5 Bilion Populasi Dunia Akan Pupus & AS Musnah, Jika Kawah Berapi YELLOWSTONE Meletus!

Meskipun keadaan muka bumi Yellowstone National Park yang terletak di Wyoming, utara Amerika Syarikat cukup cantik dan dikagumi ramai kerana kewujudan beberapa kawasan haba dan kawah berapinya… namun di sebalik keindahan itu tersimpan satu situasi yang mampu menggemparkan dunia. Pakar geologi baru-baru ini memberi amaran dua pertiga populasi dunia berdepan kepupusan sekiranya kawah berapi Yellowstone meletus!

Lebih menggerunkan, letusan itu juga akan menyebabkan hampir keseluruhan Amerika Syarikat musnah.

Menurut Dr Jerzy Zaba dari University of Silesia di Poland, letusan itu sangat berbahaya dan ia merupakan kejadian alam yang tidak dapat dielakkan. Kawah berapi yang terdapat di Yellowstone National Park di Amerika Syarikat ini turut dilaporkan bakal meletus pada bila-bila masa sahaja.

Ini kerana telah banyak amaran dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rentetan itu, Dr Jerzy mendedahkan kepada Daily Star, “Saya menjangkakan letusan yang sama seperti 640,000 tahun dahulu bakal berlaku sekali lagi dan letusan itu sangat hebat sehingga memusnahkan kebanyakan daerah di AS.

Bahan-bahan letusan dari kawah itu akan meliputi segalanya dalam radius 500 kilometer. Malah, akibat daripada debu dan pembebas gas dari sulfur monoksida ke ruang udara akan menyebabkan cuaca sejuk.”

Menerusi kenyatannya dalam sebuah portal Wirtualna Polska pula, pakar geologi ini berkata, “Saya turut menjangkakan akibat dari letusan kawah berapi ini… akan menyebabkan perubahan iklim secara drastik dan lebih lima bilion penduduk dunia ini akan mati akibat kelaparan.”

Difahamkan, sejak lebih 2 juta tahun lalu kawah berapi berkenaan pernah meletus sebanyak tiga kali dan lanskapnya akan berubah setiap kali ia terjadi.

Sebagai persediaan dan langkah awal, Dr Jerzy berkata pemindahan penduduk setempat secara besar-besaran perlu dilakukan terutamanya apabila tanda-tanda letusan mula kelihatan dalam masa terdekat. Sejak tahun 2001, The Yellowstone Volcano Observatory (YVO) yang diketuai Kajian Geologi AS telah melakukan pemerhatian terperinci terhadap kawah berapi berkenaan.

 

 

 

Sumber: Astro Awani

 

 

IKLAN
Share