Eh, jangan terlalu teruja memakai gincu sehingga anda kelihatan seperti badut! Cuba selidik dahulu kekuatan dan kelemahan rupa paras kita, sebelum memilih gincu bibir mana yang perlu dibeli supaya nanti anda tidak ditertawakan.
PANDUAN MEMILIH
(a) Untuk kegunaan harian
- Pilih warna dua kali lebih gelap daripada kulit wajah anda.
- Buat perbandingan di antara warna senada merah jambu dan merah. Merah jambu dan merah sangat sesuai untuk semua jenis tona kulit dan nampak ‘kena’ untuk kebanyakan gaya penampilan dan gaya rambut.
- Jangan terlalu menonjolkan warna bibir pada waktu siang, kecuali anda akan menghadiri majlis keraian.
(b) Merah yang sesuai
- Kenal pasti tona kulit anda. Adakah ia cerah, sederhana cerah, kuning langsat atau gelap?
- Cara pilih warna gincu yang sesuai dengan kulit:
- Untuk kulit cerah, merah gelap atau coral red dengan undertones merah jambu sesuai untuk anda.
- Bagi anda yang berkulit kuning langsat, merah jambu atau biasan kranberi dan merah bata menonjolkan seri wajah.
- Jangan risau jika anda berkulit gelap. Pilih rona gincu seperti merah dengan biasan warna merah burgundy atau coklat.
- Merah adalah pilihan terbaik dan universal. Anda tidak mungkin kelihatan janggal dengan warna ini!
(c) Tip membeli gincu
Cuba dahulu baru beli. Warna yang terpapar di bahagian luar kotak gincu biasanya boleh mengelirukan dan tidak tepat.
Bersihkan gincu yang masih bersisa sebelum mencuba warna gincu yang lain agar anda boleh membuat perbandingan dengan tepat.
Kombinasi di antara warna gincu sedia ada dan gincu yang dicuba mungkin nampak cantik bersama atau mungkin sebaliknya. Minta makeup remover daripada jurujual berhampiran.
Wajah polos tanpa solekan adalah cara terbaik untuk melihat keserasian di antara warna gincu dan kulit anda. Solekan lain hanya akan menjadi ‘halangan’ untuk anda membuat pilihan.
Minta bantuan jurujual untuk membolehkan anda membuat keputusan. Pandangan profesional membantu anda membuat pilihan yang sesuai dengan tona kulit.
(d) Padanan gincu bibir dengan penampilan
Jangan oles gincu bibir yang sama warna dengan baju anda. Baju merah dan gincu merah misalnya akan kelihatan tidak menarik.
Pilih salah satu, solekan mata dramatik atau olesan rona gincu bibir yang dramatik. Maskara dan penggaris mata berwarna coklat gelap di antara alis mata sudah mencukupi untuk kelihatan menawan.
Apabila anda menggunakan solekan smokey eye, gincu dengan rona merah jambu lembut atau nude adalah padanan terbaik. KR