Tidak ada seorang wanita pun mahu dijangkiti kanser payudara namun siapa kita nak menolak takdir. Jika sudah tersurat cuba terima dengan tabah namun bukan mengalah.
Era modenisasi kini terdapat banyak rawatan untuk membantu pejuang kanser payudara. Pesakit kanser payudara perlu terus positif meneruskan kehidupan dengan menerima rawatan yang sewajarnya.
Di samping itu, sebagai ahli keluarga terdekat, perlu memberi sokongan padu agar pejuang kanser payudara terus berusaha melawan penyakit yang digeruni oleh wanita itu.
Sebagaimana yang diketahui kos untuk melakukan rawatan kanser payudara bukan sedikit dan menelan belanja yang besar. Namun, itu bukan bermakna pejuang kanser perlu mengalah dan duduk berdiam diri.
Sebenarnya, terdapat banyak bantuan kewangan yang boleh dipohon untuk menyingkirkan virus tersebut. Pilihan sokongan kewangan di Malaysia yang dapat membantu pejuang kanser payudara;
- Hospital kerajaan,
- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO),
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF),
- Insurans,
- Program sokongan pesakit seperti EMBRACE.
Kanser payudara merupakan kanser payudara yang diakibatkan oleh sel kanser yang merebak dari payudara ke organ-organ badan lain. Berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sempena bulan kesedaran kanser payudara yang disambut setiap bulan Oktober, setiap wanita perlu tahu tanda-tanda kanser payudara agar dapat mengesan dari awal. Membuat pemeriksaan mamogram wajib dilakukan apabila sudah mencapai usia 40 tahun. Paling kurang, lakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan selepas menstrual anda.
#NONAPinkRibbon GULA Punca Utama Kanser & Rangsang Sel Kanser Lebih Aktif Dalam Tubuh
Setiap hari kita masyarakat sekeliling meninggal dunia akibat kanser. Kanser kini merupakan punca utama kematian dan semakin hari semakin meningkat angka kematian ini.
Memang benar terdapat banyak faktor penyumbang kepada penyakit kanser ini termasuk stres dan pencemaran. Namun, pemakanan adalah segala-galanya. Setiap makanan yang masuk ke dalam perut akan mempengaruhi tubuh termasuk organ dalaman. Kanser boleh ditangani dengan mengawal pemakanan.
Gula telah diperdebatkan kerana boleh merangsang sel kanser untuk bertindak aktif di dalam tubuh. Walaupun ramai yang tidak mengambil gula dalam pemakanan namun ‘tertipu’ dengan makanan yang dijual di rak pasar raya.
Kebanyakan kandungan gula ini disembunyikan dan tidak dimasukkan ke dalam label. Antara produk sihat namun sebenarnya mengandungi kandungan gula tinggi adalah;
Yogurt
Ramai wanita mengambil yogurt jika dalam proses diet. Namun tahu kah anda bahawa yogurt berperisa mengandungi kadar gula yang tinggi. Demi menjaga kesihatan tubuh elak beli yogurt yang berperisa, sebaliknya beli yogurt tanpa sebarang perisa. Jika mahu menambah rasa buah potong sahaja buat segar kegemaran anda seperti strawberi, epal, raspberi dan sebaginya serta makan bersama yogurt tadi.
Minuman ringan
Minuman ringan sering menjadi pilihan terutama dalam cuaca yang panas menyengat. Sering juga minuman ringan ini dipakejkan dalam set makanan terutama makanan segera. Hendak atau tidak terpaksa minum. Namun, minuman ringan ini memang mengandungi kadar gula yang tinggi sekitar 39 gram sehingga 99 gram. Selain minuman ringan susu coklat dan jus buah-buahan dalam kotak juga mengandungi kadar gula yang tinggi.
Madu
Madu memang makanan terbaik untuk tubuh dan boleh mengganti fungsi gula serta membantu menyihatkan anggota tubuh. Kandungan gula yang terdapat dalam madu secara semula jadi memang terbaik, namun yang berbahaya apabila terdapat madu yang ditambahkan pemanis buatan atau gula tambahan. Satu sudu madu mengandungi kalori dan karbohidrat yang lebih baik berbanding satu sudu gula.
Granola bar
Ramai wanita yang menjadikan granola bar ini sebagai makanan sementara jika terpaksa langkau makanan akibat tugasan dan sebagainya kerana mengenyangkan. Makan granola bar ini memang sihat namun perlu berhati-hati memilih kerana kebanyakan bar ini sudah ditambah dengan gula untuk membuat rasanya lebih enak.
