Bayangkan, kesalahan yang paling umum yang tidak disedari namun anda masih terus melakukannya. Begitu juga dalam dunia kecantikan. Meskipun tidak ada yang memantau perilaku anda terhadap dosa dan kefahaman yang salah tentang kulit, ada baiknya anda membaca artikel ini.
(a) Tidak Memakai Sunblock Secara Menyeluruh
Keperluan untuk lebih praktikal mendesak wanita untuk memakai produk yang multifungsi, misalnya alat solek yang mengandungi SPF. Padahal kita tidak menyolek hingga ke leher, rahang, telinga mahu pun garis rambut (hairline).
Realitinya, banyak kes kanser kulit merebak pada bahagian kecil yang sering dilupakan. Mulai sekarang, asingkan produk tabir suria dengan produk perawatan atau alat solek anda. Aplikasi produk tabir suria secara merata mulai dari wajah hingga badan tanpa melupakan bahagian tersembunyi seperti telinga, leher hingga belahan dada.
(b) Salah Faham Retinol
Retinol merupakan salah satu komposisi terbaharu produk kecantikan yang berasal dari keluarga vitamin A. Ianya mempercepatkan pergerakan sel kulit serta merangsang produksi kolagen dan elastin hingga membantu menjadikan kulit tampak segar lebih lama.
Namun terdapat beberapa kes berlaku pada empunya kulit sensitif yang alah pada retinol dengan kesan alahan yang berbeza. Jangan terburu-buru menyalahkan retinol. Kini dengan hasil penelitian dan kombinasi teknologi moden, formulasinya sudah semakin sempurna. Cuba biasakan kulit anda dengan retinol secara perlahan dengan aplikasi setitis untuk setiap malam.
(c) Menyental & Melembap Kulit Secara Keterlaluan
Pengelupasan atau eksfoliasi kulit perlu dilakukan secara rutin. Salah satu cara yang cukup praktikal adalah dengan menggunakan skrub. Namun keinginan untuk mendapatkan hasil serba lebih singkat dan segera biasanya mendorong wanita untuk melakukan perawatan melebihi keperluan yang sepatutnya.
Intensiti penggunaan skrub yang berlebihan dengan cara menggosok yang terlalu kuat menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif terhadap sinar matahari mahupun produk kecantikan yang biasa digunakan. Sebaiknya lakukan beberapa kali seminggu sewaktu musim panas dan kurangkan kekerapannya di waktu musim hujan atau sejuk.
Begitu juga dengan pelembab yang berlebihan. Memang adakalanya saat berlibur ke luar dari kawasan ibu kota memerlukan perawatan kulit yang ekstra. Namun, kesan daripada penggunaan pelembap berlebihan pula akan menyebabkan milia, sejenis kutil yang timbul akibat sel kulit mati yang terperangkap pada lapisan kulit. Lebih baik, pakailah pelembap secukupnya pada pagi hari dan selangi dengan serum untuk mengurangi risiko pori-pori tersumbat.
(d) Tunda Aplikasi Krim Penuaan
Sibuk dengan komitmen kerja hingga terabai penjagaan wajah? Hasilnya kedut dan garis halus mula timbul. Maka mulalah panik untuk mencari produk bagi mengurangkan kesan penuaan yang dialami.
Secara asasnya, gaya hidup yang kurang sihat, pencemaran udara, air dan radikal bebas mempengaruhi kondisi kulit untuk kehilangan keanjalan. Kebanyakan wanita baru sedar tentang pentingnya perawatan anti-penuaan menjelang penghujung usia 20-an.
Lebih memburukkan keadaan, ada yang mengambil jalan pintas dengan mendapatkan suntikan filler dan botoks atau rela menahan sakit di meja pembedahan kerana tak sanggup melihat wajah semakin berkedut.
Apalagi kini teknologi kecantikan terbaharu sudah mengiktiraf kandungan retinoid yang dapat mengatasi masalah jerawat dan kerutan sehingga perawatan anti-penuaan boleh dimulakan lebih awal di usia awal 20-an. Fikir-fikirkan! KR
This website uses cookies.