5 Jenis Pigmentasi Yang Wanita Wajib Tahu, Doktor Ini Jelaskan Secara Terperinci!

Masalah tompok gelap atau hiperpigmentasi terjadi akibat penghasilan sel melanin berlebihan dan aktif ke permukaan kulit. Terdapat 5 jenis pigmentasi yang sering menjadi kerisauan kepada ramai wanita mahupun lelaki pada peringkat umur 20an sehingga 50an.

Dr Nur Diana Abd Razak dari Klinik Dr Diana, Seremban berkongsi info tentang 5 jenis pigmentasi ini.

Dr Nur Diana Abd Razak dari Klinik Dr Diana

Contoh tompok gelap ini termasuklah hiperpigmentasi selepas keradangan, atas faktor usia yang meningkat iaitu jeragat, tompok dan bintik gelap akibat sinar matahari serta makula tanda lahir seperti ‘café au lait’.

Keadaan ini secara amnya tidak berbahaya tetapi boleh menyebabkan keresahan dan kurang keyakinan pada diri. Pemeriksaan kulit dan biopsi kulit (apabila perlu), boleh membantu mengecualikan risiko kanser kulit seperti melanoma.

Foto: www.shutterstock.com

Secara dasarnya, tompok gelap ini boleh dirawat dengan krim topikal, pengelupasan kimia, krioterapi, laser atau gabungan beberapa kaedah ini.

Terdapat beberapa jenis tompok gelap yang biasa terjadi pada kulit, perbezaan antara tompok gelap, cara rawatan dan langkah penjagaan yang boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko mendapat masalah kulit seperti ini.

5 Jenis Pigmentasi Dan Nama Saintifiknya

POSTINFLAMMATORY HYPERPIGMENTATION (PIH)
Tompok gelap akibat proses keradangan atau trauma terutamanya pada jenis kulit yang lebih gelap. Tompok ini juga dikenali sebagai parut gelap boleh berterusan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, hingga menggangu emosi dan psikologi pesakit. Bentuk tompok gelap (PIH) tidak sekata dan tidak mempunyai pinggiran yang jelas.

Foto: www.shutterstock.com

MELASMA
Melasma juga dikenali sebagai jeragat oleh masyarakat kita adalah tompok gelap (hipermelanosis) yang progresif, berbentuk macula/rata, tidak bersisik, dan terjadi pada kulit yang terdedah kepada cahaya matahari, terutamanya pada muka dan lengan.

Ia biasanya dikaitkan dengan kehamilan, penggunaan kontraseptif oral atau ubatan tertentu seperti ubat mengawal sawan (contoh; fenitoin [Dilantin]), penyakit tertentu seperti masalah thyroid atau mungkin juga idiopatik (tidak diketahui). Melasma sering terjadi kepada wanita berbanding lelaki dengan nisbah (9:1), serta mereka yang mempunyai jenis kulit yang agak gelap.

Terdapat tiga corak taburan yang tipikal, centrofacial (63 peratus), malar (21 peratus) dan mandibular (16 peratus). Ia biasanya terjadi di kedua belah wajah, walaupun ada yang sebahagian sahaja. Melasma merupakan salah satu masalah hiperpigmentasi yang agak sukar dirawat dan memerlukan rawatan susulan yang berlanjutan, serta boleh berbalik sekiranya penjagaan rapi tidak dilakukan dan faktor penyebab tidak disingkirkan secara berterusan.

Foto: www.shutterstock.com

SOLAR LENTIGINES
Tompok gelap yang rata pada kulit, berukuran 1 hingga 3 sentimeter, berwarna kekuningan hingga kecoklatan sering terjadi pada bahagian tubuh yang terpapar cahaya matahari seperti wajah, lengan, tangan, bahu, dan dada. Sering terjadi apabila usia meningkat pada mereka yang berkulit cerah.

Langkah pencegahan adalah dengan mengurangkan waktu terpapar cahaya matahari terutamanya apabila waktu puncak iaitu jam 11.00 pagi hingga jam 3.00 petang, dan menggunakan krim tabir suria serta berpakaian menutup anggota tubuh yang berisiko.

EPHELIDES
Ephelides juga dikenali sebagai ‘freckles’ adalah tompok gelap yang kecil, 1 hingga 2 milimeter. Ia mempunyai bentuk yang jelas dengan warna seragam. Kerap ditemui pada muka, leher, dada, lengan dan kaki. Warna mungkin berbeza daripada merah kekuningan hingga coklat muda, daripada bilangan yang sedikit hingga ratusan. ‘Freckles’ ini bermula pada usia muda dan boleh menghilang apabila usia meningkat. Tidak berbahaya dan kebiasaannya tidak memerlukan rawatan.

Tetapi jika pesakit merasa terganggu, rawatan seperti laser boleh juga dilakukan.

Foto: www.shutterstock.com

CAFÉ AU LAIT MACULES
Macula ‘café au lait’ atau dikenali juga sebagai tompok gelap tanda lahir, boleh didapati daripada usia lahir atau kanak-kanak. Berukuran dari 1 hingga 20 sentimeter, di mana-mana bahagian tubuh terutamanya badan. Ianya tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan khas.

98 peratus daripada individu kebiasaannya mempunyai kurang daripada 3 tanda lahir sahaja. Sekiranya kuantiti tanda lahir anda melebihi 6, berukuran lebih 5 milimeter pada usia kanak-kanak dan 15 milimeter apabila dewasa, anda perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri berisiko mempunyai masalah genetik.

Baca juga; Ibu 8 Anak Urus 3 Syarikat, Sedekad Berbisnes Pengarah Urusan Eskayvie Ini Bergelar Jutawan

Share
Published by
Hamizatul Maizan