Di sebalik kegembiraan Datin Aida melalui fasa baru dalam hidupnya hari ini, rupa-rupanya tersimpan sebuah kisah yang lebih mengusik emosi dan tak pernah diberitahunya kepada mana-mana pihak. “Kami dah berkahwin selama 14 tahun dan tak ada anak lagi. Tapi, jujurnya saya dah pernah buat IVF sebanyak 4 kali. Tiga kali mengandung kembar dan terakhir, triplet.”
Selama ni, dia ‘menutup’ kemas rahsia hati. 14 tahun melayari perkahwinan, tak pernah sekali pun Datin Aida Yusof menjaja kisah peribadi. Apatah lagi meraih simpati khalayak meskipun memegang status isteri kepada selebriti popular, Dato’ Adi Putra.
Hanya selepas 9 bulan bercerai, Datin Aida dan Dato’ Adi sepakat untuk kembali rujuk. 18 Januari 2018 menjadi detik manis buat mereka berdua kerana dapat mengikat semula ikatan yang terputus. Betullah orang kata, ‘Kalau dah jodoh takkan ke mana’.
“Insha Allah, next year saya akan cuba lagi sebab saya ada endometriosis dan baru selesai buat pembedahan tahun lepas. Berbulan jugalah saya ditahan di hospital. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu proses untuk sembuh,” dedah Datin Aida yang mengakui hanya sempat merasai nikmat hamil kira-kira tiga bulan.
“Saya tak rasa IVF tu membebankan walaupun terpaksa ambil injection setiap hari di kiri kanan perut. Sakitnya usah cakaplah. Pun begitu saya tetap tak putus asa sebab saya suka dengan kanak-kanak. Dapat seorang pun cukuplah. Selama 4 kali buat IVF ni suami memang banyak beri semangat. Selagi belum diberikan rezeki, selagi tu kami akan terus mencuba.”
Mengambil semangat dan kekuatan Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menimang cahaya mata baru-baru ini, Pengarah Urusan syarikat pembinaan Mahligai Perkasa Sdn Bhd ini nyata mahu mengikut jejak langkah Dato’ Sri Siti menjalani rawatan IVF demi mempunyai zuriat sendiri.
“Dato’ Sri Siti seorang yang sangat-sangat kuat dan kental. Dia berusaha selama 11 tahun untuk dapatkan anak. Sebagai isteri, saya pun teringin ada anak sendiri tapi rezeki belum berpihak kepada saya lagi. Saya percaya kalau tak ada anak, saya tahu itu bukan hak saya. Kena percaya Qada dan Qadar. Allah kata je ‘Kun fa ya kun’ maka waktu itu ada rezeki kita. Mungkin kita tak diberi kelebihan ‘di situ’, tapi Dia beri kita rezeki lain.
Saya jenis yang reda. Saya tak mahu meletakkan syarat yang saya perlu ada anak. Kalau rezeki anak tak berpihak dengan saya, saya dah pun ada dua orang anak angkat iaitu Az Zahra dan Zara Adelia. Waktu mereka kecil lagi saya dah susukan kedua-duanya. Zahra dan Adelia masing-masing berusia 6 tahun cuma beza sebulan je.
Zahra yang sulung, normal seperti kanak-kanak lain cuma Adelia ni sebenarnya anak OKU. Dia anak istimewa, tak boleh bercakap dan dengar. Kami dapat tahu keistimewaan Adelia ni masa masih bayi lagi bila dia tak tunjukkan sebarang reaksi terkejut dan seumpamanya,” jelas Datin Aida yang merupakan anak sulung daripada 11 adik-beradik.
Apa yang pasti, pendedahan eksklusif ini hanya untuk dijadikan inspirasi… bukan mencipta kontroversi. “Seperti yang saya katakan awal tadi, semua wanita pun mesti nak anak. Tapi biarlah kita reda dulu dengan ketentuan Allah. Perlu ada keredaan dalam diri walaupun telah cuba buat yang terbaik ke arah itu. Moga-moga kita semua akan diberikan zuriat soleh dan solehah.”
This website uses cookies.