Nak dietlah minggu ni!Berat badan dah naik ni. Itu adalah antara ungkapan yang sering kita dengar untuk mengurangkan masalah berat badan. Apabila memperkatakan soal diet, pasti ada yang akan memilih hidangan yang sihat sahaja untuk mengurangkan masalah berat badan. Tetapi tahukah anda, makanan sihat juga boleh mendatangkan risiko kegemukan? Jom kita lihat antara makanan yang turut membawa faktor kegemukan.
ROTI
Pencinta roti lebih terdorong untuk makan berlebihan ketika waktu makan utama. Jadi berusahalah untuk mengawal pengambilannya dan pilihlah roti bijirin gandum untuk mendapatkan bekalan serat yang secukupnya. Jika anda tidak boleh hidup tanpa sandwic, hadkan kepada hanya beberapa keping roti sehari.
BIJIRIN GANDUM
Terlalu banyak mengambil bijirin ini juga tidak menyihatkan. Dalam kuantiti sederhana, hiriskan sayuran atau taburkan sedikit isi ikan ke atas hidangan bijirin anda seperti pasta gandum, nasi atau quinoa.
YOGURT BERPERISA
Mereka yang menggemari yogurt rendah lemak berperisa buah-buahan cenderung untuk makan lebih banyak yogurt berbanding apa yang tubuh perlukan. Jadi dapatkan yogurt rendah lemak tanpa perisa dan campurkan buah-buahan segar untuk pilihan yang lebih bijak.
EMPING BIJIRIN SARAPAN
Jangan makan bijirin sarapan terus dari kotaknya. Cara ini, anda akan mengudap berlebihan tanpa disedari. Walaupun kini kebanyakan bijirin berserat tinggi dan juga menyihatkan, ia tetap menambah jumlah kalori, sekaligus menggagalkan rancangan diet anda. Justeru, ambil bijirin sarapan dengan susu segar sahaja.
TIP BIJAK!
Seimbangkan makanan segar dan bermasak
Uruskan aturan makanan anda seperti baju-baju di almari. Bijak suaipadan makanan yang bermasak dan segar, contohnya selepas makan makanan berproses, dapatkan makanan segar seperti buah-buahan atau sayuran.
Jika waktu makan tengahari anda menikmati makanan bergoreng, hidangan seterusnya mestilah yang digril atau distim. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
This website uses cookies.