Tidak ada seorang wanita pun mahu dijangkiti kanser payudara namun siapa kita nak menolak takdir. Jika sudah tersurat cuba terima dengan tabah namun bukan mengalah.
Era modenisasi kini terdapat banyak rawatan untuk membantu pejuang kanser payudara. Pesakit kanser payudara perlu terus positif meneruskan kehidupan dengan menerima rawatan yang sewajarnya.
Di samping itu, sebagai ahli keluarga terdekat, perlu memberi sokongan padu agar pejuang kanser payudara terus berusaha melawan penyakit yang digeruni oleh wanita itu.
Sebagaimana yang diketahui kos untuk melakukan rawatan kanser payudara bukan sedikit dan menelan belanja yang besar. Namun, itu bukan bermakna pejuang kanser perlu mengalah dan duduk berdiam diri.
Sebenarnya, terdapat banyak bantuan kewangan yang boleh dipohon untuk menyingkirkan virus tersebut. Pilihan sokongan kewangan di Malaysia yang dapat membantu pejuang kanser payudara;
- Hospital kerajaan,
- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO),
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF),
- Insurans,
- Program sokongan pesakit seperti EMBRACE.
Kanser payudara merupakan kanser payudara yang diakibatkan oleh sel kanser yang merebak dari payudara ke organ-organ badan lain. Berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sempena bulan kesedaran kanser payudara yang disambut setiap bulan Oktober, setiap wanita perlu tahu tanda-tanda kanser payudara agar dapat mengesan dari awal. Membuat pemeriksaan mamogram wajib dilakukan apabila sudah mencapai usia 40 tahun. Paling kurang, lakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan selepas menstrual anda.
Wanita BERPAYUDARA BESAR Lebih Senang Hidap Kanser Payudara? Rupa-Rupanya Ini Yang Kita Tak Tahu
Benarkan ukuran payudara yang besar membuatkan seseorang wanita lebih mudah mengalami kanser payudara berbanding mereka yang berpayudara kecil?
Menurut penelitian yang diterbitkan dalam jurnal BMC Medical Genetics, seramai 16,000 wanita diminta menyatakan ukuran bra yang dipakai selain merekodkan sampel gen mereka.
Di akhir penelitian, keputusan mendapati kelompok wanita yang menggunakan bra berukuran D atau lebih berisiko mengalami kanser payudara berbanding wanita yang menggunakan bra berukuran A atau lebih kecil daripada itu.
Pakar perubatan menyatakan bahawa ukuran payudara pada wanita dipengaruhi oleh gen dan DNA yang mengaturnya. Gen yang membuat ukuran payudara besar pada wanita juga mempengaruhi pertumbuhan kanser.
Teori lain pula menyatakan bahawa wanita yang memiliki berat badan berlebihan juga mempunyai ukuran payudara yang besar kerana kandungan lemak yang bertimbun di situ. Pengaruh obesiti atau kegemukan turut meningkatkan risiko penyakit kanser payudara.
Pelbagai penelitian telah membuktikan bahawa wanita obesiti cenderung mengalami kanser payudara. Penelitian Journal of Clinical Oncology menyatakan bahawa risiko kanser meningkat hingga 30% pada wanita yang bertubuh besar.
Sebelum membuat sebarang kesimpulan, tonton video ini untuk memahami penyakit kanser payudara secara menyeluruh. Penjelasan infografik tersebut membuktikan bahawa kanser payudara TIDAK BERKAITAN dengan saiz payudara seseorang kerana sesiapa pun berisiko untuk menghidapnya.
Tindakan Awal Menyelamat Nyawa
Bagi anda yang memiliki ukuran payudara besar, jangan cemas lagi. Sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan sel kanser berkembang pada payudara.
Berikut adalah faktor risiko menurut American Cancer Society:
(a) Sejarah keluarga
Tidak kira berapa pun ukuran payudara anda, tapi jika memiliki sejarah keluarga yang mengalami kanser payudara tetap akan meningkatkan risiko hingga 2 kali ganda.
