5 Aktivis Muda Ini Cetus Inspirasi, Lantang Suarakan Kebebasan Untuk Rakyat Palestin

Konflik antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 1947 masih menjadi isu kemanusiaan yang belum berakhir sampai saat ini. Kita sering ‘dihidangkan’ dengan berita-berita mengenai rakyat Palestin yang sering ditindas.

Tak kurang juga kisah peperangan yang menyayat hati, bukan hanya memusnahkan kediaman malah mengancam nyawa mereka. Secara tak langsung ia melanggar hak asasi manusia untuk hidup dengan aman dan bahagia.

Lima aktivis muda ini punya keberanian terutama ketika berucap di persada antarabangsa. Selain aktif dalam bidang sosial, mereka juga laantang menyuarakan hak kebebasan untuk rakyat Palestin.

JANNA JIHAD
Dilahirkan dan dibesarkan di Nabi Salih, sebuah kampung di Tebing Barat Palestin. Janna Jihad ialah seorang aktivis dan wartawan belia. Gadis berusia 17 tahun ini mendokumentasikan konflik selama beberapa tahun dengan cara yang tidak dilakukan oleh kebanyakan media. Dia juga memberikan pandangan yang tepat tentang tanah kelahirannya.

Pada usia tujuh tahun, Janna mula melaporkan konflik Palestin-Israel selepas melihat dua ahli keluarganya terbunuh. Dia merakam bantahan di kampungnya dan memuat naik rakaman itu dalam talian. Ia dilihat oleh lebih 300 ribu orang seluruh dunia.

Sejak beberapa tahun lalu, Janna telah mengembara ke negara-negara seperti Jordan, Turki dan Afrika Selatan untuk menyebarkan kesedaran tentang keganasan yang sedang berlaku di wilayah Palestin. Popularitinya yang semakin meningkat menyebabkan dia mendapat gelaran “Wartawan Termuda di Palestin”.

LEANNE MOHAMAD
Leanne Mohamad, 22, seorang aktivis hak asasi manusia dan penceramah awam dari London. Kerana kedua ibu bapanya berasal dari Palestin, Leanne mengambil pendirian tegas menentang pendudukan Israel di Palestin dan mempertahankan haknya untuk kembali ke tanah air suatu hari nanti.

Dia mula menjadi tumpuan pada usia 15 tahun dalam pertandingan pengucapan awam. Ketika itu, Leanne menyampaikan ucapan bertajuk “Burung Bukan Bom.” Dalam ucapan itu, Leanne mendedahkan kesedihan menjadi warga Palestin dan menyeru kebebasan untuk semua orang yang hidup di bawah penjajahan.

Bagaimanapun, ramai yang memberi respon yang negatif sehingga menyebabkan dia terkeluar daripada pertandingan itu. Namun, detik ini sebenarnya membuatkan ramai yang berminat. Ucapannya, yang menyampaikan mesej yang begitu kuat, menjadi tular.

Sejak dikenali, Leanne menggunakan pentas untuk berucap di pelbagai acara termasuk di hadapan lebih 200 ribu penunjuk perasaan di London. Leanne terus bercakap secara terbuka mengenai jenayah dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

LAILA EL-HADDAD
Seorang penulis Palestin dan penceramah awam dari Amerika Syarikat. Dilahirkan di Kuwait, Laila sering menghabiskan musim panasnya di Gaza. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Duke dan Harvard, Laila memutuskan untuk berpindah ke Gaza.

Laila mendedahkan masalah dihadapi rakyat Palestin setiap hari semasa bekerja sebagai wartawan Al-Jazeera di Gaza. Laila turut membuka akaun Twitter peribadinya @gazamom di mana dia berkongsi kisahnya membesarkan anak-anak di Gaza.

Selain menyiarkan resipi untuk makanan tradisional Palestin semasa tinggal di AS, Laila masih terus menyiarkan dan meningkatkan kesedaran orang lain tentang keadaan di Palestin, dan mengumpul wang untuk membantu mereka di bawah penjajahan Israel.

AHED TAMIMI
Sepupu Janna Jihad Ahed ini juga seorang aktivis muda dari Tebing Barat. Dia terkenal kerana mengambil bahagian dalam protes yang menyatakan bantahannya terhadap perluasan penempatan Israel. Berusia 22 tahun, dia dikenali sebagai pejuang kemerdekaan Palestin.

 

Ahed telah berulang kali mendapat populariti. Pertama, ketika dia berumur 11 tahun ketika cuba menghalang ibunya daripada ditangkap. Fotonya menjadi tular apabila dia melambai di hadapan seorang askar Israel ketika abangnya ditangkap. Sikapnya yang paling menonjol ialah apabila dia menampar seorang askar Israel pada 2017 yang membawa kepada penahanannya.

Ahed dikenali sebagai kuasa yang memberi tenaga kepada mereka yang telah dilemahkan oleh penempatan Israel selama beberapa dekad. Dia terus berusaha membawa perubahan kepada negaranya dengan ijazah undang-undang yang sedang diceburinya.

RANA NAZZAL HAMADEH
Merupakan artis dan aktivis Palestin-Kanada yang menggunakan fotografi serta pembikinan filem bagi menggambarkan perpindahan dan pembasmian di Tebing Barat Palestin.

Rana mengadakan pameran di Kanada untuk menunjukkan kepada orang-orang di Barat bagaimana kehidupan di Palestin dan hubungan mereka dengan tanah air.

Dia kerap turun ke jalan Ramallah untuk membantah kerajaan dan menyeru kemerdekaan Gaza.

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad