4 Generasi Tinggal Serumah, Kediaman Dato’ Dr Mashitah Ibrahim Sarat Kasih Sayang!

Tinggal berjauhan dengan keluarga, tentu sekali merantai rindu pada waktu getir ini. Peritnya membilang waktu, menunggu detik sekatan merentas negeri dibuka semula.

Namun bagi Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, beliau beruntung kerana kediamannya dihuni empat generasi, lengkap dari moyang hingga ke anak, cucu dan cicit.

Kisah extended family Dato’ Dr Mashitah Ibrahim antara topik sembang kami beberapa hari lepas. Menerusi video Superwoman Talk, beliau membuka cerita tentang aktiviti mereka sekeluarga sepanjang perintah PKP dilaksanakan.

“Waktu ini tanpa disedari hubungan kami jadi bertambah erat dan saling mengambil berat. Ada saja hal yang nak disembangkan khasnya berkaitan kesihatan.

Hari-hari mesti tanya di tempat kerja jumpa siapa, aktiviti kerja dan perkembangan dunia semasa,” cerita nenek kepada empat cucu itu.

Tonton video di bawah untuk inspirasi bersama keluarga di rumah…

 

Nama wanita ini cukup mesra di kalangan peminat dakwah Malaysia. Berusia 56 tahun, isteri kepada Abdul Shakor Abu Bakar itu dulunya kerap menghiasi kaca TV dengan pelbagai ceramah agama yang bermanfaat.

Berasal dari Kedah, ibu kepada empat cahaya mata iaitu Dr. Ameerah Suad, Fatin Sajeeda, Muhammad Wafi, Adel Wajdi dan Muhammad Wafi ini juga merupakan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mukadimah bicara kami berkisar tentang perkembangan terbarunya. Sebagai peneraju badan NGO Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia serta dua lagi yayasan lain, kebanyakan masa memang dihabiskan untuk aktiviti kemasyarakatan.

Seorang yang lembut dan peramah bila didekati

 

Rajin melayan keletah cucu-cucu yang membesar di depan mata

 

Dato’ Dr Mashitah bersama suami dan cucu-cucu kesayangan

 

Bersama bonda yang mencecah usia 90 tahun

 

Gelak tawa dan kasih sayang menjadi tiang kebahagiaan keluarga ini

 

“Kini selain daripada terlibat secara langsung sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dalam masa yang sama saya juga sibuk dengan aktiviti syarikat iaitu Grand Commerce Network Sdn Bhd serta masih lagi merupakan Exco Wanita UMNO Malaysia.” Dato’ Dr Mashitah

 

GENERASI DALAM KERUGIAN

Mengakhiri sembang virtual kami berdua, wanita hebat ini juga turut menitipkan pesanan kepada semua wanita agar menggunakan masa di rumah dengan sebaik-baiknya.

Ada juga sebuah sajak istimewa daripada Dato’ Dr Mashitah untuk semua pembaca Majalah Nona tersayang…

Generasi pandemik akan kerugian…

Sekiranya mereka terus-menerus menyalahkan keadaan,

Tidak mencabar diri untuk bangkit,

Dan akan terus kerugian,

Jika tidak melihat kesempatan dan peluang yang ada,

Di sebalik ujian dan kesempitan yang sedang kita hadapi.

 

Generasi pandemik akan terus kerugian…

Sekiranya mereka terus bersedih,

Terus menyalahkan keadaan,

Gagal menemukan hikmah dan rahmah,

Di sebalik ujian.

 

“Ingatlah di mana-mana ceruk dunia pun, semua orang sedang tertekan. Jadi gunakan masa ini untuk merapatkan diri dengan Allah Taala,” akhiri pendidik jelita itu.

Share
Published by
Norzalina