(b) Usia
Semakin berusia, maka semakin meningkatlah risikonya. Kebanyakan pesakit kanser payudara sudah mengalami menopaus saat didiagnosis penyakit ini. Oleh itu, penting untuk melakukan mammogram ketika memasuki usia 47 tahun.
(c) Pernah mempunyai tumor
Jika sebelum ini anda pernah mempunyai tumor pada payudara, risiko untuk mendapat kanser payudara meningkat hingga 3 kali ganda.
(d) Memiliki anak pertama di usia matang
Seorang wanita yang lambat memiliki anak atau tidak memiliki anak sama sekali, berisiko lebih tinggi untuk mengalami kanser payudara.
(e) Mengalami menopaus awal ataupun lambat
Wanita yang mengalami menopaus atau haid pertama kurang dari usia 12 tahun, maka berisiko terkena kanser payudara. Sama juga dengan wanita yang menopaus pada usia melebihi 55 tahun. Norzalina Mohd Alias
Aduh, Hilang Selera Makan! Ketahui Masalah Pemakanan Pesakit Kanser & Cuba 3 RESIPI SIHAT Ini Untuk Mereka
Penghidap kanser, terutamanya mereka yang baru didiagnosis sering bertanya, “Apakah makanan yang patut dimakan? Makanan apa pula yang mesti dijauhi? Bagaimana cara memasak makanan tersebut?”
Apakah kaitan di antara diet dan kesihatan? Banyak kajian telah dijalankan untuk melihat kaitan ini dan pakar-pakar percaya bahawa makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kanser terhadap seseorang. Contohnya makanan yang diubah suai secara genetik (GMO), daging proses, minuman bergas, tepung dan gula halus serta banyak lagi.
Namun bagi mereka yang telah menghidap kanser, lazimnya sering berdepan masalah pemakanan yang serius. Selera makan pesakit akan terjejas akibat kesan sampingan kemoterapi atau pembedahan. Mereka enggan makan walaupun sebenarnya ia amat penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan.
Dengan memahami masalah pemakanan yang mereka alami dapat membantu kita sebagai penjaga untuk menyediakan makanan yang sesuai. Semak juga 3 resipi sihat ini khusus buat pesakit kanser yang dijaga.
(a) Selera makan terjejas serta penurunan berat badan
Tak mengapa jika sikit asalkan kerap. Pesakit atau penjaga pesakit perlu memastikan agar makanan kerap diambil untuk bekalan sepanjang hari. Sediakan juga snek berkhasiat yang mudah dibawa jika anda mempunyai temu janji di klinik atau pusat rawatan.
(b) Loya tekak, mual atau muntah
Cuba ambil halia, air lemon, limau nipis atau makanan masam. Elakkan makanan yang kuat baunya untuk mengatasi simptom di atas. Anda juga boleh mengamalkan makanan berasaskan cecair seperti bubur atau jus untuk mengawal muntah.
(c) Sakit mulut, ulser dan masalah menelan
Pilih makanan yang lembut, mudah dikunyah dan ditelan. Makanan yang dimakan dengan sos atau berkuah juga sesuai pada masa ini. Hadkan makanan pedas, rangup atau berasid dalam diet anda bagi mencegah iritasi tekak dan mulut. Potong makanan pejal kepada saiz kecil.
(d) Kekeringan mulut atau air liur pekat
Cuba makanan yang mudah ditelan atau yang dimakan bersama kuah, sos atau dressing, puri yang dimasak, bubur dan sup. Elakkan makanan yang keras, pedas, masam dan masin. Segelintir pesakit suka menghisap ais dan buah-buahan beku pada masa ini untuk merangsang pengeluaran air liur.
(e) Perubahan rasa dan bau
Ambil makanan dan minuman yang masam serta tambah gula untuk memaniskan makanan masin, pahit atau masam. Makan dengan sudu plastik, bukan sudu besi bagi menghindari bau.
