Inspirasi

4 Dekad Jadi Anak Seni, Imuda Kini Bergelar Dato’ Kurniaan TYT Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi!

Empat dekad berkecimpung dalam industri hiburan dan menjadi anak seni, pelakon Imuda kini bergelar Dato’! Bintang sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan cukup sinonim dengan watak Budin berkenaan menerima penganugerahan tersebut pada 30 Julai lepas.

Dato’ Imuda atau nama sebenarnya A Rahim Muda menghadiri Hari Kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan (DKBP) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 bersempena Hari Ulang Tahun TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak ke-75.

Dalam istiadat itu, Imuda menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook Imuda Art, anak jati Pulau Pinang berkenaan kelihatan segak dalam persalinan Baju Melayu rona hitam lengkap bersampin.

Turut hadir menemani pelakon berusia 65 tahun itu ialah isteri tercinta, Zabarina Haja Mushadi Ali yang anggun berbusana tradisi warna merah jambu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2010 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 14 dan tujuh tahun.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Dato’ Imuda mempunyai dua orang anak. Bekas isterinya iaitu Roslinda Rosli meninggal dunia pada Disember 2008.

Selain bergelar pelakon, Dato’ Imuda juga aktif sebagai pelukis dan kartunis menerusi komik popular Gila-Gila.

Dalam istiadat sama, TYT Tun mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat keapda 343 individu.

Memetik kenyataan di Instagram rasmi TYT Pulau Pinang, pada hari kedua istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan (DKBP) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 seramai tujuh individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri, dua individu dianugerahkan Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Dato’, 26 individu dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), 24 orang menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 10 individu dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri (BCN), 52 orang menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT), 87 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 130 orang dianugerahkan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan 5 orang dikurniakan Pingat Bakti Setia (PBS).

Artikel https://www.nona.my/aura-puteri-diraja-pahang-wajah-tengku-puteri-afzan-dipuji-makin-jelita-cantik-berseri/

 

IKLAN
Share