Sos tomato
Sos tomato sering menjadi pilihan untuk menyedapkan makanan. Masak ikan tiga rasa, mi goreng, spageti sering memasukkan sos tomato. Begitu juga kalau makan kentang goreng sudah menjadi kewajipan dicicah bersama sos tomato. Kandungan gula tinggi dalam sos tomato kerana untuk meminimumkan rasa masam yang terdapat dalam sos tomato. Gula juga akan membuatkan sos tomato ini tahan lama.
Puding
Puding ini memang telah diketahui mengandungi gula yang tinggi. Begitu juga dengan ais krim namun bukan bererti tidak boleh makan langsung tetapi cuba mengawal pengambilan mungkin hanya sebulan sekali sahaja.
Makan Buah Durian Belanda, Delima Untuk Cegah Kanser Payudara, Badan Pun Dapat Ekstra Tenaga
Luaran nampak sihat, tapi dalaman tiada siapa yang tahu. Itulah sebabnya faktor diet dan pemakanan penting bagi menjaga kesihatan wanita, terutama sekali dalam mencegah risiko penyakit No. 1 iaitu kanser payudara.
Kanser menyerang organ manusia tanpa belas kasihan. Oleh itu, langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya adalah dengan mengambil makanan tinggi antioksidan untuk menentang radikal bebas.
Radikal bebas ini mengoksidakan sel dalam tubuh, mempengaruhi DNA dan pertumbuhan sel dalam tubuh serta akhirnya meningkatkan risiko kanser.
Kanser payudara merupakan pembunuh No. 1 wanita di seluruh dunia. Cara terbaik untuk membantu mencegahnya adalah mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan yang terbukti kaya dengan antioksidan.
Pilih makanan yang tepat untuk mencegah kanser. Antaranya tiga jenis buah-buahan ini iaitu durian belanda, buah tin dan buah delima.
(a) Durian Belanda
Buah durian belanda berwarna hijau, mempunyai kulit berduri lembut dengan isi yang berwarna putih, berperisa masam-masam manis serta tekstur lembut. Buah durian belanda ini sudah dikomersialkan dan semakin popular dijadikan jus minuman.
Buah durian belanda kaya dengan vitamin C, iaitu sekitar 20mg per 100 gram isi buahnya. Kandungan vitamin C yang tinggi menjadikan buah ini sebagai antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan tubuh.
Selain itu, durian belanda juga kaya dengan mineral, iaitu fosfor dan kalsium dengan berat masing-masing 27 dan 14mg per 100 gram. Kedua-dua mineral ini sangat penting untuk pembentukan jisim tulang sehingga elok untuk membentuk tulang kuat dan menghalang osteoporosis.
Kehebatan khasiat yang terdapat pada buah durian belanda boleh membantu menyerang sel kanser secara efektif dan semula jadi tanpa kesan sampingan. Malah ia melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah daripada jangkitan serta menambah tenaga berterusan sepanjang proses rawatan atau penyembuhan.
(b) Buah Tin
Buah tin mengandungi polifenol yang bertindak sebagai antioksidan bagi melawan sel kanser. Antioksidan amat penting untuk tubuh kerana berfungsi untuk menentang radikal bebas dalam badan yang menjadi punca kanser.
Buah tin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan antikanser iaitu benzaldehyde dan coumarins. Selain itu, buah tin juga dikenali sebagai pelancar, penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing.
Buah tin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian mendapati satu saiz hidangan buah tin (100 gram) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita.
(c) Buah Delima
Buah delima berwarna merah dan manis ini mengandungi enzim yang mampu membantu melemahkan kanser payudara dengan menghalang perkembangan estrogen.
Delima mengandungi fitokimia dan kaya dengan polifenol antioksidan. Buah delima terkenal dengan zat besi, kalsium, fosforus, vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mempunyai kadar vitamin K yang tinggi untuk membantu kesihatan tulang.
Malah vitamin B yang terdapat dalam delima boleh membantu tubuh memproses protein, karbohidrat dan lemak. Buah delima mengandungi manganese untuk membantu pembentukan struktur tulang semasa proses metabolik.
Buah delima boleh melindungi epidermis dan dermis kulit dengan membantu pertumbuhan sel kulit, menolong pembentukan semula tisu-tisu badan, penyembuhan luka-luka dan melancarkan peredaran darah.
Selalu Dengar Tapi Tak Pernah Buat, Ini Yang Perlu Anda Ketahui Bila Jalani Mammogram Buat Pertama Kali
Setiap wanita disarankan untuk menjalani pemeriksaan mammogram secara teratur bagi mengesan risiko penyakit payudara seperti kanser daripada awal.
Namun sikap segelintir orang yang suka menakut-nakutkan, seperti mammogram itu sakit atau radiasinya punca kanser, sering menjadi alasan wanita lain menunda ujian pertama mereka.
Tenang. Jika anda tertanya-tanya bagaimana prosedur yang bakal dijalankan, berikut adalah hal-hal penting yang perlu diketahui tentang mammogram.
(1) Wanita hamil atau menyusukan anak dilarang membuat ujian
Sebelum menjalani mammogram pertama, pastikan anda telah memaklumkan pada doktor jika sedang hamil atau menyusukan anak.
Mammogram tidak seharusnya dilakukan pada anda. Doktor akan menyarankan teknik ujian lain seperti ultrabunyi.
(2) Lakukan seminggu selepas menstruasi
Jika diminta untuk menjadualkan ujian ini, pilih waktu ketika payudara anda tidak membengkak atau mengeras bagi mengurangkan rasa sakit dan mendapatkan hasil imbasan yang berkualiti.
Sebaik-baiknya, cuba hindari ujian seminggu sebelum atau selepas menstruasi anda.
(3) Jangan pakai deodoran, pewangi, bedak atau losen
Sebelum berangkat untuk ujian, jangan memakai sebarang deodoran, bedak, losen, krim atau pewangi di bahagian ketiak dan di sekitar payudara.
Kandungan bahan kimia atau logam yang terkandung dalam produk-produk ini akan menghasilkan imej tompokan kalsium pada gambar imbasan mammogram anda.
(4) Anda perlu menanggalkan baju dari bahagian pinggang ke atas
Ya, anda perlu membuka pakaian termasuk bra untuk mendapatkan gambar imbasan yang jelas. Lebih mudah jika anda memakai seluar panjang atau skirt kerana bahagian atas hanya akan ditutup dengan gaun hospital.
Cuba bertenang kerana sewaktu sesi mammogram berlangsung, hanya ada anda dan seorang jururawat wanita di dalam bilik tersebut.
(5) Payudara akan dilihat oleh jururawat
Mammogram adalah ujian pemeriksaan dada. Ini bermakna, anda bakal berada dalam situasi di mana payudara anda akan dilihat oleh jururawat selama menjalaninya,
Payudara seterusnya akan ditempatkan di atas plat besi yang terpasang di mesin mammogram. Sewaktu imbasan dibuat kira-kira 10 saat, plat ini akan diturunkan sebanyak dua kali iaitu dari atas ke bawah dan dari sisi ke sisi.
Cengkaman plat besi pada payudara seharusnya tidak bergerak bagi menghindari gambar kabur. Anda mungkin juga perlu menahan nafas setiap kali imej dirakamkan.
(6) Sakit untuk sebentar
Mungkin sewaktu payudara ditekan, anda berasa tidak selesa atau menyakitkan. Sebenarnya tujuan ia ditekan adalah untuk meratakan jaringan payudara hingga setipis mungkin untuk mendapatkan gambar yang jelas.
Maklumkan jika anda kesakitan. Pertimbangkan juga untuk mengambil aspirin, ibuprofen atau paracetamol sekitar satu jam sebelum mammogram bagi mengurangi rasa sakit.
(7) Sesi hanya mengambil masa yang singkat
Biasanya sesi mammogram hanya mengambil masa 20 – 30 minit sahaja. Anda boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa selepas sesi berakhir.
Namun jjika perlu, prosedur yang sama boleh diulang untuk mendapatkan gambar tambahan jika hasilnya kurang jelas atau meragukan. Jangan pelik, ini adalah perkara yang umum terjadi.
(8) Benarkah wujud radiasi dari ujian mammogram?
Mammogram hanya menggunakan sinar-X berdos rendah untuk mengambil gambar imbasan terperinci daripada jaringan payudara.
Setiap paparan radiasi datang dengan risiko kecil tapi ia jauh lebih rendah daripada risiko tidak melakukan ujian langsung.
(9) Keputusan boleh diketahui segera
Sekitar 96 daripada 100 wanita yang diuji mendapat keputusan yang normal. Namun jika anda tidak mengetahui keputusan dalam tempoh beberapa hari, hubungi tempat mammogram anda dilakukan.
Biasanya laporan lengkap dari hasil mammogram tersebut akan dihantar kepada doktor anda dalam masa 30 hari, atau secepat mungkin jika hasil mendapati kewujudan kanser. Norzalina Mohd Alias