(f) Sembelit
Makan makanan berfiber tinggi seperti bijirin penuh, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengurangkan sembelit. Tingkatkan juga pengambilan cecair melalui sup dan jus.
(g) Cirit-birit
Elakkan makanan berfiber tinggi, berminyak dan pedas. Pilih yang berlaktosa rendah atau bebas laktosa seperti soya atau nasi jika anda menghadapi masalah intoleran laktosa akibat rawatan kanser.
(h) Sel darah putih rendah dan imun sistem yang lemah
Pesakit yang melalui transplan sumsum tulang dan mereka yang mengalami masalah sistem imun akibat rawatan dinasihatkan agar berhati-hati soal keselamatan makanan. Pilih makanan yang dimasak, dipasteurkan dan bersih untuk menghindari pencemaran atau jangkitan. Elakkan makanan mentah.
Sewaktu ini, pengambilan makanan yang bernutrisi tinggi amat penting untuk melawan kanser dan membolehkan pesakit bertenaga untuk melalui kesan sampingan akibat rawatan yang dijalani.
Jus Strawberi
Bahan-bahan:
- 200gm tembikai (kulit dan biji dibuang, dipotong kiub)
- 80gm strawberi (dibasuh dan dibelah dua)
- Kiub ais
- 1/4 sudu kecil garam
Cara membuat:
Basuh semua buah-buahan dengan bersih dan masukkan ke dalam pengisar jus. Kemudian masukkan ke dalam gelas tinggi dan bubuh secubit garam. Letakkan ais dan hidang.
Salad Kentang
Bahan-bahan:
- 1 biji kentang (direbus dengan kulit, dikupas dan dilenyekkan)
- 1/4 cawan daun saderi (dicencang)
- 1/4 cawan bawang besar (dicencang)
- 1 biji telur rebus
- 1/2 biji tomato (dipotong dadu)
- 1/4 cawan plain yogurt
- 1/4 cawan mayones
- 1/4 sudu kecil lada sulah
- 1/4 sudu kecil garam
Cara membuat:
Stimkan daun saderi, bawang dan tomato selama 3 minit. Kemudian dalam mangkuk besar, campurkan kentang dan sayuran stim tadi kecuali telur. Akhir sekali masukkan telur rebus yang dihiris dan sejukkan dalam peti ais. Sedia untuk dihidang.
Chicken Wrap
Bahan-bahan:
- 200gm dada ayam
- 3 keping tortilla wraps
- 180gm capsicum (dibasuh dan dihiris)
- 80gm daun salad Romaine
- 75gm tomato ceri (dihiris)
- 2 sudu kecil minyak zaitun
- 3 keping keju cheddar
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil lada hitam
- Mayones/basil pesto
Cara membuat:
Perap dada ayam dengan garam dan lada hitam selama 10 minit. Sambil itu panaskan oven 200 darjah Celsius. Tuangkan minyak zaitun ke dalam kuali dan goreng ayam selama 5 minit atau hingga masak. Kemudian tunggu sejuk dan hiris nipis. Sapukan mayones atau basil pesto pada sebelah permukaan tortilla wraps, susun hirisan ayam, capsicum, daun salad, tomato ceri dan keju cheddar. Gulung dengan cermat dan bakar selama 10 minit atau hingga keju cair. Hidangkan panas-panas. Norzalina Mohd Alias
Awas, Risiko Kanser Payudara Berada Di Sekeliling Kita! PERIUK & KUALI MEMASAK Pun Bahaya
Pencegahan kanser payudara seharusnya bermula dari rumah, setepatnya daripada aspek penjagaan diri dan pemakanan kita setiap hari.
Meskipun terdapat banyak faktor penyebab, namun tidak dinafikan salah satunya bermula daripada bahan kimia yang masuk melalui makanan diproses. Antaranya aspartame yang didapati dalam pemanis sintetik (bijirin sarapan, yogurt, gula-gula getah), BHT & BHA atau antioksidan sintetik (daging diproses, minyak sayuran), MSG atau perisa tiruan serta pewarna tiruan (Blue 1, Yellow 5).
