Setiap orang punya cita rasa tersendiri tatkala ingin menikmati percutian di dalam mahupun luar negara. Ada yang gemar beriadah di pulau peranginan, meneroka kota metropolitan dan ada juga yang bercuti kerana mahu mengimbau sejarah peradaban destinasi pelancongan. Di Malaysia misalnya bukan sahaja menghidangkan seribu lokasi indah untuk bercuti malah industri perhotelan yang kian maju nyata membuka peluang untuk meredakan stres. Jika anda menginginkan penginapan yang berlatar belakangkan sejarah, Timez Hotel Melaka memenuhi kehendak anda.
Dibina di sebuah bangunan lama yang diubahsuai semula dengan garapan rona putih bersih, hotel bertemakan warisan ini sememangnya sarat dengan elemen nostalgia. Terletak di laluan terkenal bandar raya Melaka, Jonker Street, hotel butik ini berjaya menarik kedatangan pelancong saban tahun dengan keunikan binaan dan rekaan setiap kamar yang ada di sini. Salah satu keistimewaan Timez Hotel Melaka adalah kesediaan 15 kamar tetamu termasuk 3 suite
yang setiap satunya dihias dengan konsep berbeza.LAMBAIAN SELAMAT DATANG
Seiring kehendak tetamu yang mementingkan keselesaan di samping menginap dalam suasana penginapan unik dan indah, Timez Hotel Melaka menawarkan lima kategori kamar berkonsepkan hiasan Peranakan, Cina, British, Portugis dan Belanda. Kelima-lima elemen tersebut diketengahkan sebagai menghargai tradisi masyarakat Melaka yang berhubung kait dengan budaya peranakan dan Cina termasuk kesan jajahan pentadbiran British, Portugis serta Belanda ketika era Kesultanan Melaka.
Melewati ruang lobi hotel, pengembaraan unik di Timez Hotel Melaka bermula dengan hiasan cermin bermotifkan artistik yang menempatkan 62 utas jam tangan Swatch. Hiasan ini sengaja diletakkan di laluan masuk sebagai lambang peredaran masa yang berlaku pada zaman dahulu, kini dan masa depan. Bersebelahan kaunter pendaftaran terdapat ruang makan, SuperRabbit Cafe yang menawarkan menu fusion Asia dan Barat, seleksi minuman kopi premium dan aneka pilihan kek.
Antara menu yang sering ditempah pelanggan ialah hidangan Dare To Try Spaghetti yang diadun dengan perisa sambal petai udang. Begitu juga Charcoal Lover iaitu sajian burger ayam panggang yang dimasak sempurna dan menepati cita rasa ramai. Dibuka setiap hari, SuperRabbit Cafe juga turut dijadikan lokasi rasmi untuk mengadakan parti, urusan korporat dan majlis keraian.
KEUNIKAN KAMAR HOTEL
Cherki Room yang mengetengahkan elemen peranakan tampak menyerlah dengan penataan rona hijau epal bersama padanan aksesori bingkai gambar kad ala manjung yang cukup sinonim dengan suku kaum berkenaan. Manek Room dan Little Nyonya Room pula adalah apresiasi keunikan seni masyarakat Nyonya dengan kehalusan manik dan koleksi aksesori antik yang di himpun kemas dalam kamar tetamu ini.
Sementara Clip-Clop Room yang mengenakan tema Cina menggunakan hiasan terompah kayu pelbagai saiz dan warna sebagai identiti utama. Sebuah lagi bilik yang menyerlahkan seni tradisi Cina dengan menggabungkan beratus-ratus kotak ‘pressed powder’ lama Sam Fong Hoi Tong yang direka menjadi sebuah bingkai gambar adalah Oriental Beauty Room.
This website uses cookies.