpa berniaga tapi Datin Diyana memilih untuk memiliki perusahaan sendiri. Bagi yang berminat untuk mencuba koleksi hijab premium ini, layari laman web Diyana Halik atau mengunjungi butik Diyana Halik di Kota Damansara.

 

Share
Published by
Suzi