Selain itu, faktor alam sekitar yang bertoksin juga menyumbang kepada risiko kanser payudara. Malah tanpa disedari, bahan kimia yang terdapat dalam produk penjagaan diri juga turut dikesan dalam kebanyakan kes penyakit ini
(a) PARABEN
Digunakan secara meluas dalam produk kosmetik seperti losen, anti-perspirasi, syampu dan semburan badan. Kajian klinikal menemukan sejumlah kandungan paraben yang tinggi dalam tisu wanita yang menghidap kanser payudara.
(b) PHTHALATES
Ditemui dalam produk pembersihan rumah dan alat kosmetik. Ia dikaitkan dengan pertumbuhan kanser payudara, penyakit neurologi dan disfungsi sistem imunisasi.
(c) FORMALDEHYDE
Merupakan sejenis karsinogen berbahaya yang wujud dalam pelbagai produk pembersihan komersial.
(d) BPA
Atau bisphenol A sering digunakan dalam industri membuat botol plastik, makanan dalam tin, penampal gigi dan resit juruwang. Kompaun ini juga menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah kanser payudara.
(e) PFOA
Asid Perfluorooctanoic sering ditemui dalam alat perkakas memasak, karpet kalis kotoran, pembersih karpet, pakaian kalis air dan air minuman.
KAEDAH PENCEGAHAN NATURAL
Bagi mengurangkan peluang mendapat kanser payudara secara semula jadi, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan. Selain berniat untuk mencegah penyakit, amalan di bawah juga sesuai diaplikasikan untuk menjaga kesihatan keluarga secara keseluruhan.
(1) ELAKKAN SEGALA MAKANAN BERPROSES
- Diri anda ialah apa yang anda makan. Cuba kawal dan hindari pengambilan makanan berproses serta tinggi kandungan kimia.
- Gantikan dengan makanan segar dan organik seperti kekacang, biji-bijian, produk tenusu, buah-buahan, sayuran, ayam, daging dan ikan yang didapati melalui habitat asal mereka.
- Lebih kuat sistem imunisasi anda, maka lebih bersedialah sistem pertahanan tubuh untuk melawan kanser.
(2) CIPTA SUASANA HIJAU
- Kini perhatikan pula suasana di sekeliling anda. Semak label pada kosmetik serta produk pembersihan rumah yang selalu digunakan.
- Sedarilah bahawa kebanyakan produk-produk ini boleh menjadi penyebab kanser payudara serta pelbagai penyakit berbahaya lain.
- Gantikan barang kosmetik harian seperti mekap, rangkaian penjagaan kulit dan rambut yang berkimia ini dengan produk berasaskan mineral atau organik.
- Anda juga boleh membersihkan rumah dengan mudah menggunakan cuka, jus lemon dan sabun kastil.
(3) LAKUKAN URUTAN LIMFATIK PAYUDARA
- Gaya hidup yang bertoksik dan sedentari (duduk setempat) boleh mendedahkan kita kepada pelbagai toksin. Justeru, lakukan urutan payudara di rumah dengan tujuan nyah toksin dan melancarkan peredaran darah.
(4) TINGKATKAN PENGAMBILAN VITAMIN D3
- Kebanyakan pesakit kanser payudara sering mengalami masalah kekurangan vitamin D3. Tanpa bekalan vitamin D mencukupi, anda terdedah kepada pertumbuhan pelbagai jenis kanser termasuk kulit dan payudara.
- Dos optimum yang disyorkan untuk orang dewasa adalah sekitar 2000-5000 IU serta bertambah penting untuk mereka yang tinggal dalam iklim sejuk atau tidak mendapat dedahan matahari secukupnya.
Kempen #nonapinkribbon sesungguhnya diusahakan tanpa keuntungan bagi menggalakkan usaha pengesanan awal terhadap kanser payudara. Pun begitu, anda juga mempunyai kuasa yang sangat kuat untuk mencegah risikonya tanpa perlu menunggu kedatangan bulan Oktober. Norzalina Mohd Alias