5 Pemimpin Wanita Dunia Paling Berjaya Tangani Krisis COVID-19, Rakyat Kini Bebas Merdeka!

Demi memperkasakan wanita dan mencapai kesaksamaan jantina, warga dunia kini dapat melihat kebolehan pemimpin-pemimpin wanita ketika pandemik COVID-19 sedang aktif di seluruh dunia.

Ramai pemimpin telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam usaha membendung penularan wabak yang telah membunuh jutaan orang di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan Astro Awani, berikut beberapa pemimpin wanita dan prestasi mereka sepanjang menguruskan pandemik ini.

(1) Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand

Ardern telah beberapa kali menarik perhatian dunia atas prestasi kepimpinannya yang cemerlang sekali gus memberi nafas baru kepada arena politik yang didominasi oleh lelaki.

Ekoran wabak COVID-19 yang melanda New Zealand, Ardern telah mengambil langkah awal dengan menutup kawasan sempadan dan melarang kemasukan warga asing.

Di samping itu, Ardern turut mengarahkan proses saringan besar-besaran bagi mengenalpasti sesiapa yang didapati positif wabak tersebut.

 

(2) Sanna Marin, Perdana Menteri Finland

Pemimpin termuda di dunia ini juga turut menonjolkan prestasi yang baik dengan mengambil beberapa langkah bagi mengatasi wabak COVID-19.

Ini termasuk penutupan kawasan sempadan serta perintah kawalan lockdown dan penutupan perniagaan-perniagaan tidak penting (non essential) serta institusi-institusi pendidikan.

Dalam pada itu, Finland mempunyai peraturan penjarakan sosial yang ketat dan rakyat komited dalam memastikan kadar jangkitan kekal pada tahap yang rendah.

“Kami ingin bergerak ke arah pengujian yang lebih meluas dan mengesan mereka yang terdedah,” kata Marin.

 

(3) Katrín Jakobsdóttir, Perdana Menteri Iceland

Biarpun memiliki populasi yang kecil iaitu sebanyak 360,000, Iceland aktif melakukan aktiviti saringan besar-besaran secara percuma dalam usaha menangani penularan pandemik ini.

Berbeza dengan negara-negara jiran, sekolah dan institusi pendidikan masih dibenarkan untuk beroperasi diikuti dengan pengawalan yang teliti serta saringan secara besar-besaran dipertingkatkan di negara itu.

Tidak dilupakan, penjarakan sosial juga menjadi amalan harian rakyat Iceland walaupun perintah kawalan tidak diwartakan di negara tersebut.

 

(4) Tsai Ing-wen, Presiden Taiwan

Setelah mendapati bahawa wabak berbahaya ini mula menular di Taiwan, Tsai menguatkuasakan larangan kemasukan pesawat luar ke republik itu.

Kerajaan itu kemudian mengarahkan pemeriksaan dilakukan ke atas pengunjung yang tiba dari wilayah Wuhan, China.

Apabila sektor kesihatan di seluruh dunia kekurangan set peralatan perlindungan diri (PPE), Taiwan telah mengambil langkah awal dalam meningkatkan stok PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan negara itu.

Memetik laporan Time Magazine, Tsai berkata, “Hasil kerjasama pakar teknologi, farmasi dan kedai-kedai runcit, kami memulakan rancangan pembahagian pelitup muka dalam usaha mengatasi isu pembelian panik.”

 

(5) Angela Merkel, Canselor Jerman

Pemimpin Jerman yang penuh berpengalaman ini juga tidak dikecualikan dalam menonjolkan prestasi yang cemerlang.

Merkel, yang memiliki doktor falsafah (PhD) dalam kuantum kimia turut mendapat perhatian ramai dalam ucapannya di sebuah sidang akhbar di Berlin berkenaan kaedah ujian Reverse transcription polymerase chain reaction (RT PCR).

Merkel menampilkan karakternya yang tinggi dalam ilmu pengetahuan serta komited untuk mengatasi penularan wabak ini adalah membanggakan.

Share
Published by
Norzalina